reynhard sinaga

Satu ketika dulu negara kita pernah dikejutkan dengan berita tentang Nur Fitri Azmeer Nordin, seorang pelajar Malaysia yang belajar di Imperial College, London - yang dibuktikan menyimpan lebih 30,000 imej dan video bersifat pornografi kanak-kanak.

Kini telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara dan selamat kembali ke Malaysia walaupun berdepan kontroversi, Fitri kini dikatakan berusaha meneruskan hidupnya. Mungkin ada sesuatu yang aneh dengan udara Britain agaknya - sehingga membuatkan lelaki-lelaki Asia Tenggara gemar berkelakuan aneh di sana?

Dalam kes terbaru, seorang warga Indonesia bernama Reynhard Sinaga telah pun dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup akibat jenayah seksual juga.

Apa yang Reynhard lakukan? Dia gemar merogol lelaki lain.

Perogol bersiri paling licik di Britain

reynhard sinaga cctv

Reynhard hadir ke Manchester sejak tahun 2007, sudah lebih tujuh tahun menetap di Manchester dalam sebuah apartment yang terletak tidak jauh daripada sebuah kelab malam bernama Factory Nightclub sejak tahun 2012.

Berumur 36 tahun (semasa artikel ini ditulis), Reynhard sangat cemerlang dalam pelajarannya. Dia sudah menamatkan pengajian peringkat ijazah sebanyak empat kali dan sedang menyambung pengajian dalam peringkat doktor falsafah.

Kehidupan siangnya dipenuhi dengan kelas dan tugasan, dikenali sebagai seorang pelajar pintar yang mesra, baik budi pekerti dan gemar hidup bebas. Reynhard juga terkenal gemar mengunjungi gereja berdekatan.

Jadi tidak ada sesiapa pun mengesyaki hidupnya jauh berbeza pada waktu malam, apabila dia menggunakan apartmentnya untuk dijadikan sarang seks - mengumpan lelaki-lelaki kurang bernasib baik untuk dijadikan pemuas nafsu.

Modus operandi Reynhard

perogol bersiri britain warga indonesia

Berikutan tubuhnya yang tinggi dan langsing  serta tidak kelihatan mampu mengancam sesiapa - agak mudah bagi Reynhard mendekati mangsa. Sasarannya lelaki heteroseksual atau dalam bahasa kasarnya, lelaki normal. Lelaki yang suka wanita.

Ini kerana Reynhard merasakan ada kepuasan lebih sekiranya dia berjaya menodai lelaki-lelaki yang lurus, tidak sama sepertinya seorang homoseksual.

Taktiknya sama saja setiap kali, dengan membawa perwatakan baik dan ingin membantu, Reynhard akan menyapa mana-mana lelaki yang sedang menunggu di sekitar Factory Nightclub. Selepas menegur mangsa, Reynhard akan mula menaburkan simpati terhadap nasib mangsa yang terpaksa menunggu di luar lalu menawarkan rumahnya untuk mereka berteduh sementara.

Lebih selesa, lebih mudah dan mangsa diyakinkan tidak perlu berada di luar lagi.

Setelah hadir ke dalam apartment, Reynhard akan berbual-bual sebelum menawarkan minuman kepada mangsa. Majoriti mangsa yang hadir membuat laporan polis hanya ingat setakat itu sahaja -  kerana mereka tidak lagi sedarkan diri selepas itu. Besar kemungkinan, ramai masih lagi tidak tahu apa yang telah Reynhard lakukan pada mereka bila mereka pengsan.

Apa yang memelikkan - kebanyakan mangsa tidak menyedari mereka telah dirogol, sebaliknya beranggapan mereka pengsan disebabkan kesan arak yang diminum semasa berada di kelab.

Jadi ada antara mereka yang mengucapkan terima kasih pada Reynhard kerana membenarkan mereka menginap semalaman, sebelum pulang ke rumah seperti biasa.

Tidak diketahui sejak bila mula merogol lelaki

bilik di mana reynhard mengerjakan mangsa

Berasal dari Depok, Jakarta dari keluarga berada, masalah kewangan tidak pernah membelenggu hidup Reynhard, membolehkan dia menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Dia menamatkan pengajian ijazah dalam senibina di Universiti Indonesia, Depok sebelum berpindah ke Manchester bagi menyambung pengajian.

Dia berpindah randah dari Manchester ke Leeds, menamatkan tiga lagi kursus ijazah sebelum menetap di apartment yang menjadi markasnya sejak tahun 2012. Hanya pada 2 Jun 2017, kegiatannya selama ini terbongkar.

Seorang remaja yang dipancing untuk hadir ke sarang Reynhard selepas gagal menghubungi kumpulan rakannya, melalui kejadian serupa - pengsan secara tiba-tiba selepas diberikan bahan GHB, sejenis dadah jenis cecair tanpa warna yang lebih dikenali di Britain sebagai 'chemsex'; diambil dalam dos kecil akan menyebabkan rasa keinginan syahwat.

Dalam dos lebih besar - seseorang boleh kehilangan kesedaran diri. Dalam sukatan melampau? Boleh mati.

Remaja itu yang tidak dinamakan tersedar semasa Reynhard sedang melakukan aktiviti seksual ke atas dirinya, menyebabkan remaja itu bertindak menyerang Reynhard. Selepas beberapa kali berjaya menyerang Reynhard yang berlakon seakan remaja itu pula mencerobohi rumahnya, remaja itu berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis.

Polis yang hadir pada mulanya mempercayai kisah Reynhard bahawa rumahnya diceroboh, sebelum penemuan telefon pintar miliknya berjaya menemukan pihak polis dengan aksi Reynhard sedang merogol remaja tersebut.

Sebuah lagi telefon milik Reynhard ditemui dan kesemua 'koleksi' video miliknya merogol mangsa, berjumlah lebih 800 video semuanya. Reynhard gemar merogol mangsanya berulang kali, dalam tempoh beberapa jam dalam keadaan mangsanya tidak sedarkan diri. Yang berdengkur pun ada.

Majoriti video yang ditemui setakat ini merekodkan aktiviti ganas Reynhard bermula pada tahun 2015, namun pihak polis percaya Reynhard sudah menjalankan aktivitinya lebih lama.

Dibicarakan dan dihukum

apartment kediaman reynhard

Sepanjang perbicaraannya, Reynhard tidak menampakkan wajah penyesalan - sebaliknya nampak seperti biasa, tersenyum, mesra dan terbuka untuk berbual dengan sesiapa.

Berikutan kelakuan jenayahnya yang sangat luar biasa, hakim memerintahkan agar hukuman minima 30 tahun penjara dikenakan ke atasnya - di atas hukuman penjara 20 tahun yang telah berjaya dijatuhkan dalam perbicaraan lebih awal pada tahun 2018.

Kes yang berjaya dibicarakan setakat artikel ini ditulis, hanya melibatkan 48 orang lelaki pelbagai usia, melibatkan 136 tuduhan rogol, 8 tuduhan cubaan merogol, 14 tuduhan serangan seksual dan 1 tuduhan serangan penetrasi seksual.

Daripada video yang berjaya ditemui, pihak polis menganggarkan terdapat lebih 70 orang lagi mangsa yang gagal dikenali masih lagi besar kemungkinan tidak menyedari mereka telah pun dirogol, beberapa kali.

Jadi sekiranya ada antara anda pernah melawat Manchester, hadir ke kawasan yang disebutkan dan disapa seorang lelaki Indonesia yang lembut perwatakannya kemudian diajak ke rumahnya, cuba ingat kembali adakah wajah yang kami paparkan dalam artikel ini - serupa dengan individu yang anda kenali? Jika ya - mungkin itu tanda anda pun, pernah dinodai.

Rujukan

Reynhard Sinaga jailed for life for raping dozens of men in Manchester



Hakcipta iluminasi.com (2017)