Oleh pada 15 Jul 2020 kategori

Blanche Monnier adalah anak daripada keluarga bangsawan, lahir pada 1 Mac 1849. Dia membesar dalam suasana yang senang, berikutan status keluarganya yang tergolong dalam golongan berada.

Berpewatakan menarik serta diakui mempunyai wajah yang cantik, Blanche kerap kali menyertai majlis-majlis keramaian yang dianjurkan di tempat tinggalnya, Poltiers disertai komuniti bangsawan lain yang hadir dari seluruh Perancis.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada usia 25 tahun dalam tahun 1876, Blanche mula merasakan keinginan untuk menemui pasangan hidup serta mempunyai kehidupan sendiri. Pinangan hadir cuba menyuntingnya namun kesemua yang hadir, ditolak ibunya yang bernama Louise Monnier.

Hati dicuri peguam tempatan

blanche monnier

Hajat Blanche tercapai setelah dia berkenalan dengan seorang peguam yang lebih tua darinya. Blanche menceritakan tentang perasaannya yang diakui sudah dimiliki peguam tersebut dan di sinilah konflik anak dengan ibunya bermula.

Louise menganggap pilihan anaknya itu kurang sesuai, merayu agar anaknya melupakan peguam tersebut.

Bagaimanapun hati Blanche sudah tetap, mengakibatkan pertengkaran panjang berlaku antara kedua-duanya. Apatah lagi Blanche didapati masih cuba keluar senyap-senyap menemui kekasihnya.

Menyedari bagaimana tegasnya Blanche cuba untuk mempertahankan pilihannya, Louise tahu hanya hukuman akan membantu Blanche menukar fikiran.

Blanche yang sudah mencapai usia dewasa 25 tahun diarahkan naik ke loteng gelap, sebagai usaha untuk mengubah fikirannya. Wanita muda itu terus berkeras walaupun untuk beberapa hari selepas itu, dia hanya dibekalkan dengan sisa-sisa makanan serta tiada tempat tidur yang sempurna.

Berang dengan kecekalan hati anaknya, Louise bertindak lebih keras - merantai Blanche di situ agar pergerakannya terbatas. Blanche dibogelkan dan dipukul, bagi memastikan niatnya untuk berkahwin dengan peguam itu berubah.

Namun Blanche terus nekad dengan pilihannya.

Terus terkurung dalam gelap

buku kisah sedih blonche monnier

Hati Blanche yang terus berdegil memaksa Louise terus bertindak lebih kejam. Satu-satunya tingkap yang ada dipakukan dengan papan. Langsir dinaikkan bagi menutup cahaya.

Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Nasib Blanche di atas loteng gelap itu akhirnya kekal menjadi rutin. Di situlah dia hidup, makan dan minum apa saja yang diberikan kepadanya. Akibat rantai yang membelenggu, semua urusan perkumuhan dilakukan saja di mana yang boleh.

Kehilangan gadis itu dikaburi ibu dan abangnya, yang mengakui bahawa Blanche telah pun dihantar untuk menyambung pelajaran di United Kingdom. Tidak lama selepas itu, Blanche dikatakan pula sudah tamat pelajaran tetapi memilih untuk menetap di Scotland.

Situasi itu kekal sebegitu walaupun pada tahun 1885, peguam yang disukai Blanche telah meninggal dunia, sembilan tahun selepas Blanche mula dikurung.

Tidak ada sesiapa yang cuba menyangkal misteri kehilangan Blanche daripada komuniti mereka, kecuali seorang individu tidak dikenali yang akhirnya memberikan pesanan sulit kepada pihak polis menceritakan tentang seorang perempuan yang dikurung - pada tahun 1901.

Pihak penyiasat percaya surat itu ditulis pembantu rumah keluarga Monnier yang berkhidmat di situ.

Serbuan ke atas rumah Monnier

blanche monnier dikurung dalam bilik gelap bawah tanah

Pada 23 Mac 1901, pasukan polis melakukan siasatan ke atas rumah agam Monnier, menyedari status keluarga tersebut pasti akan menyukarkan siasatan dijalankan.

Louise membenarkan mereka masuk menyiasat, pada awalnya tidak mendapati apa-apa yang aneh.

Hanya selepas salah seorang petugas mendapati wujud bau kurang menyenangkan dari bahagian atas rumah tersebut, mereka memeriksa bilik yang berkunci, terletak di bahagian loteng.

Sedar itulah punca bau busuk yang ada, mereka memecah mangga yang memegang kunci lalu menemui Blanche, yang pada ketika itu sudah berusia 50 tahun sedang terbaring dalam gelap dalam suasana busuk yang sangat sukar digambarkan.

kisah perempuan dikurung ibu selama 26 tahun

Beratnya menyusut kepada 25 kg, tidak lagi mampu berdiri sendiri akibat dirantai selama 26 tahun 2 bulan tanpa mampu bergerak.

Dengan penemuan itu, tangkapan dilakukan ke atas Louise Monnier yang berpura-pura tenang di ruang tamu sepanjang siasatan, serta abangnya yang pada ketika itu sudah bergelar peguam berusia lebih 50 tahun; belum berkahwin dan masih menetap dengan ibunya.

Ibu dari neraka tidak sempat berdepan hukuman

wajah blanche di hospital mental

Berdepan siasatan, kedua-dua anak beranak Monnier yang bertindak mengurung Blanche cuba mempertahankan diri. Abang Blanche yang bernama Marcel menyifatkan apa yang berlaku adalah atas perancangan ibunya.

Marcel terlepas daripada hukuman penjara 1 tahun yang pada asalnya dijatuhkan kepadanya, selepas hakim mendapati Louise turut sama memanipulasi anak lelakinya itu untuk melakukan kerja gila tersebut.

Louise Monnier dijatuhkan hukuman penjara namun tidak sempat dipenjarakan, selepas dipercayai mengalami sakit jantung akibat kehadiran orang ramai di rumahnya yang mencerca apa yang telah dilakukan. Ada juga pihak berpendapat Louise membunuh dirinya dengan ubat-ubatan.

Bagi Blanche pula yang telah kehilangan kekasih serta 26 tahun dari hidupnya, dia sukar untuk kembali hidup normal. Psikologinya telah terganggu teruk dan usianya yang sudah lanjut, menyukarkan dia untuk memulakan hidup baru sebagai wanita dewasa.

Lagipun, pasti sukar untuk Blanche kembali meneruskan hidup di rumah di mana dia dikurung, yang kini diwarisi Marcel.

Jadi Blanche dihantar ke satu-satunya lokasi yang boleh membantu dirinya, sebuah hospital mental yang terletak di daerah Blois - dengan harapan dapat membantu kesihatan mentalnya menjadi lebih baik.

Blanche ketika itu disahkan menghidapi masalah gemar memakan najis sendiri akibat rutin hariannya sebelum itu, suka menayangkan kemaluannya kepada orang lain akibat kesan dibiarkan berbogel selama bertahun-tahun lamanya serta kerap mengalami halusinasi.

Di situlah Blanche, gadis bangsawan cantik yang cintanya terhalang menghabiskan sisa hidupnya selama 12 tahun sebelum meninggal dunia pada 13 Oktober 1913, ketika berusia 64 tahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)