Oleh pada 12 Apr 2020 kategori

Ramai pembaca kami cukup berminat dengan wabak influenza yang melanda dunia sekitar tahun 1918.

Bagi yang rajin menelaah bahan bacaan sejarah, anda sudah tahu angka korban wabak tersebut yang lebih dikenali sebagai 'demam selesema Sepanyol' atau 'Spanish flu' yang mencecah puluhan juta nyawa.

Malangnya, apabila bercakap tentang negara kita sendiri dan wabak tersebut - tidak banyak perkongsian dilakukan tentang kesan 'Spanish flu'. Nak tahu apa kesan 'Spanish flu' kepada nenek moyang kita?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jom kita pelajari bersama.

Pandemik 100 tahun lalu yang terus diingati

bagaimana orang malaysia dulu menghadapi spanish flu wabak

Wabak 'Spanish flu' merupakan antara wabak yang mencatatkan angka korban paling buruk dalam sejarah moden dunia, dengan anggaran 30 ke 50 juta nyawa terkorban.

Situasi itu tetap tidak dapat dielakkan walaupun pada ketika itu sains ilmu perubatan khasnya berkaitan dengan kuman dan wabak, sudah layak dikatakan telah berkembang dengan pesat.

Secara rasmi - apa yang dikatakan 'Spanish flu' bermula di Tanah Melayu pada bulan Oktober tahun 1918 sehingga menyebabkan penutupan sekolah, estet dan jalan raya lengang. Apa yang menyedihkan, kadar kematian di Tanah Melayu akibat Spanish flu dianggarkan agak tinggi sekitar mengorbankan hampir 35,000 orang.

Semua itu berlaku dalam masa 2 bulan lebih wabak melanda. Ini kerana dikatakan kesan 'Spanish Flu' kepada nenek moyang kita berlaku secara sangat drastik, mengejut dan tak dapat diduga. Nasib baiklah wabak melanda tidak lama.

Laporan pertama berkenaan jangkitan influenza sebenarnya sudah dilaporkan sekitar bulan Jun tahun 1918, sebelum jangkitan mula bertukar menjadi wabak beberapa bulan kemudian - melanda bahagian Semenanjung Tanah Melayu serta Sabah yang pada ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara.

Penduduk setempat percaya jangkitan ini datang daripada Singapura, jadi pada mulanya mereka menamakannya 'demam Singapura.' Selain itu, ada juga yang menggelarkannya 'demam Eropah' kerana percaya wabak ini dibawa oleh orang Eropah yang hadir ke benua ini.

Hanya di Filipina ketika itu, istilah yang bakal popular iaitu 'Spanish flu' digunakan di rantau tersebut.

Amaran-amaran awal yang diterima penjajah British

bandar tanah melayu zaman dahulu

Sebelum menjadi wabak, beberapa laporan jangkitan influenze sehingga menyebabkan kesesakan nafas sudah mula kedengaran sejak Jun tahun 1918.

Pegawai perubatan di Pahang melaporkan pada peringkat awal berlaku beberapa kes influenza di Kuantan yang tidak mengakibatkan sebarang kematian.

Sebulan kemudian, ekoran daripada kegagalan mengawal jangkitan - Presiden kepada Majlis Jawatankuasa Perbandaran Singapura mengumumkan bahawa kadar kematian di bandar tersebut meningkat daripada 25 orang per 1,000 populasi pada bulan Mei, naik menjadi 58.61 orang.

Kenaikan mendadak ini dikatakan berpunca oleh kewujudan wabak bersifat epidemik di Singapura , dipercayai akibat serangan influenza serta jangkitan denggi.

Jangkitan itu malangnya menjangkiti majoriti pekerja yang berkhidmat dalam bidang cetakan risalah kerajaan British ketika itu, menyebabkan informasi tentang epidemik yang berlaku gagal disebarkan dengan lebih berkesan dan pantas.

Akhbar di Tanah Melayu pula telah mula melaporkan tentang kewujudan wabak di Asia Selatan yang telah mengorbankan banyak nyawa, tetapi tidak ada pihak berjaya menghubungkan jangkitan di Singapura dengan apa yang sedang berlaku di negara lain.

Hanya selepas sebuah laporan perubatan oleh petugas di Borneo Utara melaporkan tentang jangkitan di kalangan 'kuli' (pekerja asing) di atas sebuah kapal dari Singapura yang hendak ke Lahad Datu, barulah dokumentasi pertama berkenaan jangkitan wabak secara rasmi dilaporkan.

Kedatangan kumpulan pekerja inilah dipercayai titik tolak punca utama wabak Spanish Flu bermula dalam skala besar-besaran di Tanah Melayu.

Borneo Utara mula dilanda wabak

orang melayu zaman dahulu bi154

Sabah menjadi negeri paling teruk dilanda wabak Spanish Flu pada mulanya, dengan anggaran 40 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Sandakan, Tawau dan Kudat dijangkiti wabak tersebut.

Sekitar 19 Oktober 1918, wabak mula tiba di Jesselton (Kota Kinabalu sekarang) sebelum disebarkan lagi melalui individu yang menaiki jalinan keretapi ke Keningau, Tambunan dan Ranau.

Di Semenanjung Tanah Melayu pula, amaran terawal berkenaan risiko wabak hadir pada 12 Oktober 1918. 

Telegram daripada Gabenor British di Afrika Selatan, Jeneral Sydney Buxton kepada wakil kerajaan British di Singapura cuba memberikan amaran tentang 'Spanish fever' yang sedang melanda kawasan di mana dia bertugas.

Buxton menjelaskan secara terperinci simptom dan kadar jangkitan yang melanda , serta sifat jangkitan yang sangat mudah menjangkiti manusia ke manusia - sehingga menyebabkan tahap kematian yang tinggi di kalangan penduduk di Afrika Selatan, tak kira etnik, kelas dan keturunan.

Walaupun begitu amaran serta insiden yang sudah diterima dan berlaku seolah tidak diendahkan British yang pada ketika itu yakin dengan kemampuan mereka menangani wabak, berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu serta badan kawalan wabak yang telah mereka tubuhkan.

Mentaliti ini menyebabkan jangkitan wabak merebak secara besar-besaran, dianggarkan bermula pada bulan November tahun tersebut. Dalam tempoh 2 bulan lebih influenza menyerang Tanah Melayu, dianggarkan 34,644 orang meninggal dunia mengikut laporan rasmi kerajaan British.

Negeri-negeri Selat iaitu gabungan Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, serta Perak mencatatkan angka korban tertinggi dengan Selangor tidak jauh di belakang.

Sekiranya dibandingkan dengan anggaran jumlah populasi Tanah Melayu ketika itu yang berjumlah 3.5 juta orang keseluruhannya, ini bermakna 'Spanish flu' telah meragut hampir 1% daripada penduduk Tanah Melayu.

Kesilapan British memandang ringan kesan Spanish Flu

hospital tanah melayu lama

Mungkin kerana bimbang dipersalahkan gagal mengambil langkah pencegahan lebih awal, British mengeluarkan kenyataan menyifatkan kadar kematian di Tanah Melayu yang 'hanya pada kadar 1 per 80 orang' adalah lebih rendah berbanding kadar kematian di British India (nama lama India di bawah jajahan British) yang mencecah 7 juta orang korban.

British selepas itu dilihat seakan enggan mengakui realiti sebenar kesan wabak yang telah terjadi.

Banyak pihak merasakan angka korban yang diwartakan, sebenarnya lebih rendah berbanding angka sebenar - dengan negeri-negeri yang lebih maju dilaporkan mempunyai angka korban lebih tinggi berbanding negeri kurang maju.

Sedangkan realitinya, kawasan-kawasan kampung yang menempatkan orang tempatan khasnya orang Melayu menanggung risiko kematian lebih besar, dek ketiadaan petugas perubatan terlatih. Sebarang laporan dan informasi yang disalurkan kepada British, hanya bergantung kepada laporan polis konstabel yang ditugaskan bagi mengenal pasti punca kematian.

Ini menyebabkan banyak kes kematian orang kampung tidak dilaporkan dengan tepat atau lebih malang, tidak dilaporkan langsung.

Kritikan terhadap kerajaan British melalui akhbar menyifatkan British sengaja menyembunyikan angka sebenar, kerana gagal melihat realiti sebenar kadar jangkitan di negeri-negeri Melayu, khasnya negeri Kedah dan Perlis yang terjejas teruk.

Situasi di mana ada mayat yang dibiarkan saja di tepi jalan, kerana orang ramai takut akan dijangkiti sekiranya menguruskan pengebumiannya merupakan sesuatu yang kerap berlaku dalam tempoh wabak melanda.

Antara individu berpengaruh yang meninggal dunia akibat jangkitan Spanish Flu adalah Sultan Abdul Jalil, Sultan Perak ke 29. Baginda mula menampakkan simptom influenza pada 22 Oktober 1918 sebelum keadaannya bertambah uzur. Baginda mangkat pada 29 Oktober 1918.

Hampir sebulan berikutnya, Sultan Zainal Abidin III yang pada ketika itu memerintah Terengganu sebagai Sultan Terengganu ke 12 - turut mangkat disebabkan oleh jangkitan sama, meninggal dunia pada 25 November 1918.


Artikel ini adalah ringkasan daripada jurnal Terribly Severe Though Mercifully Short: The Episode of the 1918 Influenza in British Malaya (pautan PDF) yang diterbitkan pada 18 Januari 2007 oleh Cambridge University Press.




Hakcipta iluminasi.com (2017)