Penemuan objek di langit yang tidak dapat dikenalpasti atau UFO menjadi antara misteri yang sering menarik perhatian orang ramai. 

Bagaimana pula sekiranya kami katakan ketika ini di Los Angeles, Amerika Syarikat sedang berlaku misteri hampir serupa yang telah menghantui jabatan penerbangan Amerika Syarikat dan FBI hampir setahun?

Bezanya dalam kes ini, objek yang tidak dapat dikenalpasti mirip seorang lelaki yang terbang di udara tanpa dikenali siapa identitinya atau benarkah dia manusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Insiden pertama penemuan 'lelaki terbang' di udara Los Angeles

jetpack man los angeles

Pada bulan Ogos tahun 2020, satu laporan aneh diterima berkenaan penemuan lembaga menyerupai lelaki terbang di udara, dikatakan menggunakan peranti jet (jetpack) yang digalasnya.

Lembaga itu ditemui terbang pada ketinggian 915 meter dari aras tanah, mengakibatkan badan pemantauan ruang udara Los Angeles berasa aneh kerana tidak diketahui apa kisah di sebaliknya.

Penemuan itu disusuli penemuan kedua sekitar bulan Oktober oleh juruterbang China Airlines, yang melaporkan lembaga tersebut sedang terbang pada ketinggian 1850 meter berdekatan Lapangan Terbang Los Angeles (LAX), dilapor menggunakan posisi dan peralatan hampir serupa.

Hanya pada bulan Disember tahun 2020, barulah video pertama memaparkan individu atau lembaga itu berjaya dirakamkan seorang pelatih juruterbang dari sebuah akademi penerbangan semasa sesi latihannya.

Da berjaya merakamkan lembaga itu sedang terbang pada ketinggian 915 meter sendirian pada kelajuan pantas.

Hampir berlanggar dengan pesawat

gambaran jetpack man amerika syarikat

Bukan gambar sebenar

Berdasarkan video yang diperolehi di atas, dapat dilihat bagaimana sosok bentuk individu yang dikatakan sedang terbang itu jelas mirip seorang manusia; tetapi tidak diketahui adakah dia seorang manusia betul atau sekadar figura berbentuk manusia yang diterbangkan dron.

Menurut juruterbang yang berjaya merakamkan video itu, memang diketahui ada sebuah syarikat pengeluar jentera penerbangan yang beroperasi di Los Angeles tetapi semua sesi ujian perlulah didaftarkan terlebih dahulu.

Apa yang membingungkan, tidak ada notis penerbangan diwartakan oleh mana-mana syarikat untuk menjalankan sesi ujian dalam ketiga-tiga penemuan tersebut.

Situasi itu juga mula menimbulkan rasa bimbang pihak berkuasa, ekoran kedudukan individu itu terbang agak hampir dengan pesawat-pesawat yang menggunakan ruang udara.

Dalam insiden pertama penemuan individu atau lembaga tersebut, juruterbang yang melaporkan memberitahu 'seorang lelaki sedang menaiki peranti jet' terbang lebih kurang 275 meter saja jaraknya dari sebelah kiri badan pesawat yang dipandunya. Dekat bukan?

Situasi ini bukan saja mula menimbulkan rasa cemas, malahan semakin ramai mula merasa aneh dan hairan di kalangan para petugas LAX. Pelbagai teori mula dikeluarkan mereka yang cuba merungkai misteri lembaga tersebut.

Siapakah atau apakah lembaga terbang itu? 

iron man dunia nyata

Pendapat paling popular menyifatkan lembaga yang menyerupai manusia itu adalah dron yang dipasangkan figura mesin berbentuk manusia untuk tujuan percubaan penerbangan tanpa kebenaran.

Kertas siasatan Federation Aviation Administration Amerika Syarikat atau FAA yang didedahkan melaporkan setakat ini tidak ada syarikat penerbangan yang mengaku penglibatan mereka dalam kesemua insiden tersebut.

Apa yang lebih membingungkan, menurut jurucakap salah sebuah syarikat dron penerbangan manusia iaitu Jetpack Aviation yang beroperasi di Los Angeles, setakat apa yang mereka tahu - belum ada lagi teknologi dron yang mampu menerbangkan figura manusia pada ketinggian dan jangkamasa  seperti didakwa kelihatan.

Siasatan lebih lanjut melibatkan individu yang pernah terserempak dengan dron tersebut melaporkan mempunyai satu persamaan; mereka bersetujui lembaga yang mereka saksikan menyerupai binaan sebuah dron yang telah dibangunkan di Jerman, seperti dalam video di atas. 

Bagaimanapun, pandangan itu masih tidak mampu menjawab misteri adakah figura itu manusia ataupun hanya patung ujian.

Lagipun, FAA serta siasatan FBI sendiri tidak dapat mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab menerbangkan dron itu dalam laluan trafik udara yang padat tanpa kebenaran.

Penemuan terbaru kembali menimbulkan misteri

gambaran manusia terbang

Kes ini reda untuk seketika sebelum kembali hangat selepas juruterbang sebuah pesawat melaporkan lembaga itu kembali meneroka ruang udara Los Angeles pada 31 Julai 2021.

'Dia' kembali melakukan penerbangan pada jam 6.20 petang hari tersebut pada ketinggian 1,520 meter.

Notis yang dikeluarkan juruterbang tersebut membolehkan amaran dikeluarkan oleh pihak pengurusan ruang udara, dalam memastikan tidak ada insiden kemalangan berlaku agar semua juruterbang yang beroperasi mengamalkan sikap berhati-hati.

Sekiranya anda tertanya adakah teknologi sebegini telah wujud, kita boleh merujuk kepada projek Jetman Dubai, sebuah projek usahasama kerajaan UAE hasil kepakaran jurutera dari India, Switzerland dan Perancis yang berjaya membangunkan sebuah peranti jet lebih mirip kepada bentuk jet pejuang.

Bagaimanapun rekaan projek tersebut lebih kepada sebuah enjin jet yang dipasangkan kepada tubuh manusia, bukan bersifat seperti sebuah dron yang menggunakan bilah kipas.

Projek Jetman Dubai yang diterbangkan dua juruterbang bernama Yves Rossy dari Switzerland dan Vince Reffet dari Perancis  selamat menjalankan beberapa siri ujian sehingga mereka mampu mencecah ketinggian 1,800 meter semasa belayar di udara.

Sama seperti sebuah dron, projek ini memulakan penerbangan dari posisi berdiri juruterbang sebelum terapung dipacu empat enjin jet. Gabungan enjin itu membolehkan mereka meluncur pada kelajuan maksima 400km/j.

Teknologi yang dibangunkan juga membolehkan juruterbang terapung di udara selama lebih 100 saat dalam satu kedudukan, ibarat sebuah dron biasa.

Malangnya, dalam satu sesi latihan projek tersebut pada 17 November tahun 2020 yang diadakan di kawasan gurun sekitar Dubai, Reffett terkorban akibat kerosakan mekanikal.

Jetman Dubai membuktikan teknologi sedemikian rupa sudah benar-benar wujud. Jadi mari kita kembali kepada persoalan utama kita - siapakah lembaga misteri yang mengganggu laluan udara Los Angeles; manusia atau mesin?

Mungkin juga Iron Man sebenar sedang mencuba teknologi baru yang telah dibangunkannya.

Rujukan

Los Angeles air traffic control warns ‘jetpack guy is back’

 

 




Hakcipta iluminasi.com (2017)