Bagi mereka yang gemar mengikuti kisah-kisah sejarah wabak besar dunia, negara seperti Sepanyol, Britain, Itali, Mexico, China dan negara Asia Barat agak sinonim dengan kisah-kisah dalam topik tersebut.
Ini disebabkan kesan yang menimpa negara mereka telah pun menyebabkan angka kematian yang sangat tinggi, sehingga meninggalkan impak yang mendalam kepada populasi mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Usaha yang dilakukan serta durasi masa yang diambil untuk sesebuah komuniti kembali pulih, merupakan satu cabaran yanga amat besar buat masyarakat mereka. Bagaimana pula dengan nenek moyang kita?
Kenapa kita jarangi memperkatakan tentang sejarah wabak di kalangan masyarakat Tanah Melayu zaman dahulu? Adakah tidak tidak ada jangkitan wabak di sini? Ada. Ini salah satu rekod sejarah terawal serangan wabak yang ada.
Rekod jangkitan wabak terawal
Berbeza dengan negara lain di seluruh dunia, negara kita yang pada ketika itu dikenali sebagai Tanah Melayu jarang disebut sebagai mangsa penularan wabak-wabak yang telah melanda sebelum itu.
Kami sudah menjelaskan tentang kesan 'demam Sepanyol' atau 'Spanish flu' yang melanda kita pada tahun 1918. Bagaimanapun, satu catatan berkenaan wabak yang lebih awal berlaku, direkodkan di Kelantan pada tahun 1905 melibatkan wabak bubonik. Ini adalah wabak sama yang mengakibatkan kematian-kematian semasa zaman 'Maut Hitam' atau 'The Black Death.'
Menurut John D. Gimlette, seorang pegawai perubatan yang bertugas di Kelantan sekitar awal abad ke 20 - penduduk tempatan khasnya di Kelantan, melihat wabak yang berlaku dalam skala kecil di negeri itu pada tahun 1905, sebagai satu penyakit baru.
Jangkitan bubonik (bengkak-bengkak pada bahagian tubuh) mula dilapokan berlaku sekitar bulan 1905 di beberapa buah kampung. Oleh kerana tidak pernah berhadapan dengan situasi sebegitu rupa sebelum ini, masyarakat Melayu di Kelantan menamakannya 'penyakit leher.'
Wabak itu bagaimanapun tidak memberikan kesan serupa seperti apa yang berlaku di seluruh dunia dan tidak diketahui kenapa kesan jangkitannya pada pesakit di Kelantan sangat ringan.
Selepas beberapa bulan, kisah-kisah tentang jangkitan mula lenyap dan tidak lagi diperkatakan.
Wabak kembali muncul tahun 1907
Selang dua tahun kemudian, wabak bubonik yang sama muncul sekali lagi selepas kemasukan kumpulan pekerja dari Jawa ke beberapa daerah di Kelantan.
Jangkitan kedua ini memberikan Gimlette peluang untuk melakukan pemerhatian bagi memahami dengan lebih baik dan mendalam situasi wabak yang melanda. Walaupun jangkitan kali ini lebih kuat serangannya, penyebarannya juga tidak berlaku secara menyeluruh.
Gimlette berpendapat kesan penularan wabak di Kelantan terencat, disebabkan dua faktor. Yang pertama adalah disebabkan iklim Kelantan yang panas dan lembap sepanjang tahun, menyebabkan pembiakan serangga atau kutu penyebar wabak tidak aktif seperti negara-negara lain di mana wabak berlaku secara besar-besaran.
Satu lagi pandangan yang sangat menarik, Gimlette berkongsikan pemerhatian pegawai atasannya bahawa orang Melayu Kelantan mempunyai hobi atau tabiat membela kucing di dalam rumah. Tabiat ini dipercayai turut membantu mendorong kepada kawalan wabak secara tidak rasmi.
Teori itu dibuat berdasarkan kepada kefahaman beliau tentang kegemaran orang Muslim membela kucing, bersandarkan kepada saranan Rasulullah saw. yang sangat menyanyangi kucing, bercampur-aduk dengan kepercayaan lama masyarakat Melayu, yang percaya kucing merupakan haiwan peliharaan yang menolak bala.
Pemerhatian Gimlette mendapati tabiat membela kucing di rumah sedikit sebanyak membantu mengawal populasi tikus yang dipercayai membawa punca-punca wabak yang ada ke dalam rumah.
Pantang larang orang Melayu zaman dahulu juga banyak membantu.
Mana-mana pakaian yang sudah digigit tikus harus dibuang, tak kiralah harga atau nilai sentimentalnya pada pemilik. Beras yang telah dituai perlulah diletakkan ditempat tinggi, bagi mengelakkan tikus hinggap padanya.
Aktiviti pembukaan hutan menghalau tikus kepada masyarakat
Dalam tempoh 2 tahun bermula tahun 1905 sehingga 1907, Duff Development Company syarikat majikan kepada Dr. Gimlette terus bekerjasama dengan kerajaan Kelantan bagi membuka beberapa buah estet baru.
Bagaimanapun, dengan penerokaan hutan secara besar-besaran, masalah tikus di kawasan-kawasan penempatan mula menjadi lebih buruk, menyebabkan jangkitan wabak kerap berlaku dipercayai berpunca daripada tikus.
Mengambil saranan daripada apa yang dilaporkan di negara Mesir - yang mendapati jumlah populasi tikus sangat berkait dengan tahap jangkitan wabak di sesuatu kawasan, kumpulan penduduk dan pekerja di daerah di Kelantan mula melakukan gerakan memburu tikus secara besar-besaran.
Bagi memastikan tahap kebersihan terjaga, semua pekerja di estet dibekalkan dengan larutan yang dikenali sebagai cecair Jeyes, bahan nyahkuman yang diimport daripada Britain untuk kegunaan peribadi. Ini kerana penyelidikan menunjukkan wabak ke negeri itu berkemungkinan besar datang daripada kedatangan pekerja-pekerja baru ke negeri itu, membawa sama wabak.
Bagi mengelakkan kejadian wabak berulang, mana-mana pakaian pekerja yang dipercayai telah dijangkiti dibakar. Pada tahun 1907, kedai-kedai di negeri Kelantan ditutup buat sementara sempena perintah pelaksanaan kuarantin diperkenalkan.
Jangkitan wabak yang direkodkan pertama kali di Kelantan berlaku dalam skala kecil sepanjang tempoh dua tahun itu, dalam keadaan penularannya berjaya dikawal.
Kawasan paling teruk terjejas akibat wabak adalah kawasan estet di mana pekerja dari luar berkumpul - mencatatkan 13 kematian daripada 31 kes melibatkan pekerja dari Jawa.
18 orang yang selamat walaupun menampakkan simptom bengkak bubo pada badan terselamat selepas jangkitan yang berlaku tidak merebak sehingga menjadi pneumonia - punca utama majoriti 13 orang pesakit meninggal dunia.
Hanya seorang penduduk kampung berdekatan dengan estet dilaporkan meninggal dunia disebabkan 'penyakit leher.'
Artikel ini merupakan ringkasan kepada jurnal 'Plague in Further India' (pautan PDF) tulisan Dr. John D. Gimlette, pegawai perubatan yang bertugas di negeri Kelantan sekitar awal abad ke 20.