Dalam kalangan kanak-kanak Amerika Syarikat, Walt Disney, iaitu pencipta jenama Disney hanya digelar "Uncle Walt" dan dilihat sebagai seorang yang peramah. Selain kartun-kartun keluarannya yang mendapat tempat di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, beliau jugalah yang memperkenalkan konsep percutian taman tema seperti di Disneyland.

Walt Disney meninggal dunia pada usia 65 tahun pada Disember 1966. Beliau dianggap sebagai seorang ikon Amerika Syarikat tulen. Sejak dari awal lagi, Walt Disney mempunyai visi yang jelas dalam perniagaannya dan merupakan seorang yang pakar mencari peluang untuk membina kekayaannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, ketika hayatnya tidak ramai yang tahu bawa beliau juga mempunyai hubungan yang rapat dengan beberapa individu penting dalam organisasi Federal Bureau of Investigation atau singkatannya FBI. Lebih tepat lagi, beliau pernah bertugas sebagai pemberi maklumat atau mata-mata bagi pihak FBI.

Pendedahan selepas kematiannya

walt disney 263

Menariknya, tidak ramai yang tahu beliau mempunyai perkaitan dengan FBI sehinggalah sebuah dokumen sulit yang diperolehi pada awal 1990-an mendedahkan perkara sulit ini. 

Pendedahan ekslusif ini didedahkan oleh March Eliot, penulis buku biografi mengenai Walt Disney yang bertajuk "Walt Disney: Hollywood’s Dark Prince". Dokumen ini diperolehi melalui Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act). Penemuan dokumen yang sama turut disahkan oleh penyiasat dari akhbar New York Times.

Dokumen yang ditemui itu dikatakan mempunyai 750 halaman muka surat dimana sebahagian besar maklumat sulit yang tidak boleh didedahkan kepada orang awam telah ditapis (censored). Dokumen ini mendedahkan beliau mempunyai hubungan rapat dengan beberapa orang kuat FBI antaranya J. Edgar Hoover iaitu Pengarah FBI sendiri.

walt disney fbi

Antara dokumen yang ditemui dengan sebahagian informasi telah ditutup

Dalam satu memo yang ditulis oleh J. Edgar Hoover kepada Walt Disney, Pengarah FBI ini menulis:

I am indeed pleased that we can be of service to you in affording you a means of absolute identity throughout your lifetime. 

Tidak dapat dipastikan secara tepat apa yang ingin dimaksudkannya tetapi sesetengah pihak beranggapan ianya adalah persetujuan untuk pihak FBI bekerjasama dan memberi bantuan kepada Walt Disney sekiranya beliau membantu organisasi tersebut dengan maklumat yang membantu penyiasatan mereka.

Terdapat beberapa maklumat penting dalam dokumen ini antaranya mengenai kegiatan komunis dan ianya turut menyatakan dengan jelas bahawa Walt Disney dengan rela hatinya bersetuju untuk membantu pihak FBI mendapatkan maklumat individu-individu yang mencetuskan masalah dalam industri hiburan di Hollywood.

Pengaruh komunis di Amerika Syarikat?

walt disney komunis

Kenyataan Walt Disney terhadap ancaman komunis

Pada tahun 1941, keseluruhan tenaga kerja di studio Disney telah mengadakan bantahan kepada pihak pemilik syarikat. Mereka yang terlibat ini mendakwa bantahan ini dilakukan kerana terdapat ketirisan dan moral yang buruk ditunjukkan oleh pihak atasan syarikat. 

Walau bagaimanapun, dalam dokumen yang ditemui ini, Walt Disney percaya pekerjanya melakukan tindakan bantahan tersebut kepadanya akibat daripada pengaruh komunis yang tidak bersetuju dengan gerak kerja syarikatnya itu.

Beliau menuduh kepercayaan komunis telah meracun pemikiran pekerjanya. Malah, beliau sendiri telah memberi keterangan secara panjang lebar kepada pihak House Un-American Activities Committee.

Dalam keterangannya juga, beliau turut menyebut beberapa nama antaranya salah seorang pekerjanya sendiri, David Hilberman sebagai seorang yang berfahaman komunis dan membawa kacau bilau dalam kalangan pekerjanya. Kesemua ini dijelaskan oleh dokumen yang ditemui oleh para penyiasat ini.

Pembukaan taman tema hiburan

taman tema disney

Pada tahun 1955, pihak Disney telah membuka taman tema pertamanya. Dalam dokumen yang didedahkan ini ada menyatakan dengan jelas bahawa Walt Disney dengan rela hatinya merancang untuk membenarkan pihak FBI menggunakan taman tema hiburan ini secara percuma untuk sebarang majlis rasmi sekiranya diperlukan.

Malah, dokumen ini turut mendedahkan perancangan Walt Disney untuk membuka satu kawasan tarikan yang dikenal sebagai Tomorrowland dalam taman tema ini. Tomorrowland dikatakan akan memaparkan pertunjukan dan pameran berasaskan sains kepada orang ramai.

Di Tomorrowland ini, Walt Disney dikatakan turut merancang untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak FBI untuk mempersembahkan bagaimana ilmu dan teknologi dalam bidang sains digunakan oleh pihak FBI untuk melakukan siasatan mereka. Walau bagaimanapun, permintaan ini telah ditolak mentah-mentah oleh pihak FBI sendiri.

Menariknya, terdapat beberapa bahagian dalam transkrip dokumen ini yang mendedahkan bagaimana Walt Disney dan J. Edgar Hoover (Pengarah FBI) sering berhubung mengenai tayangan di televisyen dimana terdapat perancangan untuk mendedikasikan 3 episod tayangan Mickey Mouse Club untuk pihak FBI.

Pada tahun 1958, 3 episod daripada siri televisyen ini telah memaparkan Dirk Metzeger seorang kanak-kanak berusia 13 tahun telah melakukan kunjungan ke ibu pejabat FBI dan berpeluang melihat operasi agensi penyiasatan dari dekat. Ianya merupakan pendedahan secara percuma yang diberikan oleh pihak Disney kepada FBI.

Perdebatan mengenai hubungan rapat Walt Disney dan pengarah FBI

pengarah fbi

Walt Disney meninggal dunia pada tahun 1966 dan meninggalkan legasi yang hebat melalui filem dan taman tema yang dibinanya. Walau bagaimanapun, pendedahan dokumen ini juga telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengkaji mengenai sejauh manakah hubungan baiknya dengan J. Edgar Hoover.

Sejauh manakah kedua-dua pihak ini telah bekerjasama? Adakah pihak FBI sendiri pernah membantu meningkatkan reputasi Disney sehingga berjaya memonopoli pasaran pada ketika itu? 

Kredit:

  1. Scribol
  2. Daily Mail
  3. The New York Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)