kasta india kerala yang dikenakan cukai menutup dada

Semasa era pemerintahan kolonial British di India yang dikenali sebagai British India, negeri-negeri di India (ketika itu) dipecahkan kepada beberapa wilayah berbeza diperintah keluarga di-raja, di bawah naungan British.

Salah satu wilayah yang ada adalah kerajaan Travancore,  terletak di bahagian selatan India atau lebih tepat di Kerala dan Tamil Nadu kini.

Amalan sistem kasta yang kuat dalam mengasingkan kedudukan dan darjat masyarakat ketika itu, telah membuatkan kerajaan Travancore memperkenalkan satu undang-undang penting bagi semua wanita mereka.

Semua wanita yang berada dalam kedudukan kasta rendah, tidak dibenarkan menutup dada mereka sebagai tanda hormat mereka kepada golongan yang dikatakan lebih mulia.

Disebabkan itulah, peristiwa ini menjadi antara sejarah hitam masyarakat India yang agak kontroversi untuk dibincangkan.

Sistem cukai dada berdasarkan kasta

kampung india zaman dahulu

Sistem kasta di Travancore ketika itu meletakkan golongan Brahmin di kedudukan teratas, sementara kumpulan pemerintah Travancore di kedudukan kedua.

Kedua-dua kelompok ini diberikan kebebasan penuh, mendapat kekebalan dalam kes-kes jenayah dan diberikan faedah-faedah khas, seperti pusat agama sendiri, selain tidak dibenarkan disentuh golongan kasta lebih bawah bagi menjaga kedudukan mereka.

Di bawah dua kelompok ini adalah golongan Nair yang bertindak sebagai pegawai kerajaan, tentera, peniaga dan pakar dalam bidang tertentu.

Nair diberikan kedudukan yang baik, namun masih tidak dibenarkan menentang atau melawan Brahmin dan kelompok pemerintah hanya dibenarkan bekerja dan mentadbir dalam lingkungan kuasa mereka.

Kelompok terbawah sekali membentuk majoriti masyarakat Travancore, dibentuk daripada kumpulan Ezhava, Nadar, Mukkuva, Paraya serta beberapa lagi kumpulan. Mereka ini merupakan kumpulan tertindas, sehinggakan mana-mana individu yang sengaja menyentuh kumpulan Nair atau kelompok lebih atas dianggap layak dibunuh.

Sistem ini jelas mewujudkan polarisasi ketara di antara kumpulan yang ada.

cukai dada india mulakaram

Lebih malang, sehinggalah abad ke 19 - semua wanita beragama Hindu ditentukan corak pemakaian mereka berdasarkan kasta mereka.

Bagi membezakan kedudukan wanita berdasarkan kasta, kerajaan Travancore memperkenalkan sistem cukai di mana seseorang wanita yang datang daripada kasta rendah diwajibkan membayar cukai, seandainya mereka ingin melindungi dada mereka.

Mereka percaya dengan sistem yang memudahkan penampakan buah dada oleh wanita berkasta rendah, merupakan satu cara untuk memudahkan masyarakat mereka mengenali siapa di kalangan mereka datang daripada kasta bawahan.

Jumlah cukai ditentukan mengikut saiz buah dada

undang undang melarang tutup buah dada india

Dalam mengawal tatacara pemakaian wanita kasta rendah, peraturan cukai diperkenalkan mewajibkan mana-mana wanita yang telah mencapai umur matang serta mula menjalani proses pembentukan buah dada perlu mula membayar cukai - jika mereka berhasrat untuk menutupi dada.

Pegawai-pegawai kerajaan daripada kumpulan Nair akan hadir rumah ke rumah di mana ada wanita menginap, mengutip cukai yang akan dianggap sebagai lesen bagi wanita tersebut melindungi dadanya.

Jumlah cukai pula ditentukan oleh saiz buah dada yang ingin dilindungi.

Lebih besar saiznya, lebih tinggi cukai yang perlu dibayar dan semuanya ditentukan oleh pegawai yang datang berkunjung. Kami tak tahulah apa ukuran yang mereka gunakan.

Disebabkan oleh faktor kemiskinan yang membelenggu wanita-wanita berkasta rendah, kebanyakannya memilih untuk tidak mengenakan penutup dada sebaliknya membiarkan saja buah dada mereka kelihatan ketika di khalayak umum.

Lebih malang bagi kumpulan kasta rendah, bukan sahaja wanita dikenakan cukai sedemikian - lelaki berkasta rendah juga dikenakan cukai hampir serupa di mana kaum lelaki akan dikenakan cukai sekiranya mereka mahu menyimpan rambut di kepala.

Selain cukai buah dada dan cukai rambut, cukai pondok kediaman dan cukai ke atas harta warisan juga dikenakan pemerintah Travancore.

Bagi golongan kasta rendah yang tidak bernasib baik, selain daripada cukai yang menekan - mereka juga akan diwajibkan berkhidmat untuk kerajaan tanpa bayaran sebagai buruh kasar, di kawasan seperti pusat pentadbiran kerajaan, kuil atau kediaman individu bangsawan.

Titik tolak kebangkitan golongan ditindas

mulakaram breast tax 856

Ditindas dalam sistem masyarakat mereka sendiri, bagi segelintir yang berani mereka bertindak mengeluarkan diri mereka daripada sistem tersebut dengan meninggalkan agama Hindu, seterusnya memeluk agama Islam atau Kristian.

Bagaimanapun, persepsi masyarakat Travancore ketika itu melihat tindakan sedemikian rupa sebagai sesuatu yang sangat-sangat hina membuatkan tidak ramai yang berani melakukannya.

Walaupun begitu, kuasa kolonial British mula memberikan sokongan kepada wanita-wanita Travancore yang menerima ajaran Kristian, mendesak kerajaan Travancore untuk membenarkan wanita Kristian menutup dada mereka dengan syarat tertentu.

majlis perkahwinan ezhava

Wanita Kristian dibenarkan untuk menutupi dada dengan kain, tetapi tidak dibenarkan meniru gaya pemakaian yang diamalkan kumpulan kasta lebih tinggi.

Hasil kompromi ini, semakin ramai wanita berkasta rendah baik yang beragama Kristian mahupun Hindu mula memberanikan diri bersuara, bagi memastikan larangan penutupan dada di kalangan wanita ditarik balik.

Tindakan ini akhirnya mendapat tentangan golongan atasan yang melihat pemberontakan tersebut bakal menggugat sistem kasta yang diamalkan, namun gelombang kebangkitan yang berlaku tidak lagi dapat ditahan pemerintah.

Pemerintah Travancore mengalah, membenarkan wanita di sana menutupi dada dengan sejenis kain khas tidak melindungi bahu; bagi mengekalkan perbezaan darjat antara wanita berkasta tinggi dan rendah.

Selepas beberapa insiden pergaduhan melibatkan golongan wanita berkasta tinggi yang cuba membogelkan wanita berkasta rendah, mahkamah Travancore akhirnya mengeluarkan keputusan penghakiman pada tahun 1823, membenarkan kesemua wanita di Travancore yang kini sudah memeluk agama Kristian memakai penutup dada.

Perubahan ini menjadi titik tolak kepada revolusi perubahan yang berlaku di Travancore dan sehingga kini, majoriti masyarakat Kristian di negara tersebut terus menetap di bahagian selatan tanah besar India.

Rujukan

Kerala as a “lunatic asylum”

STRUGGLE OF THE NADARS (PDF)

Re-Appraising Taxation inTravancore and It's Caste Interference (PDF)



Hakcipta iluminasi.com (2017)