Seperti yang kita ketahui, seorang ibu itu mempunyai sifat kasih dan sayang yang sangat tinggi terhadap anak-anaknya. Namun, ia berbeza bagi seorang ibu bernama Louise Turpin.
Wanita kejam ini kini sedang meringkuk di dalam sebuah penjara di California, Amerika Syarikat. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada April 2019. Bersama suaminya David, pasangan Turpin ini telah "memenjarakan" anak mereka selama puluhan tahun lamanya.
BESARKAN TEKS A- A+
Helah pasangan Turpin
Bagaimana pasangan ini boleh terlepas daripada melakukan kekejaman begitu lama? Sebenarnya, mereka menggunakan pelbagai helah agar perbuatan mereka tidak dihidu masyarakat.
Rakan-rakan serta jiran mereka begitu terkejut apabila perbuatan pasangan Turpin terbongkar. Walaupun keluarga itu agak berahsia tetapi mereka tidak mengesyaki apa-apa.
Ia berikutan media sosial Louise Turpin sentiasa dimuatnaik dengan hantaran yang menunjukkan bahawa mereka adalah sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia.
Malah, Louise Turpin memuat naik gambar keluarganya bercuti di Disneyland, Las Vegas serta mengadakan majlis sambutan hari jadi. Mereka sekeluarga juga sering dilihat memakai pakaian yang sedondon seperti sebuah keluarga yang ceria.
Hakikatnya adalah berlainan sama sekali. Bahkan, ibu kepada David Turpin mendakwa bahawa dia tidak melihat cucu-cucunya selama bertahun-tahun lamanya.
Mengapa Louise Turpin melakukannya
Salah satu alasan yang diberikan Louise atas perbuatan kejamnya adalah kerana dia membesar dalam keadaan trauma dan melalui sejarah hitam ketika zaman kanak-kanaknya.
Cerita itu disahkan sendiri oleh adik perempuan Louise bernama Elizabeth Flores. Louise, Elizabeth dan adik mereka Teresa melalui zaman kanak-kanak yang meninggalkan parut yang dalam dalam hidup mereka.
Elizabeth Flores
Ketika masih kanak-kanak, Ibu mereka iaitu Phyllis Robinette sering "menyewakan" mereka kepada seorang pedofilia kaya sebagai alat pemuas nafsu. Ketiga-tiga gadis itu merayu agar mereka tidak dilakukan sedemikian tetapi tidak diendahkan kerana ibunya memerlukan wang untuk membesarkan mereka enam bersaudara.
Walau bagaimanapun, Elizabeth tidak bersetuju dengan alasan Louise kerana dia dan Teresa tidak mendera anak-anak sendiri walaupun melalui zaman gelap seperti Louise.
Bagi Elizabeth, Louise bertuah kerana berkahwin awal pada usia 16 tahun sedangkan dia dan Teresa terus menjadi mangsa pemuas nafsu. Ketika ditemuramah, Elizabeth menganggap Louise dan David Turpin telah mati.
Keadaan yang menyedihkan
Jenayah pasangan ini terbongkar apabila salah seorang anak mereka berusia 17 tahun berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis pada Januari 2018. Gadis malang itu berjaya melarikan diri melalui tingkap apabila mendapat peluang.
Louise dan David Turpin
Ketika diselamatkan, ada di antara anak-anak pasangan Turpin yang tidak mengenali apa itu polis kerana sangat kurang didedahkan dengan dunia luar.
Mereka hanya dibenarkan makan sekali sahaja dalam sehari sehingga menyebabkan mereka mengalami masalah kekurangan zat. Kebanyakan anak-anak Turpin kelihatan kurus dan kecil berbanding umur mereka.
Anak sulung pasangan itu yang berusia 29 tahun hanya mempunyai berat badan sekitar 37 kg sahaja ketika diselamatkan. Mereka juga dalam keadaan tidak terurus dan kotor kerana Louise hanya membenarkan anak-anaknya mandi sekali sahaja dalam setahun.
Pihak berkuasa percaya pasangan ini telah melakukan penderaan terhadap anak-anak mereka buat satu jangka masa yang lama memandangkan Louise berkahwin dengan David seawal usia 16 tahun lagi.
Tertangkapnya ibu bapa durjana
Selama beberapa dekad melakukan penderaan terhadap kanak-kanak, jenayah yang dilakukan Louise Turpin dan suaminya sebenarnya hampir terbongkar beberapa kali.
Keadaan rumah keluarga itu dan kerosakan psikologi yang dihadapi anak-anaknya begitu jelas untuk diabaikan. Jiran yang melewati rumah pasangan itu mendakwa bau najis tersebar di seluruh kediaman.
Malah, mereka juga melihat banyak timbunan sampah di sekeliling kediaman keluarga itu. Lebih mengejutkan, terdapat bangkai kucing dan anjing dalam timbunan sampah itu. Namun, tiada siapa yang melaporkannya kepada pihak berkuasa kerana tidak mengetahui apa yang berlaku di dalam rumah itu.
Keadilan akhirnya ditegakkan sendiri oleh anak-anaknya yang menjadi mangsa dera pasangan Turpin. Gadis 17 tahun yang membuat laporan polis memberitahu bahawa adik-adiknya menangis setiap malam meminta kakak-kakaknya yang lebih dewasa berbuat sesuatu supaya mereka diselamatkan.
Semua mangsa yang diselamatkan telah dimasukkan ke dalam hospital bagi mendapatkan rawatan.
Sinar untuk anak-anak Turpin
Tujuh orang anak pasangan Turpin kini sudahpun dewasa. Mereka tinggal bersama dan menghadiri persekolahan sambil memulihkan mental dan fizikal dengan diet yang lebih sihat serta melakukan rutin aktiviti.
Dua anak pasangan Turpin (kiri) dalam satu temuramah
Peguam Jack Osborn yang mewakili tujuh anak Turpin mendakwa, ketujuh-tujuh mereka tidak mahu terlibat dalam perbicaraan ibu bapa mereka yang akan menyebabkan lebih banyak trauma sebaliknya cuba menumpukan kepada kehidupan normal yang baru.
Manakala anak-anak Turpin yang masih di bawah umur pula berada di bawah jagaan jabatan kebajikan masyarakat.