Bagi penghantaran surat biasa, di Malaysia khidmat Pos Laju biasanya mengambil masa 2 hingga 4 hari bergantung kepada destinasi surat tersebut. Sekiranya mahukan barangan, surat atau dokumen yang dihantar sampai ke destinasi dengan lebih cepat, servis kurier daripada Pos Laju, DHL, J&T Express dan pelbagai syarikat lagi menjadi pilihan.

Kini, segalanya mengenai kepantasan dan sejak beberapa tahun lepas lagi ramai pihak memperkatakan mengenai servis penghantaran menggunakan drone yang dikatakan boleh menghantar barangan kepada pelanggan pada hari yang sama. Malah, beberapa syarikat juga dikatakan sudah menjalankan ujikaji mengenai keberkesanannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, tahukah anda suatu ketika dahulu surat pernah dihantar menggunakan roket? Ya, benar. Ketika tahun 1930-an, buat pertama kalinya surat dan barangan lain seperti beras dan rempah ratus berjaya dihantar menggunakan roket di beberapa buah tempat.

Sejarah kewujudan sistem penghantaran barang

kaedah penghantaran barangan

Sejarah sistem penghantaran barangan sememangnya berkait rapat dengan sejarah sistem pengangkutan. Kemajuan sistem pengangkutan bukan sahaja membolehkan manusia bergerak ke sesuatu destinasi dengan lebih pantas, tetapi juga membolehkan sistem penghantaran barangan berkembangan ke kawasan yang lebih luas.

Kemajuan sistem pengangkutan juga turut membolehkan barangan yang dihantar sampai dengan lebih pantas dan efisien. Sejak puluhan tahun dahulu pelbagai kaedah telah digunakan bagi meningkatkan kepantasan masa penghantaran barangan termasuklah menggunakan kereta api, kapal terbang dan banyak lagi.

Idea menggunakan roket untuk menghantar surat

surat roket

Sekiranya anda pernah menonton filem lama, anda pastinya pernah melihat bagaimana anak panah pernah digunakan untuk menghantar mesej yang ditulis pada kertas yang digulung padanya dan dilepaskan ke arah kawasan musuh. Ini merupakan idea awal sebelum kaedah sama digunakan apabila roket sudah mula dicipta.

Idea terawal penggunaan roket untuk menghantar surat ini dicetuskan oleh seorang penyair Jerman bernama Heinrich von Kleist yang telah dimuatkan dalam sebuah artikel di surat khabar tempatan pada tahun 1810. Pada ketika itu, konsep roket itu adalah sesuatu yang masih dianggap baru.

Roket pada ketika itu adalah senjata yang diletakkan serbuk belerang yang dilepaskan menggunakan meriam di medan peperangan. Mengikut perkiraannya, penggunaan roket membolehkan sepucuk surat dihantar dari Berlin ke Breslau yang mempunyai jarak 290 kilometer dalam masa setengah hari sahaja.

Tempoh penghantaran ini jauh lebih pantas daripada kaedah konvensional penghantaran menggunakan kuda. Dengan menggunakan roket, masa yang diambil hanyalah 1 per 10 daripada kaedah penghantaran biasa.

Ujian awal penghantaran menggunakan roket

hermann oberth hantar surat pakai roket

Teori yang diperkenalkan olehnya ini kemudian telah cuba didemonstrasikan oleh seorang saintis British bernama Sir William Congreve. Ujian penghantaran menggunakan roket ini telah dilakukan di sebuah pulau kecil bernama Tonga.

Malangnya, roket yang diciptanya langsung tidak boleh digunakan seperti yang diharapkan menyebabkan ujian tersebut gagal sama sekali. Selepas kejadian ini, idea penghantaran surat menggunakan roket senyap daripada diperkatan buat sekian lamanya.

Sehinggalah satu abad kemudiannya apabila seorang ahli Fizik dan jurutera dari Jerman bernama Hermann Julius Oberth kembali mengkaji mengenai topik ini pada tahun 1927. Untuk makluman, beliau juga merupakan antara orang terawal pengasas konsep roket.

Pada bulan Jun 198, beliau telah menyampaikan sebuah kuliah dalam sebuah perjumpaan tahunan di Scientific Society of Aeronautics di Danziq yang telah menarik ramai pihak. Dalam ucapannya, beliau turut mencadangkan penciptaan sebuah roket kecil dengan yang mempunyai kemampuan kawalan automatik dan boleh menghantar surat pada jarak antara 1000 hingga 2000 kilometer.

Kejayaan pertama penghantaran menggunakan roket

friedrich schmiedl

Idea yang dibentangkan ini telah menarik seorang jurutera muda dari Austria bernama Friedrich Schmiedl. Tinggal di kawasan pergunungan Alps di Austria, beliau sendiri mengakui urusan penghantaran surat antara dua kampung sangat sukar memandangkan perlu melalui kawasan pergunungan.

Penghantaran surat antara dua buah kampung mungkin mengambil masa sehingga 8 jam berjalan kaki namun hanya mengambil masa beberapa minit dengan penggunakan roket. Beliau terlebih dahulu sudah melakukan eksperimen dengan menggunakan roket yang menggunakan bahan api pepejal sebelum beralih arah menggunakan roket yang dilengkapi payung terjun pada tahun 1928.

Setelah beberapa kali gagal, beliau akhirnya berjaya menghantar roket yang berisi surat pada tahun 1931. Dalam percubaan tersebut, beliau berjaya menghantar 102 pucuk surat ke sebuah destinasi yang terletak 5 kilometer daripada tempat pelancarannya.

Roket tersebut boleh dikawal dari jarak jauh dan berjaya melakukan pendaratan dengan bantuan payung terjun. Roket kedua yang dilancarkan pula berjaya menghantar 333 pucuk surat. Kejayaannya ini memberi inspirasi kepada banyak negara lain seperti Belanda, England, Jerman, Amerika Syarikat dan India untuk menggunakan konsep yang sama.

Kejayaan penghantaran barangan pertama menggunakan roket

stephen smith

Eksperimen penghantaran surat menggunakan roket telah mencatatkan kejayaan yang besar di India. Seorang jurutera aeroangkasa bernama Stephen Smith telah menambah baik teknik penghantar surat menggunakan roket ini. Antara 1934 hingga 1944, beliau telah melakukan 270 pelancaran roket dimana sekurang-kurangnya 80 daripada membawa bersama surat.

Beliau turut mencipta sejarah apabila berjaya melancarkan roket yang turut membawa barangan keperluan harian seperti beras, rempah ratus dan rokok tembakau. Barangan tersebut berjaya dihantar ke daerah Quetta (kini dalam wilaya Pakistan) yang baru dilanda gempa bumi.

Selain itu, beliau juga dikatakan pernah menghantar haiwan seperti ayam dan ular menggunakan roket. Walaupun dianggap sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan, kesemua haiwan ini selamat tiba ke destinasinya.

Kos yang terlalu mahal

hantar surat guna peluru berpandu

Kaedah penghantaran seperti ini turut digunakan di Amerika Syarikat menjelang tahun 1959. Mereka walau bagaimanapun bertukar kepada penggunaan peluru berpandu dimana bahagian berisi bahan letupan padanya telah digantikan dengan bekas yang berisi 3000 pucuk surat.

Dilancarkan daripada kapal perang Regulus, ianya selamat sampai ke pangkalan tentera di Mayport yang berjarak 1126 km dalam masa hanya 20 minit. Walau bagaimanapun, ianya menjadi eksperimen yang pertama dan terakhir di Amerika Syarikat memandangkan kosnya yang terlalu tinggi.

Untuk penghantaran tersebut sahaja, sebanyak $1 juta telah dibelanjakan dan ianya hanya memperoleh kutipan sebanyak $240 daripada jualan setem. Malah, selepas eksperimen ini penghantaran menggunakan kaedah ini tidak lagi dianggap praktikal kerana kosnya yang terlalu mahal.

Kredit:

Wikipedia

Popular Mechanics

Engadget




Hakcipta iluminasi.com (2017)