Di negara Barat, meminum minuman beralkohol merupakan satu kebiasaan terutamanya pada hujung minggu. Walau bagaimanapun, sesetengah negara mempunyai syarat yang ketat bagi yang mengambil minuman ini seperti larangan memandu ketika mabuk, larangan minum di tempat terbuka dan sebagainya.

Masalah sosial, peningkatan kadar jenayah dan pengurangan produktiviti rakyat akibat ketagihan kepada minuman beralkohol menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat terpaksa mengambil pendekatan drastik untuk menangani masalah ketagihan arak yang dialami sebahagian besar ramai rakyatnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Maka, antara tahun 1920 dan 1933, kerajaan Amerika Syarikat telah memperkenalkan era atau kempen Prohibition (bermaksud "larangan" jika diterjemahkan) sebagai usaha ke arah mengurangkan ketagihan rakyatnya pada arak.

Pengenalan fasa Prohibition

arak membunuh 235

Prohibition merupakan satu fasa di mana kerajaan telah melarang rakyatnya daripada menghasilkan dan menjual minuman beralkohol di mana-mana tempat dalam Amerika Syarikat. Akibat daripada sekatan ini, rakyat mula bergantung pada minuman beralkohol yang diseludup.

Selain itu, minuman arak juga dihasilkan secara haram dengan menggunakan alkohol yang dihasilkan oleh kilang-kilang industri. Cecair alkohol industri ini biasanya akan dicuri atau dibeli dalam pasaran gelap sebelum diproses untuk dijadikan minuman keras.

Pengenalan kempen Prohibition ini menyebabkan pasaran gelap untuk minuman keras tiba-tiba meningkat. Walaupun kandungannya boleh dipertikaikan, rakyat yang sudah ketagihan minuman keras ini tidak mempunyai pilihan lain.

Menjelang tahun 1926, kerajaan akhirnya sedar bahawa usaha melalui kempen Prohibition ini mungkin gagal. Hal ini disebabkan mereka mengalami kesukaran menyekat penyeludupan masak minuman keras ini masuk ke negara tersebut dan penghasilan arak oleh kilang-kilang arak haram.

Akibatnya, kerajaan terpaksa menggunakan pendekatan lain bagi menyelesaikan masalah ketagihan arak yang menghantui rakyatnya. Pendekatan ini bagaimanapun dikecam sesetengah pihak kerana dianggap keterlaluan.

Campuran "racun" ke dalam arak

rampasan arak 599

Kerajaan mulai sedar bahawa usaha mereka menjauhkan rakyat daripada minuman beralkohol ini menemui kegagalan. Oleh itu, pada tahun 1926, kerajaan telah meluluskan satu undang-undang yang mewajibkan kilang-kilang yang menghasilkan alkohol bergred industri supaya mencampurkan metanol, kerosin, benzin,  merkuri dan bahan-bahan beracun padanya.

Oleh itu, apabila cecair alkohol yang beracun ini dicuri daripada kilang ataupun dijual pada pasaran gelap, ia akan menyebabkan arak yang dihasilkan turut beracun dan tidak selamat untuk diminum. Metanol biasanya menjadi pilihan memandangkan ianya sukar dinyahkan daripada alkohol tersebut walaupun setelah diproses.

Kerajaan pada ketika itu berpendapat, sekiranya mereka meningkatkan kandungan bahan-bahan merbahaya ini dalam arak, ia akan menyebabkan peminum jatuh sakit seterusnya memberi peringatan kepada mereka bahawa arak adalah merbahaya untuk tubuh badan mereka.

Malangnya, cara tersebut tidak berhasil. Apabila sudah ketagih, peminum biasanya tidak peduli akan kesannya. Mereka tetap akan mengambilnya untuk menghilangkan ketagihan terhadap minuman beralkohol. Lagipun, tindakan kerajaan meningkatkan kandungan bahan merbahaya dalam minuman ini dilakukan secara senyap-senyap jadi mungkin peminum arak berpendapat minuman yang diambil bukanlah penyebabnya.

Pertempuran antara ahli kimia

ahli kimia

Keadaan pada waktu tersebut umpama pertembungan antara ahli kimia yang berada di pihak kerajaan dan ahli kimia yang berada di industri pasaran gelap. Ahli kimia yang berpihak kepada pasaran gelap sedaya upaya mengeluarkan bahan-bahan merbahaya ini daripada alkohol yang digunakan sementara di pihak kerajaan pula, sedaya upaya memastikan bahan-bahan merbahaya yang dicampur ini sukar diasingkan.

Malangnya, pasukan ahli kimia yang berada di pihak pasaran gelap tidak berupaya mengasingkan bahan merbahaya ini. Terdapat beberapa orang pegawai perubatan yang telah memberi amaran kepada pihak kerajaan agar tidak meneruskan rancangan ini memandangkan ramai nyawa yang mungkin terkorban akibat keracunan minuman keras ini.

Malagnya, kerajaan pada ketika itu tidak mengendahkan amaran yang diberikan dan meneruskan rancangan berisiko tinggi ini. Akibatnya, tidak lama kemudian kedengaran banyak kes kematian yang direkodkan akibat pengambilan arak yang dijual secara haram ini.

Dianggarkan sekitar 10 ribu orang mati akibat meminum arak yang dijual secara haram ini. Lebih mengejutkan, jumlah ini sebenarnya melebihi jumlah manusia yang terkorban akibat ketagihan terhadap minuman keras. 

pembuangan arak beracun 190

Kerajaan akhirnya membuat pengumuman mengenai perkara ini kepada orang awam. Mesej mereka jelas, hanya mahukan rakyatnya berhenti mengambil minuman keras. Malah, pihak media turut dipanggil ketika pengumuman tersebut dibuat:

"Quit drinking, because we're going to make this a lot more poisonous."

Sesetengah parti politik menentang tindakan kerajaan ini. Mereka mengatakan bahawa kerajaan sebenarnya berat sebelah dan hanya menindas orang miskin. Bagi golongan kaya, mereka masih boleh mendapatkan minuman beralkohol yang "selamat" dengan membeli minuman yang diimport daripada Kanada dan Caribbean.

Tindakan agresif kerajaan yang dilihat tidak berperikemanusiaan ini dihentikan apabila program Prohibition ini ditamatkan pada tahun 1933. Tulisan mengenai perkara ini turut didedahkan oleh Deborah Blum, penulis buku The Poisoner’s Handbook: Murder and the Birth of Forensic Medicine in Jazz Age New York (Penguin Press, 2010).

Kredit:

  1. Atlas Obscura
  2. Slate
  3. Vox



Hakcipta iluminasi.com (2017)