geng curi kleptomania kangkang susu

Mencuri merupakan satu perbuatan yang jelas tidak disukai sesiapa pun. Ada orang yang terdesak, sehingga terpaksa mencuri sesuatu yang amat-amat diperlukan seperti beberapa kes di mana ibu bapa mencuri susu tepung anak akibat ketiadaan wang.

Ada juga individu yang mencuri untuk memperkayakan dirinya, ekoran sifat tamak yang terpendam dalam diri. Wujud satu lagi kelompok 'unik' di kalangan pencuri yang duduk di luar kotak definisi pencuri, di namakan sebagai 'kleptomania.'

Apa yang membezakan seorang 'kleptomania' berbanding pencuri terdesak atau pencuri tamak dan kenapa mereka layak dikatakan 'unik'? Jom kita pelajari serba sedikit tentang masalah mental yang mungkin berlaku pada orang sekeliling anda.

Kleptomania - rasa gementar dan seronok mencuri

masalah mental suka mencuri

Ketika anda melakukan sesuatu aktiviti yang mencabar diri anda seperti aktiviti lasak, rasa berdebar-debar yang wujud semasa menjalankan aktiviti tersebut serta rasa 'khayal' sekiranya anda dapat menjayakannya, pasti sangat mengujakan anda bukan?

Apatah lagi sekiranya aktiviti yang anda sertai berisiko tinggi serta mampu memberikan bahaya kepada anda. Itu adalah perasaan yang dialami seorang kleptomania setiap masa.

Mental mereka mahu merasakan rasa 'high' itu yang membuatkan mereka melalui pelbagai fasa psikologi, daripada rasa gementar sehinggalah keseronokan sukses kerana berjaya melakukan curian dengan 'selamat.' Tetapi apa yang membezakan seorang kleptomania dengan pencuri-pencuri biasa adalah ketiadaan motif.

'Kleptomania' kali pertama didefinisikan sebagai salah satu masalah mental sekitar awal abad ke 19, oleh pakar perubatan Switzerland bernama Andre Mathey.

Menurut Mathey, seorang itu layak dianggap kleptomania sekiranya dia mempunyai keinginan untuk mencuri setiap masa tanpa mempunyai motif atau keperluan untuk melakukannya - dan dia melakukannya hanya untuk memuaskan gejolak hatinya yang ingin melalui proses-proses mental yang berlaku semasa kejadian itu dilakukan.

Pengkaji psikologi mentakrifkan terdapat 3 peringkat mental yang dirasai seorang kleptomania ketika mereka menjalankan kerja mereka - rasa ingin sangat nak mencuri, rasa gementar dan takut sebelum mencuri dan akhirnya, rasa lega serta seronok kerana berjaya mencuri.

Menurut Mathey lagi, seorang kleptomania akan mengulangi tindakan sama berulang-ulang disebabkan oleh rasa lega dapat mencuri itu, mampu memberikan sensasi mental yang ditagih mereka.

Mencuri sebagai tabiat hidup

ketagih curi di pasaraya

Selain ketiadaan motif, satu kelainan yang membezakan kleptomania dengan pencuri biasa adalah rasa bersalah yang hadir setiap kali selepas berlakunya kecurian.

Seseorang kleptomania berdepan tekanan untuk mencuri, seronok melakukannya tetapi pada penghujung hari mula dihantui rasa bersalah kerana punya kesedaran sendiri apa yang mereka lakukan itu salah.

Tetapi mereka akan kembali mencari ruang untuk mencuri selepas itu setiap masa dan peringkat-peringkat mental ini akan berulang sehingga menjadi satu rutin atau tabiat.

Dalam satu yang dilaporkan Brazillian Journal of Psychiatry dalam tahun 2008, seorang wanita (ketika itu berusia 49 tahun) serta ibu kepada 3 orang anak mengakui telah mula mencuri sejak berusia 20 tahun sehinggalah ditemuramah - walaupun dia mempunyai kerja tetap dan berkemampuan membeli barangan yang diingini.

Tabiat ini menurut wanita tersebut berpunca daripada rasa teringin mencuri yang hadir dan hanya akan hilang selepas selesai dia mencuri. Uniknya dalam kes ini, semua barangan yang telah dicuri akan disimpan wanita tersebut dalam sebuah kotak yang disembunyi digaraj rumahnya tanpa dibuka atau digunakan.

Kes-kes melibatkan wanita seperti yang diceritakan di atas merupakan norma biasa dalam setiap laporan berkenaan masalah kleptomania.

Semua pesalah yang berjaya ditemui juga melaporkan satu persamaan ketara - mereka mempunyai masalah keluarga, sama ada hidup dalam situasi keluarga yang tidak stabil atau pernah menjadi mangsa kepada kes penderaan.

Tetapi apa yang mungkin akan memeranjatkan anda - kajian berkenaan kleptomania ini juga menunjukkan golongan wanita mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk mencuri tanpa motif ini.

Wanita pelaku utama kleptomania

geng curi payudara

Berdasarkan kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, dianggarkan 6 daripada 1000 mengalami masalah kecenderungan kleptomania.

Penyelidik juga setakat ini turut menganggarkan 2 daripada 3 individu kleptomania - adalah seorang wanita. Ini bermakna daripada 6 orang kleptomania yang ditemui, 4 daripada mereka adalah perempuan.

Malangnya kajian berkenaan masalah mental ini cukup sukar untuk diperkembangkan, berikutan kesukaran penyelidik untuk mendapatkan responden yang sudi untuk ditemuramah, selain cabaran pelaku sendiri yang rata-ratanya tidak menyedari tabiat mencuri mereka itu di luar norma tabiat pencuri lain.

Ada pencuri yang mencuri untuk kaya, tetapi majoriti kleptomania yang berjaya ditemui menampakkan sifat-sifat serupa; gemar mencuri sesuatu yang bukan keperluan tanpa motif dan hanya mahu memenuhi 'tuntutan perasaan.'

Barangan yang dicuri pula jika tidak disimpan seperti kes wanita di atas, akan dibuang, diberikan kepada orang lain atau dalam kes lebih pelik - dipulangkan semula ke kedai tanpa sesiapa perasan.

Sekiranya anda ada kecenderungan dan perasaan mahu mencuri kendiri tanpa motif hanya untuk memenuhi tekanan perasaan dan tabiat itu telah berlanjutan sejak usia anda muda sehinggalah anda dewasa, silalah dapatkan rawatan.

Kebanyakan kleptomania kekal dengan rutin mereka kerana mereka jarang tertangkap, ekoran datang dari kelompok yang tidak mencurigakan. Tetapi sekali tertangkap, susah untuk anda berdepan kritikan dan cemuhan kerana hendak tak hendak - mencuri adalah satu kesalahan yang sukar dimaafkan.Rujukan

Kleptomania: a case serieshttps://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC535651/



Hakcipta iluminasi.com (2017)