Kewujudan masyarakat yang majmuk di negara kita membolehkan ramai di kalangan warganegara kita, kerap berhubung dengan masyarakat negara luar.

Proses keluar masuk yang aktif ini melibatkan negara-negara yang terletak di benua-benua lain seperti di Afrika mahupun negara lain dalam benua Asia, sedikit sebanyak menyebabkan penularan penyakit berjangkit di negara kita lebih berisiko tinggi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Oleh sebab itulah negara kita sudah beberapa kali digemparkan dengan kes-kes penyebaran wabak berbahaya yang cukup ditakuti di negara lain, apatah lagi apabila laporan tentang jangkitannya sudah tiba di negara kita dilaporkan. Berikut adalah lima peristiwa wabak paling menggemparkan negara kita yang pernah berlaku, menyebabkan rasa bimbang dan takut untuk kita keluar rumah satu masa dulu.

1. MERS-CoV

sindrom mers para haji

Middle East Respiratory Syndrom atau 'Sindrom Pernafasan Akut Timur Tengah' pernah menggemparkan negara kita, selepas kes pertama dikesan melibatkan seorang pesakit berusia 54 tahun yang telah ke Jeddah, Arab Saudi pada 15 hingga 28 Mac 2014. Pada 26 Mac semasa dalam rombongan, pesakit dikatakan berkunjung ke sebuah kawasan penternakan unta dan minum susu unta yang disediakan.

Selepas pulang, pesakit mula mengalami masalah pernafasan dan cuba mendapatkan rawatan di klinik pada 7 April sebelum meninggal dunia di hospital pada 13 April. Berikutan daripada kes tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia mula memperkenalkan tatacara dalam mengenalpasti kaedah terbaik menangani wabak ini.

Sehingga kini, setiap tahun pasti akan ada kes berkaitan MERS yang dilaporkan namun jumlah kes yang disahkan agak rendah, hanya melibatkan satu atau dua kes setahun. Apabila tiba musim haji khasnya, proses pemantauan lebih ketat telah diperkenalkan membantu negara kita mengawal gejala wabak ini dengan lebih baik.

Kes terakhir MERS setakat ini yang direkodkan melibatkan seorang lelaki pada 31 Disember 2017.

2. Wabak Ebola

sindrom wabak ebola ebola

Masih merebak sehingga kini di beberapa bahagian Afrika, khasnya di negara seperti Congo dan Uganda, kes-kes melibatkan jangkitan ebola seakan tidak pernah berhenti dilaporkan. Dalam jangkitan terbaru yang berlaku pada pertengahan tahun 2019, 1,500 orang disahkan meninggal dunia.

Disebabkan itu, Kementerian Kesihatan kita diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, memantau kemasukan pelawat dari Congo dan Uganda pada bulan Julai 2019. Ditemui kali pertama pada tahun 1976 di Sudan, kes penyebaran ebola yang terjadi pada tahun 2013 sehingga tahun 2016 mengorbankan paling ramai nyawa - seramai 11,323 kematian.

Pada bulan Oktober 2014, negara kita digemparkan dengan laporan yang menyebut tentang 9 orang warga Malaysia yang disyaki menjadi pembawa kepada virus ebola. Selepas siasatan dilakukan ke atas kesemua sembilan individu, Kementerian Kesihatan melaporkan mereka semua bebas daripada virus yang menyebabkan ebola.

3. Virus selesema burung

avian flu selesema burung

Dikenali dengan nama virus selesema burung atau 'avian influenza' dengan kod H7N9, penyakit ini dipercayai berpunca dari China selepas ditemui kali pertama pada tahun 2003. Kes pertama yang dilaporkan berlaku di luar China - malangnya ditemui di negara kita pada tahun 2014.

Seorang wanita berusia 66 tahun dari Guangzhou hadir ke Malaysia bagi tujuan melancong. Dia tiba di semenanjung Malaysia pada 4 Februari 2014 sebelum terbang ke Sabah pada 6 Februari. Di Sabah, wanita tersebut mula mengalami demam panas, batuk dan cirit-birit. Dia mula menjalani rawatan, ditempatkan di sebuah hospital pakar di Kota Kinabalu dengan kadar degupan jantung yang tinggi sementara tekanan darah yang agak rendah. Wujud bunyi yang dapat didengari daripada pergerakan paru-paru.

Selepas menjalani beberapa siri rawatan, hanya pada 7 Mac 2014 dia dianggap stabil sebelum dibenarkan pulang pada 13 Mac. Punca jangkitan pada beliau - adalah dipercayai datang daripada 3 ekor ayam yang disembelih untuk masakan pada 30 Januari 2014. Dalam tempoh 2013 hingga 2019, seramai 616 orang telah meninggal dunia, kesemuanya di China.

Hanya 3 negara direkodkan pernah menempatkan pembawa virus H7N9 - China, Malaysia dan Kanada.

4. SARS

sars penyakit maut

Sindrom Pernafasan Akut Teruk atau SARS merupakan antara jangkitan wabak paling berbahaya, apatah lagi penyebarannya berlaku secara global pada ketika dunia masih lagi sedang bergelut dengan kemerosotan ekonomi pada tahun 2002.

Dipercayai datang dari Guangdong selepas kematian seorang petani akibat jangkitan pada paru-paru yang belum pernah ditemui pada 16 November 2002, sebelum merebak menjangkiti 305 individu lain dengan 5 kematian pada Februari tahun berikutnya.

Tidak lama untuk media melaporkan kematian pertama warga Malaysia, selepas seorang lelaki dari Jerantut, Pahang berusia 64 tahun meninggal dunia di Kuala Lumpur selepas pulang dari China pada 30 Mac 2003, sehari selepas dimasukkan ke wad.

Selepas lebih setahun, China diisytiharkan bebas SARS pada 19 Mei 2004 dan seluruh dunia diiktiraf bebas SARS. Mempunyai kadar kematian 1 daripada 10 pesakit dijangkiti, seramai 8,000 orang disahkan mengidapnya dengan 774 kes kematian berlaku.

5. Serangan virus Nipah

babi sakit demam panas p

Sekiranya keempat-empat wabak yang disenaraikan di atas berpunca dari masyarakat luar, virus Nipah merupakan satu-satunya kes yang layak dikatakan bersifat tempatan. Ini kerana jangkitan yang berlaku merupakan kes unik dan baru, pertama kali berlaku dan semuanya berpusat di Ipoh, Perak.

Penyebaran wabak ini juga mencipta sejarah dalam bidang perubatan kerana menjadi satu-satunya kes di mana manusia dan haiwan, iaitu kelawar dan babi terlibat sama ada sebagai perumah, pembawa dan juga mangsa jangkitan. Ditemui kali pertama pada penghujung tahun 1998 sebelum merebak ke beberapa negeri lain di Malaysia, pengalaman mengawal virus Nipah banyak meninggalkan kesan pada sistem kawalan wabak negara kita.

Semuanya bermula selepas berjuta ekor babi didapati mengalami demam panas serta masalah pernafasan. Bimbang dengan apa yang berlaku, serta kegagalan penguatkuasa menghalang aktiviti penjualan segera yang dilakukan peniaga babi hidup - kerajaan mengarahkan 1.1 juta babi dibunuh dengan bayaran pampasan sebanyak RM120 seekor diberikan kepada penternak.

618 rumah diarah untuk dikosongkan dan beberapa buah sekolah di sekitar Perak, Selangor dan Negeri Sembilan terpaksa ditutup sementara. Sebanyak 257 kes jangkitan terhadap manusia direkodkan dengan 115 orang meninggal dunia, selepas mengalami sakit kepala dan demam teruk dalam tempoh 48 jam. Majoriti yang meninggal dunia direkodkan bekerja dalam sektor penternakan babi komersial. (APHCA Nipah virus infection - *fail PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)