Mike McKenna banyak terhutang budi dengan visi Steve Jobs - tetapi bukan atas sebab yang anda sangkakan.

Bertugas sebagai CEO kepada Diamond Assets, McKenna menghabiskan harinya menguruskan sebuah syarikat yang membeli dan menjual semula produk lama Apple terpakai, yang diambil daripada sekolah-sekolah.

Dalam tiga tahun ini, perniagaannya meningkat maju. Untung kasar syarikatnya pada tahun 2017 berada pada tahap $43 juta (RM178 juta), naik sebanyak 19,718 peratus berbanding tahun 2014. Kemajuan ini meletakkan Diamond Assets berada pada kedudukan ke 7 syarikat yang mencatatkan perkembangan paling besar di Amerika Syarikat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimana Diamond Assets bermula itu berlaku secara kebetulan -  tidak lama dahulu pada awal tahun 2014, McKenna ketika itu sedang bekerja dengan Apple. Pengalamannya di Apple ketika itu, memberi idea kepada beliau untuk memulakan perniagaan sendiri.

Idea baru daripada kelemahan sistem pelupusan peranti sekolah

mike mckenna diamond assets perniagaan baru

McKenna bertugas sebagai salah seorang eksekutif yang menguruskan bahagian akaun untuk Apple, bekerja secara dalam talian dari lokasinya di Wisconsin. Dia ditugaskan menjaga bahagian akaun, namun tetap melakukan jualan.

McKenna diberi tanggungjawab untuk menyelidik tentang sekolah-sekolah yang memerlukan penggantian perkakasan mereka dan mengesyorkan penambahbaikan.

Semasa berurusan dengan sekolah-sekolah ketika itu, McKenna menyedari opsyen sekolah yang mahu melupuskan perkakasan lama agak terhad. Pusat kitar semula barangan elektronik kebiasaannya terus melupuskan barangan yang tiba pada mereka. Syarikat yang menawarkan program pertukaran produk lama ke baru pula tidak menawarkan harga yang berpatutan pada pemilik asal, iaitu sekolah untuk membolehkan sekolah menjimatkan kos membeli peranti lebih terkini.

Ketika inilah McKenna mendapat idea untuk menubuhkan syarikat yang memenuhi kedua-dua permintaan tersebut.

Belajar dengan memerhati

pekerja cuci peranti perniagaan baru

Walaupun merasakan idea yang ada cukup kukuh, McKenna tidak berani memulakan perniagaan baru secara sendirian. Bagi mendapatkan pandangan orang luar, McKenna berbincang dengan seorang usahawan bernama Michael LeMaster, ayah salah seorang rakan sekuliahnya di kolej.

McKenna merasakan terdapat permintaan dalam industri yang mampu diisi dengan idea beliau, cuba meyakinkan LeMaster. LeMaster bersetuju. Pada bulan September tahun tersebut, LeMaster membuka sebuah pejabat di Wisconsin berdekatan dengan McKenna, walaupun untuk dirinya sendiri memerlukan dua jam perjalanan dari rumahnya di Chicago.

Kadar sewa pejabat di Wisconsin lebih rendah dengan kadar gaji pekerja yang diperlukan juga lebih baik berbanding di Chicago. Atas cadangan McKenna, LeMaster mula menjalin kerjasama dengan beberapa sekolah dan Diamond Assets memulakan perniagaan mereka. Nama Diamond diambil daripada nama isteri McKenna sendiri.

Perniagaan mereka mula rancak dengan McKenna sudah mengetahui serba sedikit selok-belok perniagaan mereka, membantu perkembangan lebih pantas daripada biasa kerana tidak ada syarikat yang menawarkan perkhidmatan sedemikian rupa.

Tidak lama selepas itu, McKenna dilantik LeMaster sebagai naib presiden bahagian jualan dan McKenna berhenti daripada jawatannya di Apple.

Melebarkan sayap perniagaan

pekerja muda bertugas baik pulih perkakasan apple

Bermula tahun 2015, hanya bergantung dengan promosi mulut ke mulut dan program rujukan, Diamond Assets mula melebarkan sayap mereka ke Ohio dan Indiana.

Jadual mereka dipenuhi dengan mesyuarat bersama dengan pihak pengurusan sekolah, menyampaikan idea perniagaan mereka. Keperluan kawasan gudang bagi menyimpan stok yang telah mereka beli juga semakin lama semakin besar.

Melihat Diamond Assets semakin berkembang dan McKenna sudah merasa yakin mampu menguruskannya sendiri, pada hujung tahun 2016 LeMaster bersetuju menjual semua pegangan sahamnya kepada McKenna. LeMaster yang mengundur diri dan seterusnya terus tidak berlengah melancarkan sebuah lagi perniagaan baru peralatan pembinaan.

Mike McKenna pula melantik dirinya sebagai CEO Diamond Assets, memegang tanggungjawab menguruskan keseluruhan operasi syarikat itu.

Strategi pasti menang McKenna dengan produk Apple

mike mckenna diamond assets bentuk perniagaan

Pada Jun 2018, Diamond Assets berpindah ke pejabat dan gudang baru lebih besar berkeluasan 59 ribu kaki persegi, bagi menampung operasi yang semakin meluas di seluruh Amerika Syarikat, termasuklah di Alaska dan Hawaii.

Perpindahan ini membolehkan dia menggajikan tambahan 60 orang pekerja sepenuh masa, dengan gaji bermula daripada $15 sejam sehingga ada pekerja yang mampu mencapai pendapatan $75,000 setahun.

Kini mempunyai 120 orang pekerja sepenuh masa, Diamond Assets semakin terkenal dengan identiti mereka sebagai 'syarikat yang membeli dan membekalkan semula produk baru Apple di sekolah-sekolah' serta dilantik pengedar sah barangan Apple. Uniknya, bagi menjamin kualiti produk terpakai mereka - mereka masih lagi mengekalkan kaedah kerja yang sama sejak mula.

Setiap produk terpakai Apple yang mereka perolehi daripada sekolah akan dibeli dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran biasa produk terpakai, dalam membantu sekolah mendapat pulangan semula yang lebih bernilai.

Semua produk yang dibeli akan ditandakan dengan tag, disusun di gudang dan melalui proses memadam semua data di dalamnya. Kesemua produk seperti iPad, Macbook dan iMac terpakai ini, kemudiannya akan dibersihkan dengan teliti sebelum diberikan gred kualiti A hingga F.

gudang besar potensi perniagaan baru

Bagi membantu perniagaan seperti ini yang memerlukan dana yang besar serta berisiko kerana melibatkan simpanan stok produk yang banyak, McKenna mula membawa pelabur-pelabur baru yang berminat dengan sebuah syarikat ekuiti menjadi pemegang saham kedua terbesar DIamond Assets.

Model perniagaan ini bukan saja membolehkan pelajar sekolah merasai teknologi terbaru Apple sambil sekolah dapat meminimakan pembaziran. Pelanggan yang meminati produk syarikat Apple dapat membeli barangan jenama tersebut pada harga yang jauh lebih murah, wa;aupun dalam kondisi terpakai.

Usaha ini juga berjaya mengurangkan jumlah kadar produk elektronik yang dibuang begitu saja, tanpa dapat dimanfaatkan sepenuhnya penggunaannya kerana majoriti produk yang diperolehi McKenna masih lagi beroperasi dengan baik.

Memang menjadi taktik serampang dua mata McKenna. Dengan hanya satu idea mudah, dia berjaya;

1. Membantu sekolah menguruskan pelupusan dan penggantian peranti lama

2. Membantu golongan berpendapatan rendah membeli produk jenama Apple pada harga terpakai

3. Mengurangkan jumlah sampah yang perlu diproses

4. Menjadikan dia salah seorang ahli perniagaan paling cepat naik di Amerika Syarikat

5. Menyediakan peluang pekerjaan pada warga Amerika Syarikat dengan gaji yang lumayan




Hakcipta iluminasi.com (2017)