Frane Selak menceritakan kembali kisah pertama kali dia menaiki kapal terbang pada tahun 1963 akibat keadaan yang mendesak. Ketika itu, Frane yang berusia 32 tahun telah menerima satu perkhabaran kurang enak dari kampung halamannya di Rijeka, Croatia. Dia mendapat tahu ibunya sedang tenat maka dia perlu pulang dengan segera dari Zagreb.

Semasa ingin membuat tempahan tiket, Frane dimaklumkan yang penerbangan paling awal telahpun penuh. Namun, dia berjaya memujuk pegawai syarikat penerbangan yang bertugas supaya membenarkan dia duduk di bahagian belakang pesawat bersama-sama kru kabin.

Pengalaman pertama Frane menaiki kapal terbang adalah begitu menyenangkan sehinggalah sejurus sebelum mendarat. Secara tidak semena-mena, salah satu pintu kapal terbang terbuka luas dan tercabut.

frane selak lelaki paling malang atau paling bernasib baik

Dalam salah satu temu bualnya bersama The Telegraph pada tahun 2003, Frane menceritakan bagaimana dia dan rakan pramugarinya sedang berbual sambil meminum teh sebelum pintu tiba-tiba terbuka menyebabkan tekanan angin yang kuat terus menarik pramugari itu sehingga tercampak keluar, diikuti dengan Frane.

Pesawat itu kemudian dilaporkan terhempas dan mengorbankan dua orang juruterbang dan 17 penumpang lain termasuk pramugari tersebut. Walau bagaimanapun, Frane mendakwa dirinya terselamat kerana tercampak dan mendarat di atas timbunan rumput kering yang berjaya mengurangkan impak hentaman.

Bagaikan mempunyai tujuh nyawa

Itu hanyalah salah satu daripada tujuh kes 'hampir menemui ajal' yang telah dialami Frane sepanjang hayatnya.

Setahun sebelum kemalangan pesawat terhempas itu, Frane telah menaiki sebuah kereta api dari Sarajevo ke Dubrovnik yang telah tergelincir dari landasan sehingga terhumban ke dalam sebatang sungai yang penuh dengan ais. Namun demikian, dia mendakwa telah berjaya berenang untuk menyelamatkan diri walaupun mengalami hipotermia dan patah sebelah lengan.

Pada tahun 1966 pula, dia sedang berada di dalam sebuah bas apabila kenderaan tersebut tiba-tiba tergelincir dan jatuh ke dalam sungai sehingga menyebabkan empat penumpang mati. Frane walau bagaimanapun telah terselamat dengan hanya beberapa lebam dan luka kecil.

gambaran frank mengenai keretanya yang terbakar namun tiada bukti kukuh

Dua kemalangan berikutnya yang hampir serupa berlaku pada tahun 1970 dan 1973 di mana Frane terselamat setelah kereta yang dipandunya tiba-tiba terbakar. Frane dilaporkan berjaya melompat keluar dalam kedua-dua kejadian - hanya beberapa ketika sebelum keretanya meletup.

Selepas 22 tahun hidup bebas daripada sebarang kemalangan, Frane sekali lagi terselamat daripada dilanggar sebuah bas semasa berjalan di Zagreb pada tahun 1995.

Tidak sampai satu tahun sesudah itu, Frane sekali lagi mengalami mimpi ngeri semasa sedang memandu di kawasan pergunungan Croatia apabila sebuah trak dari arah depan menyebabkan kereta yang dipandu hilang arah dan terhumban ke arah gaung sedalam 91 meter. Frane mendakwa dia sempat melompat keluar dari tempat duduknya pada saat-saat akhir. Dia tersangkut di atas sebatang pokok di tebing gaung dan dapat menyaksikan sendiri keretanya terjunam ke bawah.

Bernasib baik atau bernasib malang?

Frane memberitahu akhbar The Telegraph yang rakan-rakannya sentiasa teragak-agak untuk berada dalam kenderaan bersama dengannya. Malah, ramai antara mereka yang mula memulaukan Frane kerana menganggap dia bernasib malang. Sehinggakan ada yang sanggup membatalkan tiket kereta api atau kapal terbang jika mendapat tahu yang Frane juga membeli tiket yang sama.

dakwaan dan cerita frane selak banyak menimbulkan keraguan

Namun demikian, Frane Selak kekal optimistik walaupun sudah begitu banyak kali ajal menghampirinya. Menurut Frane, seseorang boleh melihat kemalangan itu dari dua pandangan berlainan, iaitu sama ada dia adalah lelaki paling bernasib malang atau paling bernasib baik. Frane lebih menyukai pilihan yang kedua.

Semasa temu bual itu dijalankan pada tahun 2003, Frank memberitahu yang dia dapat merasakan bahawa dia tidak akan mengalami apa-apa kemalangan lagi dan akan mula menikmati hidup seolah-olah seperti baru dilahirkan. Baginya, Tuhan sudah menjaganya dengan baik selama puluhan tahun dan Iblis telah beralih untuk menyeksa manusia lain pula.

Frane begitu optimistik ketika membuat komen tersebut kerana dia dilaporkan telah memenangi hadiah loteri bernilai £600,000 tidak lama sebelum bertemu The Telegraph.

Dakwaan yang menimbulkan keraguan

Frane mula mendedahkan kisah-kisah kemalangannya berulang kali kepada pelbagai majalah dan akhbar seperti The Telegraph dan Der Spiegel selepas memperoleh kejayaan besar dengan kemenangan loteri tersebut.

Akan tetapi, apabila pengalamannya mula mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, ada beberapa pihak yang berasa curiga dengan kesahihan berita yang disampaikan. Dengan kecanggihan Google pada zaman kini, ramai yang mendakwa cerita Frane berkaitan kes kapal terbang Croatia terhempas pada tahun 1963 dan kemalangan kereta api pada tahun sebelum itu tidak mempunyai sebarang bahan bukti kukuh atau rekod kejadian yang rasmi.

Pada masa yang sama, pihak BBC melaporkan kemalangan pertama yang dialami Frane sebenarnya berlaku pada tahun 1957 dan bukannya pada 1962. Selain itu, ia melibatkan sebuah bas dan bukanlah kereta api seperti yang diceritakan.

Malah, jalan cerita Frane juga didapati tidak begitu konsisten. Misalnya, semasa ditemu bual oleh The Telegraph pada 2003, dia mengatakan yang dia telahpun mencuba nasib selama bertahun-tahun membeli tiket loteri sebelum menang besar pada masa itu. Namun, apabila berbicara sekali lagi dengan akhbar yang sama pada tahun 2010 (ketika ini Frane mendakwa telah menghabiskan sebahagian besar wang kemenangan untuk tujuan amal), dia berkata itu merupakan kali pertama dia bermain loteri.

frane selak dengan tiket loteri

Ya, ia mungkin adalah pertikaian kecil yang berpunca daripada kesilapan biasa. Walau bagaimanapun, percanggahan ini agak sukar untuk tidak diendahkan apabila fakta utama dalam kisah biografi Frane sendiri sukar dipercayai.

Banyak kes pesawat terhempas sekitar tahun yang sama mendapat liputan meluas media dan direkodkan secara rasmi. Malah, kisah seorang pramugari bernama Vesna Vulović yang terselamat selepas pengganas meletupkan pesawat yang dinaikinya pada ketinggian 10,000 meter di ruang udara Czechoslovakia pada tahun 1972 juga mempunyai pelbagai dokumen dan laporan untuk membuktikan dakwaannya benar.

Hal ini bukanlah bermakna yang Frane sengaja berbohong ataupun wartawan yang menyiarkan kisahnya membuat kesilapan. Ada juga kemungkinan fakta-faktanya tercampur aduk, sama ada dia tersilap mengingati sesuatu butiran sehingga menyebabkan jalan cerita menjadi tidak konsisten atau pihak yang telah menulis kisahnya tersalah anggap.

Apa-apapun, jika benar koleksi cerita Frane Selak ini, ia adalah sesuatu yang mengagumkan serta menunjukkan kekuasaan Allah SWT dalam menentukan setiap detik kehidupan dan kematian hamba-Nya.

"Rezeki, jodoh dan ajal - semuanya di tangan Tuhan."



Hakcipta iluminasi.com (2017)