rentas negeri dibenarkan

Dengan sekatan pergerakan akibat COVID-19 yang semakin longgar di seluruh dunia, ramai di antara kita yang mula merancang untuk bercuti setelah hampir 2 tahun terkurung di dalam rumah.

Lokasi-lokasi percutian dijangkakan akan dibanjiri dengan orang ramai dari seluruh negara dan ini sekaligus membuatkan ada di antara kita yang leka dalam menjaga keselamatan.

Kebebasan yang diraih semula ini haruslah digunakan dengan sebaiknya dan orang ramai dinasihatkan agar lebih peka terhadap keadaan sekeliling, bukan sahaja melibatkan penularan penyakit COVID-19, tetapi juga keselamatan dari semua aspek.

iluminasi.com kongsikan 5 kisah pembunuhan ngeri yang berlaku di destinasi percutian impian.

1. Yuri Shipulin dan Nataliya Gerasimova - Pulau Denarau, Fiji

yuri shipulin dan nataliya gerasimova dibunuh

Kes pembunuhan Yuri Shipulin dan Nataliya Gerasimova di Pulau Denarau, Fiji, kekal sebagai salah satu misteri yang masih tidak dapat diselesaikan di negara pulau ini.

Yuri dan Nataliya merupakan warganegara Rusia yang telah berpindah ke sebuah ladang di Pulau Denarau pada tahun 2011.

Pada 16 Jun 2016, pasangan ini dilaporkan menuju ke sebuah lokasi yang hanya diketahui oleh mereka sahaja.

Malangnya, itulah kali terakhir Yuri dan Nataliya dilihat dalam keadaan bernyawa di kawasan kejiranan mereka.

Pasangan ini dilaporkan hilang sehari kemudian dan tiada siapa pun yang dapat menjelaskan apa yang berlaku kepada mereka sehinggalah kenderaan yang mereka naiki ditemui terbengkalai di Pantai Natadola dua hari kemudian.

Ini memberikan beberapa petunjuk kepada penyiasat tentang pergerakan terakhir mereka sebelum hilang. Namun, bukti yang mengesahkan bahawa Yuri dan Nataliya telah mati hanya ditemui oleh para penyiasat hampir 2 minggu kemudian.

Pihak berkuasa terpaksa menutup sebahagian daripada kawasan pantai tersebut selepas anggota badan dipercayai milik Yuri dan Nataliya ditemui di tepi pantai.

Beberapa hari kemudian, anggota badan yang lain milik pasangan ini yang dibungkus dengan jaring dan batu untuk menenggelamkannya ke dalam laut, ditemui di pantai itu.

Satu-satunya jawapan yang diperoleh daripasa siasatan terebut hanyalah pasangan ini telah mati, namun sehingga kini tiada siapa yang ditahan atas jenayah dahsyat ini.

Malah, pihak polis tempatan mengumumkan pada 7 Julai 2016, iaitu sebulan selepas kehilangan Yuri dan Nataliya, bahawa mereka tidak akan mengulas lagi berkenaan pembunuhan itu.

2. Michaela McAreavey - Grand Gaube, Mauritius

michaela mcareavey dibunuh

Grand Gaube adalah antara salah satu destinasi percutian paling popular di dunia bagi pengguna Instagram. Ia merupakan pulau yang sangat indah namun bukan semua orang mampu sampai ke tempat ini.

Pada Januari 2011, Michaela McAreavey dan suaminya John baru sahaja sampai di Legends Hotel Resort untuk menikmati percutian bulan madu mereka.

Selepas beberapa hari di situ, ketika sedang menikmati makan tengah hari, Michaela pulang ke bilik mewah mereka untuk mengambil snek. Malangnya, bilik mereka ketika itu sedang dipecah masuk oleh perompak.

Perompak tersebut kemudiannya menyerang Michaela dan menjatuhkannya ke lantai lalu mencekiknya dari belakang sebelum meninggalkan badannya di dalam tab mandi dengan air yang terpasang.

Apabila Michaela tidak kembali, John membayar bil makanan dan pulang ke bilik mereka untuk mencari isterinya namun apa yang ditemui adalah tubuh Michaela yang tidak lagi bernyawa.

Pihak berkuasa yang pada mulanya menahan John, akhirnya menahan dua orang pekerja pembersihan hotel tersebut dan mendakwa mereka atas jenayah membunuh selepas menemui kad kunci induk (master key card) yang digunakan untuk memasuki bilik tersebut.

Walaupun begitu, pihak pendakwa gagal menyusun kes ini dengan baik dan akhirnya tewas disebabkan oleh kerja pihak polis yang tidak cekap, membuatkan kedua-dua lelaki tersebut dibebaskan tanpa sebarang sabitan jenayah.

3. Sarai Sierra - Istanbul, Turki

sarai sierra dibunuh di turki

Bagi sesetengah orang, Istanbul dianggap sebagai "pusat dunia" dan merupakan sebuah bandar di mana laluan perdagangan yang menghubungkan sudut paling jauh di Eropah, Asia, dan Afrika selama ribuan tahun. 

Keindahan dan misteri kota ini berasal dari kepelbagaian pengaruh budaya dan agama yang dimiliki Istanbul.

Ia dianggap sebagai lokasi menarik bagi pelancong yang berpengalaman dan oleh itu, seorang ibu dua anak berusia 33 tahun dari New York iaitu Sarai Sierra mengunjungi kota itu pada Januari 2013.

Sejarah dan seni bina Istanbul mempesonakan Sarai dan sebagai seorang jurugambar, dia memutuskan untuk melancong berseorangan selepas rakan karibnya tidak dapat menyertainya.

Pada 22 Januari 2013, Sarai hilang dan selepas tidak muncul di New York pada hari yang dirancang, pencarian menyeluruh di bandar tersebut dilancarkan.

sarai sierra before disappearance

Mayatnya ditemui 12 hari kemudian berhampiran tembok bandar purba Istanbul dan kelihatan seperti mati akibat pukulan di kepala.

Penyiasatan yang sangat menyeluruh dan teratur dilakukan terutamanya jika dibandingkan dengan beberapa penyiasatan dalam senarai ini.

Akhirnya, seorang suspek bernama Ziya Tasali ditangkap pada Mac 2013, berhampiran sempadan Syria.

Ziya adalah gelandangan pengutip kertas yang akhirnya mengaku membunuh Sarai selepas wanita malang itu enggan menciumnya.

Ziya dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat.

4. Bakari Henderson - Zackynthos, Greece

bakari henderson dibunuh di greece

Pada tahun 2017, Bakari Henderson baru sahaja menamatkan pengajian kolej dan melancarkan jenama pakaian sendiri. Bakari memutuskan untuk melakukan penggambaran di Zakynthos, Greece untuk melancarkan jenamanya.

Ketika di Zakynthos, Bakari menikmati waktu malamnya di sebuah bar di kawasan Laguna dan rakaman CCTV menunjukkan dia sedang mengambil swafoto bersama seorang wanita.

Tindakan mengambil swafoto ini membuatkan seorang lelaki yang berdiri berhampiran dengan Bakari berang, yang kemudiannya mengejek wanita itu kerana mengambil gambar dengan lelaki kulit hitam.

Pergaduhan berlaku setelah penyerang itu mengancam Bakari sebelum kedua-dua lelaki itu kelihatan berlari dari bar tersebut.

Sebuah video yang diambil dari kamera CCTV lain di jalan menunjukkan Bakari cuba melarikan diri dari sekumpulan lebih dari 10 lelaki, sebelum dia ditangkap dan diserang berulang kali.

Bakari ditumbuk dan ditendang di bahagian kepala sehinggalah penduduk tempatan yang ketakutan campur tangan.

Bakari mati di tempat kejadian dan walaupun hampir keseluruhan pergaduhan itu dirakam CCTV, tiada seorang pun daripada penyerang kejadian itu (sebahagian besarnya warganegara Serbia) disabitkan kesalahan membunuh.

Sebaliknya, hakim memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penjara di antara 5 hingga 15 tahun bagi jenayah membunuh itu.

5. Sheila Von Weise Mack - Bali, Indonesia

sheila von weise mack dibunuh anak sendiri

Ketika Sheila Von Weise Mack mendaftar masuk bersama anak perempuannya di resort 5 bintang iaitu St. Regis di Bali pada tahun 2014, dia langsung tidak menyedari bahawa ia adalah tempat terakhirnya.

Sheila pastinya sangat takut apabila dia menyedari perlahan-lahan bahawa terdapat rancangan untuk membunuhnya dan lebih menyeramkan, rancangan itu dibuat oleh individu paling rapat dengannya, iaitu anak perempuannya, Heather Mack.

Selepas bapanya meninggal dunia akibat barah usus, Heather agak memberontak dan percutian ini sepatutnya mengeratkan ikatan antara ibu dan anak perempuan.

Malah, Sheila sendiri berasa dia tidak lagi dapat mengawal Heather.

Apa yang tidak diketahui Sheila adalah teman lelaki Heather iaitu Tommy Schaefer tiba di resort yang sama beberapa hari selepas mereka tiba, dengan tujuan untuk menamatkan riwayat Sheila.

Beberapa jam selepas Tommy tiba di resort itu, CCTV menunjukkan Tommy memasuki bilik hotel Sheila dan memukul kepala wanita itu dengan mangkuk berulang kali sehingga mati.

Tommy kemudiannya menyumbat mayat Sheila ke dalam beg pakaian dibantu Heather.

Beg pakaian itu kemudiannya dibawa keluar dari hotel dan dengan menaiki teksi, mereka melarikan diri.

Pasangan jahat ini dikesan tidur di hotel lain dan akhirnya ditangkap.

heather dan tommy 182

Heather dan Tommy masing-masing dijatuhi hukuman 10 dan 18 tahun penjara, selepas didapati oleh mahkamah Bali atas jenayah membunuh.

Sangat jelas bahawa hukuman ini sangat ringan jika dibandingkan dengan hukuman mati yang mereka sepatutnya terima.

Heather bakal dibebaskan awal iaitu pada Oktober 2021 dan akan dihantar pulang ke Amerika Syarikat.

Rujukan: 

1. ABC Chicago

2. NBC News

3. Verse

4. CNN



Hakcipta iluminasi.com (2017)