Oleh pada 27 Jan 2022 kategori

Pada tahun 1984, Lisa McVey berniat untuk membunuh diri. Setelah bertahun-tahun mengalami penderaan seksual daripada teman lelaki neneknya, gadis Florida itu telah merancang untuk membunuh diri malah telah menulis nota selamat tinggal.

Namun, berlaku suatu kejadian yang menyebabkan McVey nekad untuk meneruskan kehidupan.

Kisah penculikan Lisa McVey

Pada 3 November 1984, Lisa McVey sedang menunggang basikal pulang daripada bekerja di sebuah kedai donat. Dia yang berusia 17 tahun ketika itu melalui sebuah gereja kira-kira pada jam 2 pagi. Kemudian, seorang lelaki menariknya jatuh dari basikal.

BESARKAN TEKS     A-  A+

McVey mula menjerit sekuat hati sehingga penyerangnya meletakkan pistol di kepalanya dan berkata, "Diam atau aku akan tembak kepalamu."

lisa mcvey interview

Sebenarnya, ia bukanlah kali pertama McVey menerima ugutan bunuh seperti itu. Gadis yang tinggal bersama neneknya di Tampa, Florida, itu telah melalui pengalaman ngeri selama tiga tahun apabila diugut seumpama itu oleh teman lelaki neneknya yang sering mencabulnya.

Tiba-tiba McVey mendapat kekuatan untuk meneruskan kehidupannya dan memberitahu penyerangnya, "Buat apa yang kamu mahu tetapi jangan bunuh saya."

Lelaki itu mengikat McVey, menutup matanya dan mengheretnya ke dalam sebuah kereta. Gadis itu cuba mencari petunjuk yang mungkin dapat menyelamatkan nyawanya. Dari celahan penutup matanya, McVey kenal kereta yang dipandu lelaki itu iaitu sebuah Dodge Magnum merah.

Ikhtiar untuk hidup

Menurut McVey, dia banyak menonton rancangan jenayah di televisyen. Dalam keadaan terdesak itu, pelbagai ikhtiar hidup yang ditontonnya terbayang di mindanya.

Ketika penculiknya sedang memandu, McVey mengira berapa minit masa berlalu. Ketika dibawa keluar, McVey mengira pula berapa langkah dan anak tangga yang dilaluinya untuk ke pangsapuri lelaki itu di Tampa.

Selama 26 jam berikutnya, lelaki itu merogol, mendera dan memukul Lisa McVey. Gadis itu pasti dia akan mati pada bila-bila masa tetapi ajalnya masih belum sampai.

McVey pada masa itu tidak tahu bahawa dia telah diculik dan dirogol oleh seorang perogol dan pembunuh bersiri bernama Bobby Joe Long.

Pembunuh bersiri Bobby Joe Long

Sebelum menculik Lisa McVey, Bobby Joe Long sudahpun membunuh lapan orang wanita lain. Bobby Joe Long memulakan siri jenayahnya sejak awal 1980-an lagi dan menggunakan iklan di akhbar untuk mencari mangsanya.

bobby joe long

Semasa terperangkap di pangsapuri Joe Long, McVey terdengar berita di kaca TV tentang kehilangannya. Dia menjerit meminta tolong tetapi sekali lagi diugut oleh Joe Long menggunakan pistol.

Menyedari bahawa kemungkinan besar akan dibunuh, McVey meletakkan cap jarinya di semua bahagian yang boleh disentuhnya di pangsapuri itu. McVey berharap agar ia dapat menjadi bukti bagi pihak polis untuk menangkap pembunuhnya jika dia mati.

Pada masa sama, McVey cuba memujuk Joe Long. Gadis itu cuba menipu dengan mengatakan bapanya sedang sakit dan hanya dia seorang sahaja penjaga bapanya.

Akhirnya setelah lebih sehari melalui pengalaman ngeri, McVey dibawa Joe Long untuk menaiki kereta. Joe Long meninggalkan McVey di belakang sebuah bangunan pada sekitar jam 4.30 pagi dan memberitahu supaya membuka penutup matanya lima minit selepas dia memandu pergi.

Joe Long juga sempat berpesan pada McVey, "Beritahu kepada bapamu, dialah sebab mengapa saya tidak membunuhmu."

Membantu polis menangkap Bobby Joe Long

Lisa McVey berlari pulang selepas dilepaskan Joe Long tetapi apabila setibanya di rumah, dia dipukul pula oleh teman lelaki neneknya kerana dituduh "curang" terhadapnya. Malah, neneknya juga tidak percayakan cerita McVey diculik.

bobby joe long ditahan

Mujurlah, pihak polis Tampa mahu membantu gadis itu. McVey memberitahu semua yang diingati mengenai kejadian itu. Pihak polis turut menawarkan kepada McVey jika dia ingin "dipukau" oleh pakar supaya dapat mengembalikan ingatannya yang samar-samar.

Namun, teman lelaki neneknya membantah. Ini mendorong McVey mendedahkan perbuatan teman lelaki neneknya kepada polis sehingga menyebabkan lelaki itu ditangkap.

Ketika dalam pusat perlindungan remaja, McVey telah diberi beberapa keping gambar suspek penculiknya. Walaupun diikat matanya ketika diculik, McVey berjaya melihat melalui celahan penutup mata itu dan dapat mengecam Joe Long.

Tertangkapnya Bobby Joe Long

Dengan butiran kenderaan dan jarak masa yang diambil untuk ke pangsapuri Joe Long, pihak polis berjaya mengesan kedudukan penjenayah itu. 12 hari selepas penculikan Lisa McVey, polis berjaya menangkap Bobby Joe Long.

bobby20joe20long 1556110691377 1  84051199 ver1 0 1

Malangnya, dalam tempoh itu juga Joe Long telah membunuh dua lagi mangsa sebelum ditahan. Setelah dibicarakan di mahkamah, Joe Long didapati bersalah membunuh 10 mangsa dan dijatuhkan hukuman mati.

Bagi McVey, hidupnya menjadi semakin baik. Dia keluar daripada pusat perlindungan remaja untuk tinggal bersama ibu saudaranya. Pada tahun 2004, dia menyertai pasukan polis dan kemudian menyertai Pejabat Syerif Daerah Hillsborough iaitu jabatan yang menangkap Bobby Joe Long. Malah, McVey bekerja dalam unit khas jenayah seksual.

Pada tahun 2019, pihak berkuasa Florida telah menjalankan hukuman mati ke atas Bobby Joe Long. Lisa McVey bukan sahaja hadir tetapi duduk di barisan hadapan sambil memakai baju bertulis "Long... Overdue" (Lama... Tertunggak).

Kisah satu-satunya mangsa Bobby Joe Long yang terselamat ini turut diadaptasikan ke dalam bentuk drama filem berjudul "Believe Me" dan diterbitkan pada tahun 2018.




Hakcipta iluminasi.com (2017)