samosa perween warsi terkenal di britain

Sumber Foto: bbc.co.uk

Bermodalkan £2.50 dan cita-cita yang tinggi, Perween Warsi ingin seluruh rakyat Britain menikmati makanan beliau. 31 tahun selepas menceburi perniagaan sebagai pengeluar produk makanan, impian beliau kini boleh dikatakan telah menjadi kenyataan. 

Kehidupan Awal Bakal Seorang Usahawan Berjaya

daerah bihar di utara india

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sumber Foto: flickr.com

Perween Warsi dilahirkan dan dibesarkan di daerah Bihar di utara India. Bapa merupakan seorang jurutera dan atas urusan kerja bapa beliau, mereka sekeluarga banyak berpindah-randah. 

Disebabkan gaya hidup yang banyak berpindah, beliau mudah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Sebagai kanak-kanak riang, Perween selalu bersama pembantu rumah keluarga di dapur. 

Walaupun sebagai kanak-kanak, beliau sangat rajin dan selalu ingin membantu pembantu rumahnya menyiapkan makanan. Walaupun diberikan tugas yang kecil, beliau bersungguh-sungguh melakukannya. 

Antara tugas di dapur yang beliau lakukan termasuklah melipat samosa dan menguli doh capati. Ketika di awal usia juga beliau selalu melihat ibu dan nenek membuat resipi makanan baru dari pelbagai jenis bahan yang segar. 

Melalui pendedahan awal ini, minat beliau terhadap bidang masakan mula terbentuk. 

Kali Pertama Menjejakkan Kaki Ke Britain

bandar derby united kingdom

Sumber Foto: hotelroomsearch.net

Pada pada usia 17 tahun, beliau berkahwin dengan seorang doktor bernama Talib Warsi melalui aturan keluarga. Sepanjang hidup beliau tinggal di India. Pada tahun 1975, iaitu setelah berkahwin, beliau terpaksa berpindah ke Derby, England kerana suaminya bekerja di sana. 

Walaupun pandai menyesuaikan diri dengan tempat baharu, England sangat asing bagi beliau. Beliau melalui kejutan budaya bukan sahaja dari segi cuaca, malah makanan di negara tersebut juga lain.

Dahulunya mempunyai pembantu rumah, kini segala tugasan beliau harus lakukan sendiri. Sebagai seorang isteri, beliau bertanggungjawab untuk memasak, mengemas dan menguruskan segala lain-lain hal di rumah.

Bermulanya Menceburi Bidang Perniagaan Makanan 

perween warsi di dapur

Sumber Foto: eastmidlandsbusinesslink.co.uk

samosa daging original dari india 715

Sumber Foto: keywordsuggest.org

Britain dan India mempunyai hubungan yang lama dari segi sejarah, dan makanan India bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat negara barat itu.

Industri makanan India di negara tersebut sangatlah berpotensi tinggi. Terdapat lebih kurang 8000 restoran makanan India di Britain dan ayam Tikka Masala dilihat lebih popular berbanding fish and chips. Sukar dipercayai. 

Disebabkan tidak berpuas hati dengan kualiti makanan tempatan dan makanan India di sana (sama ada di restoran mahupun pasaraya), beliau memilih untuk memasak sendiri daripada makan di luar.

Pada tahun 1986, beliau mula menghasilkan samosa menggunakan resipi keluarga untuk dijual di kedai-kedai makanan di sana. Beliau hanya bermula dengan 12 biji samosa yang dihasilkan daripada setengah dozen sayur dan setengah dozen daging untuk dijual di sebuah restoran Greek. Jumlah pelaburan pertama beliau adalah sebanyak £2.50.  

Samosa beliau mendapat sambutan baik dan menjadi buah mulut rakyat tempatan. Lama kelamaan, beliau menghasilkan lebih banyak jenis makanan India seperti pakoras dan ayam tandoori. Beliau turut menjual kebab. Segala produk makanan yang beliau keluarkan dihasilkan di dapur rumah beliau. 

Peringkat Awal Berkembangnya Perniagaan

perween warsi seorang wanita bekerjaya 964

Sumber Foto: tribuneindia.com

perween warsi bersama pekerja pekerja beliau

Sumber Foto: grocerytrader.co.uk

Perween mengubah suai dapur rumah kerana memerlukan ruang yang lebih besar bagi menghasilkan lebih banyak kuantiti produk. Beliau turut mengambil pekerja yang terdiri daripada wanita-wanita Asia yang tidak pandai bertutur dalam bahasa Inggeris. 

Mereka inilah yang bersama beliau mengembangkan perniagaan makanan beliau. Daripada pembuatan secara manual, pekerja-pekerja tersebut kini mampu untuk menggunakan mesin-mesin yang kompleks.

Mereka turut menjadi lebih yakin untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Perween memupuk bakat dan memberi peluang kepada wanita-wanita ini untuk berkembang sejak awal lagi. Sebagai balasan, mereka setia bersama beliau ketika susah dan senang. 

Cabaran Untuk Terus Berkembang

asda antara pasaraya yang perween warsi cuba tembusi

Sumber Foto: thedrum.com

Beliau mempunyai impian yang lebih besar. Daripada kedai-kedai di sekitar kawasan perumahan, beliau mula cuba menembusi pasaran pasaraya bagi memasarkan produk sejuk beku samosa dan lain-lain.  

Beliau gagal untuk meyakinkan pasaraya untuk menjual produk mereka. Kegagalan ini bukan sesuatu yang mudah untuk beliau hadapi. Namun atas prinsip tidak murah menyerah kalah, beliau terus mengejar cita-cita beliau tanpa berputus asa.

Beliau seorang yang yakin dengan diri sendiri dan dengan kualiti makanan yang dihasilkan, beliau percaya beliau akan berjaya. Motto hidup beliau adalah 'innovasi atau mati'.

Setiap kali menemui kegagalan, beliau terus bekerja keras bagi menambah baik kualiti makanan serta mempelbagaikan produk. Perween bertahan selama beberapa tahun.

Mencapai Kejayaan Yang Lebih Tinggi 

perween warsi wanita gigih

Sumber Foto: thetimes.co.uk

Pada tahun 1987 beliau telah dijemput oleh rangkaian pasaraya ASDA untuk acara blind food tasting. Acara ini turut dihadiri oleh pembekal-pembekal makanan sejuk beku yang lain.

Makanan yang dirasakan berkualiti dan memenuhi cita rasa pelanggan akan diberikan kontrak bagi membekalkan produk tersebut kepada pasaraya ini. Akhirnya, syarikat beliau iaitu S&A Foods berjaya mendapat kontrak tersebut.

Kontrak tersebut adalah permulaan kepada kejayaan yang lebih besar kerana kuantiti produk yang perlu dihasilkan oleh syarikat beliau adalah berkali ganda dari apa yang pernah beliau keluarkan. Malah, ia perlu memenuhi standard yang ditetapkan. 

Nota: Nama S&A Foods diambil dari nama anak-anak beliau iaitu Sadiq dan Abid.

Untuk berjaya bukanlah sesuatu yang mudah. Beliau tidak mempunyai latar belakang perniagaan, malah tidak mempunyai modal yang cukup untuk dilaburkan kepada fasiliti atau kilang bagi memenuhi kehendak kontrak yang beliau perolehi. 

Beliau sedar bahawa di saat ini keluarga hanya mampu memberi sokongan moral, sokongan kewangan bukanlah sesuatu yang mereka mampu. Jadi, beliau perlu mencari sokongan kewangan dari luar.

perween di kilang pertama beliau 759

Sumber Foto: bbc.co.uk

Untuk membina sebuah kilang yang mampu menghasilkan makanan berskala besar memerlukan pelaburan yang banyak. Beliau akhirnya bekerjasama dengan sebuah syarikat tempatan iaitu Hughes Food Group (HFG) bagi mendapatkan bantuan kewangan yang beliau perlukan.

Beliau dengan berat hati menjual saham syarikat kepada HFG. Keputusan ini agak sukar bagi beliau kerana beliau enggan ada campur tangan dalam keputusan yang akan dibuat. Namun, apakan daya beliau tiada pilihan.

Pada tahun 1989, beliau berjaya membina sebuah kilang bagi menghasilkan makanan sejuk beku, dalam yang sama menghasilkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar kawasan kilang.

Berjaya memenuhi kontrak sebelumnya, S&A Foods mendapat kontrak baharu daripada ASDA, dan juga daripada sebuah pasaraya lain iaitu Safeway. 

Kesimpulan

perween warsi yang terkini

Sumber Foto: youtube.com

Siapa sangka daripada perusahaan kecil dengan menjual samosa di Britain mampu menjadikan Perween Warsi salah seorang wanita terkaya di negara itu? Kejayaan tidak mengenal darjat, latar belakang dan jantina. 

Untuk berjaya dalam hidup bukanlah sesuatu yang mudah. Gagal sekali tidak bermaksud akan gagal selamanya. Yang penting, perlu rajin berusaha demi mencapai cita-cita dan bukan sekadar goyang kaki mengharapkan rezeki jatuh dari langit. 

Kegigihan dan keazaman yang tinggi adalah ciri-ciri orang berjaya. Sekiranya Perween Warsi boleh, anda pun boleh berjaya seperti beliau. 

Rujukan:

  1. timesofindia.indiatimes.com
  2. moneyweek.com
  3. infokat.net



Hakcipta iluminasi.com (2017)