Artikel ini adalah sambung artikel sebelum ini iaitu 4 Kartun Propanda Yang Pernah Dihasilkan Disney Semasa Perang Dunia Kedua (Bahagian 1).

Kali ini, kami akan berkongsi 4 lagi filem animasi propaganda yang pernah dihasilkan oleh pihak Disney semasa Perang Dunia Kedua. Video turut disertakan sekiranya para pembaca berminat untuk menonton filem animasi yang disertakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

5. The Spirit Of ‘43

Pada ketika ini, rakyat Amerika Syarikat sudah diwajibkan untuk membayar cukai kepada kerajaan. Cerita ini berkisarkan mengenai watak Donald Duck yang sudah bekerjaya yang baru sahaja menerima gajinya. Scrooge McDuck, iaitu satu watak pratagonis yang diwujudkan berperanan untuk sentiasa mengingatkan Donald Duck akan kepentingan menjelaskan cukai pendapatannya.

Kemudian, terdapat watak antagonis, The Spendthrift yang gemar menghasut Donald Duck untuk ke kelab malam untuk berhibur dan berjudi, seterusnya mengabaikan tanggungjawab kepada negara dengan membayar cukai. Narator filem ini kemudian akan mengingatkan kepada penonton bahawa membayar cukai kepada kerajaan secara lagsung bererti membantu kerajaan dalam peperangan kerana lebih banyak senjata dan jentera dapat dihasilkan.

Filem ini menggunakan taktik menakut-nakutkan rakyat dengan mengingatkan mereka bahawa pihak musuh sentiasa menghasilkan senjata tanpa henti siang dan malam untuk mengalahkan mereka dalam perang. Oleh itu, rakyat yang tidak membayar cukai digambar seperti memberi sokongan kepada pihak Nazi. Mesej yang ingin disampaikan dalam filem jelas dengan penggunaan slogan “Are you going to spend for the Axis, or save for Taxes?”.

6. The Old Army Game

Filem ini dihasilkan untuk menggambarkan kesan buruk peperangan. Kisahnya bermula apabila Donald Duck telah cuba menyelinap keluar daripada kem tentera pada waktu malam. Tindakannya ini telah dapat dihidu oleh Pete yang memainkan watak sebagai seorang sarjan dalam filem ini.

Apabila kembali ke kem, Donald Duck cuba melarikan sebelum berjaya ditangkap oleh Pete. Beliau telah dicampak ke dalam sebuah kawasan yang dikelilingi pagar berduri, membuatkan beliau percaya kakinya telah terputus (sebenarnya kaki Donald hanyalah tertanam di bawah tanah). Donald telah merampas pistol Pete dan mengacukan ke kepalanya dan mengugut untuk membunuh diri.

Pete bersetuju untuk membenarkan Donald untuk membunuh diri namun ianya mestilah dilakukan secara tersembunyi. Kesempatan ini telah digunakan Donald untuk melarikan diri dan pada ketika inilah beliau baru tersedar bahawa kakinya masih ada. Filem ini mempunyai mesej halus tentang keburukan peperangan. Ianya menggambarkan bahawa seseorang yang tidak mempunyai anggota badan yang sempurna (ditujukan kepada veteran perang) tidak lagi mampu meneruskan kehidupan seperti manusia biasa.

7. Reason And Emotion

Filem ini mempunyai mesej yang menarik berkaitan konflik diri sendiri. Secara umum, terdapat 2 faktor yang membentuk tindakan dan fikiran seseorang iaitu sebab dan juga emosi. Pada ketika itu surat khabar sering memuatkan info-info yang bertentangan antara satu sama lain, bergantung sama ada syarikat penerbitan tersebut berhaluan kanan atau kiri. Kemudian, digambarkan seorang pemuda yang stress apabila membaca surat khabar dan mendengar radio kerana beliau tidak tahu info yang mana satu patut dipercayainya.

Pada babak ini, narator mengingatkan penonton bahawa pada ketika ini emosi telah menguasai diri pemuda tersebut dan keadaan ini mendorong seseorang itu bertindak tanpa mengambil kira "sebab" perbuatan tersebut dilakukan. Narator kemudian mengatakan itulah gambaran apa yang sebenarnya dilakukan oleh Hitler kepada penduduk Jerman untuk mempengaruhi pemikiran mereka. Hitler telah menyuntik perasaan takut, simpati, bangga dan kebencian untuk memenangi hati rakyat Jerman dan membentuk kesetian rakyat kepadanya.

Secara umumnya, filem ini mempunyai dua mesej yang jelas. Pertama, musuh (Nazi) juga merupakan manusia biasa yang kadang-kala menjadi mangsa akibat emosi mereka sendiri. Keduanya, filem ini mengingatkan penonton bahawa kita sebagai manusia tidak boleh membiarkan emosi dan ketakutan menguasai diri sehingga kita bertindak tanpa berfikiran rasional.

8. Education For Death: The Making Of A Nazi

Satu lagi filem yang mempunyai tema dan mesej yang menarik. Filem ini bertujuan untuk menggambarkna keadaan sebenar manusia yang hidup dalam penguasaan pihak Nazi Jerman. Filem dimulakan dengan kelahiran Hans, seorang lelaki yang lahir ketika zaman pemerintahan Nazi. Beliau adalah seorang pelajar yang jujur, baik dan sangat lemah lembut ketika disekolahnya.

Walau bagaimanapun, beliau mempunyai ketahanan diri yang rendah dan seringkali jatuh sakit. Hal ini menyebabkan ibu risau beliau akan mati apabila dilatih menjadi seorang askar Nazi kelak. Guru-gurunya disekolah juga seringkali memerlinya kerana terlalu lemah dan lama-kelamaan menjadikan beliau seorang yang panas baras dan pembenci. Dengan sifat yang dimiliki ini, Hans akhirnya membesar sebagai seorang askar Nazi yang taat setia.

Pihak Disney telah menghasilkan filem animasi ini sebagai peringatan kepada penonton bahawa walaupun Jerman merupakan musuh mereka pada ketika itu, ianya bukan kesalahan askar Jerman seratus peratus. Sebaliknya golongan remaja dan askar Jerman telah ditanam dengan sifat taat setia kepada pemimpin sejak dari kecil lagi. Filem ini diakhiri dengan satu babak yang memaparkan ribuan kubur askar Nazi Jerman dengan mesej bahawa pendidikan yang diberikan di Jerman kepada golongan muda Jerman pada ketika itu akhirnya tetap akan menjadi mereka sebagai askar yang akan mati di medan perang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)