Puteri Anne adalah satu-satunya anak perempuan kepada Ratu Elizabeth II dan Putera Philip. Dia mungkin tidak sepopular abangnya iaitu Putera Charles atau anak saudaranya, Putera William. Mungkin ramai yang tidak mengetahui kewujudan Puteri Anne.
Walau bagaimanapun, Puteri Anne tetap menjalani kehidupan yang penuh dengan kisah menarik. Malah, Puteri Anne turut dicalonkan beberapa pihak sebagai keluarga diraja British "paling cool".
Berikut adalah beberapa fakta mengenai Puteri United Kingdom yang jarang menjadi perhatian umum ini.
1. Puteri Anne gagalkan cubaan menculiknya
BESARKAN TEKS A- A+
Pada 20 Mac 1974, Puteri Anne dan suami yang baru dikahwininya iaitu Kapten Mark Phillips telah ditahan ketika pulang daripada satu majlis. Kereta mereka telah dihalang oleh sebuah kereta yang tidak dikenali.
Seorang lelaki bernama Ian Ball kemudian meluru daripada kereta misteri itu dan menembak pengawal keselamatan Puteri Anne serta seorang wartawan yang cuba membantu. Ball kemudian mengatakan dia mahu menculik puteri Britain itu.
Puteri Anne sebaliknya dengan tenang memberitahu Ian Ball bahawa usahanya sangat sulit dan tidak akan membuahkan hasil. Ball kemudian beredar sebelum menembak empat orang awam yang lain tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ian Ball akhirnya ditahan dan didapati bersalah kerana cubaan bunuh dan culik.
2. Seorang penunggang kuda yang hebat
Puteri Anne sememangnya seorang yang sukakan kuda. Malah, dia turut bertanding dalam sukan berkuda dan pernah memenangi Kejohanan Eventing Eropah ketika berusia 21 tahun. "Eventing adalah kombinasi berpakaian, merentas desa dan pertunjukan melompat.
Beliau juga merupakan keluarga diraja British pertama yang bertanding di sukan Olimpik. Puteri Anne menyertai Olimpik Montreal 1976 dengan menunggang kuda Ratu Elizabeth II bernama Goodwill.
Suami pertama Puteri Anne iaitu Kapten Mark Phillips juga seorang atlet Olimpik yang pernah memenangi pingat emas dalam acara equestrian dpada Olimpik 1972 dan pingat perak pada Olimpik 1988.
Kini, anak Puteri Anne iaitu Zara Phillips pula mewarisi minat itu dengan memenangi memenangi gelaran dunia individu dan pasukan pada 2006, sebelum memenangi pingat perak pada Olimpik 2012 di London.
3. Dicalonkan untuk Hadiah Nobel
Puteri Anne (kiri) dan Ratu Elizabeth II
Puteri Anne dikenali kerana kerja amalnya dan terlibat dalam ratusan organisasi sepanjang hidupnya. Antara badan amal terbesar pertama yang disertainya adalah Save the Children. Puteri Anne dinamakan sebagai presiden organisasi itu pada 1970 ketika beliau baru berusia 20 tahun.
Pada 1990, Presiden Zambia iaitu Kenneth Kaunda telah mencalonkan Puteri Anne untuk Hadiah Nobel kerana penglibatannya dalam badan kebajikan.
Kaunda mengatakan bahawa Puteri Anne amat sayangkan kanak-kanak dan sanggup membantu kanak-kanak yang kurang bernasib di seluruh dunia.
4. Digelar media sebagai "Kerabat Biadap"
Puteri Anne bersama abangnya, Putera Charles
Anak perempuan tunggal Ratu Elizabeth II dan Putera Philip ini popular dengan caranya yang tersendiri. Dia mempunyai hubungan yang tidak menentu dengan pihak media yang sentiasa membuat liputan segala aktiviti keluarga diraja British.
Malah, puteri ini pernah digelar media sebagai "Kerabat Biadap" kerana beliau sering menolak untuk ditemuramah, diambil gambarnya atau bersalaman dengan orang awam.
Dalam satu temubual, Puteri Anne menerangkan mengapa dia tidak berjabat tangan dengan orang awam. Padanya, dia tidak boleh berjabat tangan dengan semua orang, jadi lebih baik untuk tidak memulakannya. Puteri Anne berpegang pada prinsip itu.
Ini tidak bermakna dia seorang yang sombong. Walaupun tidak berjabat tangan dengan orang awam, beliau sering membuat lawatan sama ada rasmi atau tidak untuk bertemu rakyatnya.
5. Puteri British pertama ke sekolah
Selama berabad lamanya, sudah menjadi tradisi anak-anak keluarga diraja British untuk bersekolah di rumah. Ratu Elizabeth II dan Putera Philip adalah yang pertama menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Ketika kecil, Puteri Anne juga diajar di rumah oleh guru diraja. Pada usia 13 tahun, dia dihantar ke sekolah berasrama penuh perempuan di Kent. Ini menjadikannya puteri diraja pertama yang dihantar ke sekolah berasrama penuh.
6. Antara keluarga diraja British paling rajin
Apabila Ratu Elizabeth II dan Raja Philip mula mengurangkan pertemuan diraja pada 1990-an, beban itu jatuh ke bahu Putera Charles dan Puteri Anne.
Kedua-dua beradik diraja itu dikatakan mempunyai jadual yang sangat ketat. Pada tahun 2019 sahaja, Putera Charles telah melengkapkan sebanyak 521 tugasan manakala Puteri Anne pula sebanyak 506 tugasan.
Walaupun jarang menjadi tumpuan media, Puteri Anne telah dinamakan sebagai kerabat British "Paling Rajin". Segala tugasan dan pertemuan keluarga diraja disiarkan di dalam laman web mereka.