gambar ejen fbi dalam drama

Federal Bureau of Investigation atau singkatannya FBI merupakan pasukan elit kerajaan Amerika Syarikat bagi menyelesaikan kes-kes jenayah berprofil tinggi. Dalam filem-filem Hollywood, seseorang ejen FBI seringkali digambarkan sebagai seorang yang cepat, pantas dan pintar.

Segala siasatan dan rancangan pihak FBI biasanya sangat tersusun dan penuh rahsia. Setiap ejen biasanya menggunakan identiti samaran. Malahan, demi keselamatan seseorang ejen FBI juga akan merahsiakan kerjaya mereka sebagai seorang ejen FBI daripada keluarga dan rakan terdekat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tapi, ejen-ejen FBI juga manusia. Maka, mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Malah, adakalanya kesilapan yang dilakukan itu sangat memalukan, tidak setanding dengan taraf seorang ejen FBI yang dipandang tinggi. Kali ini, iluminasi ingin berkongsi 4 kesilapan bodoh yang pernah dilakukan oleh pihak FBI atau ejen-ejennya.

1. Ejen FBI berkahwin dengan penjenayah ISIS yang sedang diintipnya

penyanyi menjadi penjenayah isis

Pada tahun 2014, seorang ejen FBI bernama Daniela Greene telah diberikan tugas khas untuk mengintip kegiatan seorang penjenayah ISIS yang aktif merekrut ahli baru melalui media sosial. Penjenayah ISIS tersebut merupakan Denis Cuspert, seorang bekas penyanyi dari Jerman yang menggunakan nama samaran Deso Dogg. Setelah menyertai ISIS, beliau menggunakan nama Abu Talha al-Almani.

Dalam kalangan ahli ISIS, Denis Cuspert merupakan seorang yang dihormati dan berpangkat tinggi. Beliau juga pernah merakamkan video memenggal kepala seorang penentangnya dan mengugut untuk membunuh Presiden Barrack Obama. Entah bagaimana, Daniela telah jatuh cinta dengan Denis yang kemudiannya telah memujuknya untuk mengikutnya ke Syria.

Daniela yang sudah berkahwin ketika itu memberitahu kepada suaminya beliau mahu pulang ke Jerman kerana mahu melawat ibu bapanya. Beliau bagaimanapun telah terbang ke Syria melalui Turki. Tidak lama kemudian, Daniela sedar bahawa kehidupan sebagai seorang ISIS tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh Denis. Beberapa lama kemudian, beliau melarikan diri ke Amerika Syarikat dimana beliau kemudiannya telah dikenakan hukuman penjara selama 2 tahun.

2. Ejen FBI menyebabkan kemalangan kereta yang disita

kemalangan kereta ferrari

Pada tahun 2008, pihak FBI telah menemui sebuah kereta Ferrari F50 tahun 1995 dalam satu serbuan yang dilakukan di Kentucky, Amerika Syarikat. Kereta tersebut dilaporkan hilang pada tahun 2003 dan dimiliki oleh syarikat Motors Insurance setelah mereka telah membayar tuntutan insurans yang dibuat oleh pemilik asal kereta tersebut.

FBI telah memaklumkan kepada pihak Motors Insurance tetapi telah menyita kereta tersebut untuk siasatan lebih lanjut. Setahun kemudian, seorang ejen FBI telah memandu kereta tersebut dan telah terlibat dengan kemalangan yang mengakibatkan calar dan kerosakan yang teruk padanya. Ketika kejadian tersebut berlaku, ejen FBI tersebut sedang bersiar-siar bersama seorang penolong peguam Amerika Syarikat.

Akibat daripada kemalangan tersebut, pihak Motors Insurance telah bertindak menyaman kerajaan Amerika Syarikat sebanyak  $750,000 untuk kos membaiki kereta tersebut. Malangnya, mahkamah bertindak membatalkan tuntutan tersebut. Pihak mahkamah menyatakan bawa pihak FBI tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk membaiki kereta tersebut memandangkan kereta tersebut masih dalam tahanan pihak FBI.

3. Menggunakan imej yang salah untuk gambaran muka Osama bin Laden

lakaran gambaran osama bin laden yang direka fbi

Pada tahun 2010, pihak FBI telah memaparkan lakaran gambaran wajah Osama bin Landen. Menurut FBI, Osama bin Laden kali terakhir dilihat pada tahun 1998. Oleh itu, mereka telah membuat lakaran gambaran rupa terbaru Osama dengan membuat penambahan padanya seperti menambah jambang, kedutan di wajah dan uban di kepala.

Malangnya, ejen FBI yang dipertanggungjawabkan untuk membuat lakaran tersebut telah membuat kerja mudah dengan mengambil gambar seorang ahli politik dari Sepanyol bernama Gaspar Llamazares. Beliau mendakwa gambar tersebut telah disunting walhal sebenarnya tidak.

Selepas tersebarnya gambar tersebut, Gaspar Llamazares merasakan dirinya tidak lagi selamat memandangkan gambar Osama yang memakai gambar dirinya telah tersebar. Pihak FBI akhirnya mengakui kesilapan mereka dengan mendakwa ejennya yang telah dipertanggungjawabkan membuat lakaran gambaran Osama sebenarnya telah mengambil tersebut daripada internet dan hanya membuat beberapa suntingan kecil padanya.

4. Pejabat FBI dipecah masuk penjenayah amatur

pejabat fbi

Pada tahun 1971, sekumpulan penjenayah yang terdiri daripada 8 orang telah memecah masuk pejabat FBI di Philadelphia dan mencuri kira-kira 1000 fail yang mengandungi pelbagai maklumat sulit. Kumpulan penjenayah ini merupakan aktivitis anti-perang yang memprotes penglibatan Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam.

Menariknya, kumpulan ini tidak menggunakan sebarang kekerasan untuk memecah masuk ke dalam pejabat FBI. Mereka merancang dengan penuh teliti dan hanya dibantu seorang yang pakar mengumpil kunci pintu. Pergerakan dan gerak-geri setiap anggota FBI telah diperhatikan dan dikaji dengan menghantar seorang wanita yang menyamar sebagai seorang pelajar yang ingin membuat temuramah anggota FBI di bangunan tersebut.

Kes rompakan tersebut juga telah dilakukan pada malam dimana perlawanan tinju bersejarah antara Muhammad Ali dan Joe Frazier sedang berlangsung. Masa ini dipilih kerana mereka tahu anggota FBI sedang leka mendengar radio untuk mengikuti siaran langsung perlawanan tinju tersebut. Pihak FBI hanya menyedari pejabat mereka dipecah masuk ketika kesemua penjenayah telah melarikan diri. Pengajar FBI telah mengarahkan 200 orang ejen untuk menjejaki kesemua penjenayah tersebut malangnya usaha tersebut gagal.

Kredit:

  1. Telegraph
  2. Jalopnik
  3. BBC
  4. NBC News



Hakcipta iluminasi.com (2017)