percubaan bunuh ratu elizabeth gagal

Kisah berkenaan cubaan sesetengah individu membunuh pemimpin dunia memang kerap kali diperkatakan, dengan kes paling popular sudah pastilah melibatkan insiden pembunuhan John F. Kennedy pada tahun 1963.

Negara kita juga didakwa pernah berlaku perkara serupa melibatkan kumpulan pengganas militan yang didakwa mahu menculik (bekas) pemimpin-pemimpin tertinggi negara kita, yang berjaya dipatahkan terlebih dahulu.

Salah satu insiden cubaan membunuh yang gagal telah berlaku di New Zealand, pada tahun 1981. Melibatkan seorang remaja berusia 17 tahun, sasaran pembunuh itu adalah Ratu Elizabeth sendiri - ketua kerajaan United Kingdom. Bagaimanapun, hanya dalam tahun 2018 kebenaran tentang insiden ini diceritakan pada orang ramai.

Ini kisahnya.

Anak muda berbahaya

christopher lewis white supremacist

Pada tahun 1981, seorang remaja berusia 17 tahun bernama Christopher John Lewis mengambil keputusan untuk membunuh Ratu Elizabeth, berikutan siri lawatannya ke New Zealand yang dijadualkan pada bulan Oktober tahun tersebut.

Lahir pada tahun 1964, Lewis membesar sebagai seorang remaja bermasalah sejak kecil. Dia dibuang dari tadika pada usia muda, sebelum ditangkap menganjurkan aktiviti permainan seksual semasa sekolah rendah dan mengalami nasib serupa. Zaman sekolah tingginya juga sama, kerap kali Lewis digantung dan dihukum.

Oleh kerana memang datang dari latar belakang sedemikian, jenayah merupakan sesuatu yang menjadi minatnya - jadi Lewis serta dua rakannya menubuhkan gerakan yang mereka namakan sebagai National Imperial Guerilla Army. Kumpulan trio itu bertindak melakukan jenayah kecil, tetapi mula berani merompak kedai senjata bagi mendapatkan bekalan aktiviti jenayah mereka.

Hanya dengan memakai jaket serta bergerak dengan basikal, ketiga-tiga remaja itu bertindak sendirian mencetuskan huru-hara mengikut citarasa mereka.

Cubaan membunuh Ratu Elizabeth

ratu elizabeth dalam lawatan

Sifat dan perangai Lewis pada usia 17 tahun, dikatakan sudah sangat mirip dengan seorang penjenayah sebenar. Amat mengidolakan pembunuh Charles Manson, Lewis merasakan semua itu tidak cukup - jadi dia merancang cubaan membunuh Ratu Elizabeth II yang bakal melawat daerah Dunedin pada 14 Oktober 1981.

Bagi Lewis, masalah kemiskinan yang melanda masyarakat New Zealand sangat kontra dengan corak hidup keluarga di-raja Britain itu. Jadi dia memilih untuk memberikan peringatan besar kepada mereka yang hidup mewah, tanpa mahu memikirkan kesusahan orang kebanyakan.

Menggunakan senapang patah bersaiz .22. Lewis naik ke tingkat lima sebuah bangunan berdekatan dengan lokasi di mana Ratu Elizabeth dijadualkan hadir. Lama dia menunggu, akhirnya kereta Rolls Royce yang membawa Ratu Elizabeth serta suaminya Putera Philip berhenti di tepi jalan, bagi menemui ribuan orang yang menunggu ketibaan keluarga di-raja itu.

Lewis menarik nafas panjang menghalakan senapangnya pada Ratu Elizabeth sabar menunggu jendela terbuka untuk dia menarik picu. Ratu Elizabeth melangkah keluar dan picu ditarik. Kedengaran bunyi kuat membuatkan semua orang terpinga-pinga, termasuklah Ratu Elizabeth sendiri.

Tembakan Lewis tersasar jauh. Lewis sendiri tidak tahu ke mana peluru itu mengena. Ratu Elizabeth melangkah masuk selepas diyakinkan pihak keselamatan tak ada apa yang perlu dibimbangkan.

Hanya ada papan tanda jalan yang jatuh, tidak jauh dari mereka menyebabkan ada bunyi kuat dapat didengari.

Kerajaan New Zealand mula mereka-reka cerita

ratu elizabeth dan suami

Selepas ditanya daripada pihak media dan mereka yang ada di situ, pihak polis New Zealand mula mengolah cerita mereka. Namun dalam masa yang sama, mereka sebenarnya sedar apa yang berlaku sebenarnya terhasil akibat bunyi tembakan.

Kes itu disiasat oleh pihak polis tetapi dilakukan secara sulit, berikutan rasa bimbang cubaan membunuh Ratu Elizabeth diketahui oleh awam dan dan yang lebih dikhuatiri, pihak istana United Kingdom sendiri. Ratu Elizabeth pada waktu itu, tidak tahu sebenarnya ada cubaan menembak dirinya yang gagal disempurnakan dan masih percaya bunyi yang didengari hanyalah papan tanda jatuh.

Siasatan disembunyikan kerajaan New Zealand dalam memastikan nama baik negara mereka dapat dilindungi, disamping memastikan agar pihak keluarga istana tidak berasa takut untuk hadir lagi ke New Zealand di masa yang akan datang. Tanpa diketahui orang luar dan pihak Istana, polis New Zealand berjaya mengenalpasti beberapa orang suspek berdasarkan kepada kesan tembakan yang ditemui.

Daripada itu, mereka dapat mengenalpasti senjata yang digunakan seterusnya menemui 3 orang suspek, yang didapati telah merompak sebuah kedai senjata di bandar tersebut - salah satu senjata yang dicuri adalah senapang patah .22 kaliber.

Berdasarkan kepada jaket yang dipakai oleh kumpulan perompak itu, mereka berjaya mengesahkan Lewis adalah salah seorang yang terlibat. 8 sesi soal siasat berlaku sebelum Lewis mengesahkan segala-galanya dan membawa polis ke rumahnya, menunjukkan lokasi di mana senapang itu disimpan.

Kejayaan polis New Zealand menutup cerita sebenar

lewis dewasa

Spekulasi berkenaan kejadian sebenar dan apa yang berlaku menjadi hangat, jadi pihak polis memanggil wakil media bagi menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku. Namun pihak media tetap tidak berhenti cuba mengorek rahsia yang cuba disembunyikan.

Kebimbangan paling ketara pihak polis adalah disebabkan insiden itu berlaku tidak lama selepas Lewis dihadapkan ke mahkamah, atas tuduhan memiliki senjata tanpa permit yang sah. Beberapa orang wakil media berpendapat pasti wujud hubungan di antara kedua-dua kejadian namun tidak ada bukti yang dapat menjelaskan semuanya.

Pihak polis juga menukarkan beberapa keterangan yang disebut dalam laporan, bagi membolehkan kes melibatkan Lewis dibicarakan tanpa sebarang kaitan dengan insiden tembakan yang berlaku pada hari lawatan Ratu Elizabeth. Atas tuduhan itu, Lewis dihukum penjara tiga tahun. Dia juga menyatakan kekecewaan hukuman yang dikenakan ke atasnya lebih ringan berbanding jenayah yang sebenarnya dilakukan - cubaan membunuh permaisuri United Kingdom.

Cuti 10 hari ditaja kerajaan New Zealand

lewis diiringi polis

Walaupun dipenjarakan, Lewis tidak serik. Pada bulan April tahun 1983, Lewis mendapat perkhabaran bahawa Putera Charles dan Puteri Diana akan hadir ke New Zealand bagi siri lawatan. Dia cuba menyerang pengawal penjara bagi membebaskan diri, namun berjaya dipatahkan pasukan pengawal.

Beberapa tahun kemudian, Lewis dibebaskan sehinggalah pada tahun 1995 apabila pihak polis menghubungi Lewis semula disebabkan oleh kehadiran semula Ratu Elizabeth sekali lagi ke negara itu. Atas faktor keselamatan, Lewis diwajibkan untuk pergi bercuti di Great Barrier Island yang terletak di Auckland selama 10 hari.

Semua perbelanjaan dia semasa di sana ditanggung oleh pihak polis, termasuklah penginapan, wang belanja dan juga kenderaan SUV yang disewakan, untuk kegunaan dia di sana. Lewis mengakui cuti 10 hari yang diwajibkan ke atas dia itu membuatkan dia rasa seperti kaum kerabat di-raja, pertama kali dalam hidup.

Mati semasa menunggu perbicaraan kes pembunuhan kejam

laporan akhbar kematian lewis

Pada 26 Julai 1996, Lewis menyamar sebagai seorang penghantar barangan mengetuk pintu rumah seorang wanita bernama Tania Furlan di Auckland. Apabila Furlan membuka pintu, Lewis terus menyerang Furlan mengetuk kepalanya dengan tukul menyebabkan kematian wanita malang itu.

Lewis kemudiannya mengangkat anak Furlan yang baru berumur 6 minggu, namun bayi itu bernasib baik ditinggalkan di sebuah gereja 18 kilometer daripada rumah Furlan.

Lewis yang pada ketika itu terdesak mahu mendapatkan wang, pada mulanya berhasrat mahu menjadikan Furlan dan anaknya tebusan, untuk mengugut suami Furlan yang juga seorang peniaga berjaya di sana. Namun dia berubah fikiran selepas tersalah langkah terbunuh Furlan semasa menyerangnya.

talia manga bunuh lewis

Berdasarkan kesan tapak kasut pada lokasi kejadian, polis berjaya mengenalpasti peranan Lewis dalam insiden itu seterusnya melakukan tangkapan. Lewis yang pada ketika itu baru saja dipenjarakan atas satu tuduhan lain, perlu berhadapan dengan dakwaan membunuh pula.

23 September 1997, Christopher John Lewis ditemui mati dalam keadaan duduk selepas membunuh dirinya dengan renjatan elektrik, daripada litar dalam selnya yang telah diubahsuai.

Di atas meja di depannya, terletak satu mesin taip yang dibekalkan atas permintaannya dan hasil tulisannya, termasuklah semua pengakuan dia semasa cuba membunuh Ratu Elizabeth II 16 tahun lalu digarap semula - berdasarkan kepada perspektif dirinya.

Cubaan untuk menimbulkan semula kes lama itu hangat diperkatakan selepas kematian Lewis, namun hanya didedahkan kesemuanya oleh kerajaan New Zealand pada bulan Januari 2018.

Rujukan

New Zealand teen attempted to assassinate Queen Elizabeth II during 1981 Dunedin visit



Hakcipta iluminasi.com (2017)