Senarai penjenayah paling dikehendaki oleh pihak FBI sering berubah-ubah. Sepuluh lelaki yang masih dalam misi pencarian kini dikehendaki atas kesalahan membunuh, kegiatan haram dan merompak. Pihak FBI menawarkan wang ganjaran 100,000 dolar bagi sesiapa yang boleh memberikan maklumat sehingga penangkapan berjaya dilakukan bagi penjenayah-penjenayah ini. Manakala wang ganjaran bagi penangkapan seorang lelaki lain pula bernilai sehingga 200,000 dolar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Calon Top 10 ini akan dibuang sekiranya mereka berjaya diberkas, dilepaskan daripada kesalahan jenayah atau tidak lagi dianggap oleh FBI sebagai penjenayah 'dengan rekod jenayah serius yang panjang dan/atau dianggap sebagai ancaman berbahaya kepada masyarakat.'

Apabila terdapat kekosongan, Bahagian Penyiasatan Jenayah FBI akan meminta pejabat luar memfailkan pencalonan baru untuk dimasukkan ke dalam senarai. Pegawai eksekutif FBI di ibu pejabat akan berbincang dan memberikan kelulusan siapa yang layak tersenarai sebagai 10 Penjenayah Paling Dikehendaki.

Ketika artikel ini ditulis, berikut adalah 10 lelaki yang berada dalam senarai itu:

10. Jesus Roberto Munguia, sejak November 2017 (berjaya diberkas)

munguia telah ditangkap pihak fbi lelaki paling dikehendaki

Ganjaran: $100,000

Munguia merupakan penjenayah yang telah disabitkan kesalahan. Dia merupakan ahli kepada geng TEPA 13 yang berpangkalan di Los Angeles dan kawasan sekitar Bakersfield, California.

Pada tahun 2008, Munguia telah menculik dan membunuh isterinya di Las Vegas. Dia kemudian disabitkan kesalahan atas kes penculikan dan membunuh menggunakan senjata berbahaya.

Pada 15 Februari 2018, Munguia akhirnya berjaya ditahan hasil maklumat seorang penduduk yang telah mengenal pasti dirinya melalui gambar poster yang dikeluarkan oleh pihak FBI.

9. Robert William Fisher, sejak Jun 2002

robert william fisher

Ganjaran : $100,000

Menurut FBI, Fisher telah dituduh membunuh isteri serta dua anaknya sebelum meletupkan rumah mereka di Scottsdale, Arizona pada tahun 2001.

Fisher dilaporkan sebagai seorang lelaki yang mempunyai susuk tubuh tegap dan mempunyai korona berwarna emas yang mudah dilihat di gigi sebelah atas kiri. Dia mungkin berjalan dengan sedikit mendabik kerana kecederaan yang dialami di bahagian bawah belakang.

Dalam video pada tahun 2001 itu, Fisher dilihat berjalan sambil mendukung salah seorang anaknya sebelum membunuh ahli keluarganya beramai-ramai.

8. Alexis Flores, sejak Jun 2007

alexis flores

Ganjaran : $100,000

Flores dikehendaki kerana penglibatannya dalam kes culik dan bunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun di Philadelphia. Anak kecil itu dilaporkan hilang pada Julai 2000 dan dijumpai mati dicekik di sebuah apartment pada bulan Ogos.

Menurut pihak FBI, Flores mempunyai kesan parut di pipi kanan dan dahi.

7. Eduardo Ravelo, sejak Oktober 2009

eduardo ravelo

Ganjaran : $100,000

Ravelo yang lebih dikenali sebagai 'Tablas' merupakan ahli penting kepada perusahaan jenayah Barrio Azteca. Kesemua ahli kumpulan ini bertindak sebagai pembunuh upahan bagi Organisasi Pengedaran Dadah Vicente Carrillo Fuentes dan bertanggungjawab ke atas pelbagai kes bunuh.

Dia dikehendaki atas kesalahan penyeludupan wang haram, kegiatan jenayah dan pelbagai aktiviti berkaitan dadah di Texas. Dia juga dituduh melakukan beberapa pembunuhan di Mexico.

Seperti kebanyakan penjenayah yang dikehendaki FBI, Ravelo dipercayai telah membuat pembedahan plastik untuk mengubah wajah dan cap jari untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa.

6. William Bradford Bishop, Jr., sejak April 2014

william bradford bishop

Ganjaran : $100,000

Bishop telah memukul isteri, ibu dan tiga anak lelakinya (usia 5, 10 dan 13) sehingga mati pada tahun 1976 di Maryland. Menurut pihak FBI, dia telah membawa mayat mangsa ke Carolina Utara di mana mereka ditanam dalam sebuah kubur yang cetek dan dibakar.

Bishop merupakan seorang graduan Yale University dan kemudian memperolehi ijazah sarjana dalam bahasa Itali dari Kolej Middlebury di Vermont. Dia juga telah menjalankan aktiviti perkhemahan di Afrika dan gemar memancing, berenang, berlari, bermain tenis, bermain ski dan menaiki motosikal. Dia juga pernah belajar menjadi juruterbang amatur di Botswana.

Sebelum kes bunuh itu, Bishop dilaporkan berada di bawah jagaan psikiatrik dan sedang mengambil ubatan akibat tekanan perasaan. Dia juga digambarkan sebagai yang sangat serius, asyik dengan diri sendiri, cenderung melakukan keganasan secara tiba-tiba serta sukakan persekitaran yang teratur dan kemas.

5. Yaser Abdel Said, sejak Disember 2014

yaser abdel said

Ganjaran : $100,000

Abdel Said dituduh membunuh dua anak remaja perempuannya di Texas pada tahun 2008. Dia berasal dari Mesir namun mempunyai kenalan di New York, Texas, Virgina dan sebahagian Kanada.

Pihak FBI telah memberikan gambaran yang sangat jelas mengenai Abdel Said. Dia suka memakai kaca mata hitam di dalam bangunan dan juga ketika berada di luar. Dia selalu berkunjung ke restoran Denny's dan IHOP dan menghisap rokok Marlboro Lights 100.

Abdel Said juga dilaporkan sebagai pencinta anjing, terutama sekali baka German Shepherds berwarna hitam atau gelap.

4. Bhadreshkumar Chetanbhai Patel, sejak April 2017

bhadreshkumar chetanbhai patel

Ganjaran : $100,000

Patel yang berasal dari India telah membunuh isterinya dengan memukulnya dengan sebuah objek secara bertubi-tubi semasa pasangan itu bekerja di sebuah kedai donat di Maryland pada tahun 2015.

Dia disabit kesalahan atas kesalahan membunuh darjah pertama dan kedua, serangan darjah pertama dan kedua selain membawa senjata berbahaya dengan niat untuk mencederakan.

Patel dipercayai bersembunyi dalam usaha melarikan diri daripada pihak berkuasa. Akhir sekali dia dilaporkan berada di kawasan Newark, New Jersey.

3. Santiago Villalba Mederos, sejak 2017

lelaki paling dikehendaki fbi most wanted santiago villalba mederos

Ganjaran : $100,000

Mederos merupakan anggota geng Eastside Lokotes Sureno yang berada di sekitar Washington. Dia dikehendaki atas kesalahan membunuh seorang gadis yang tidak dikenali berusia 20 tahun dan mencederakan abang gadis tersebut selepas menembak kereta mereka pada tahun 2010.

Sebulan kemudian, Mederos dilaporkan telah melakukan serangan tembakan sekali lagi di kawasan awam sehingga menyebabkan seorang lelaki 21 tahun terkorban.

2. Alejandro Rosales Castillo, sejak Oktober 2017

alejandro rosales castillo

Ganjaran : $100,000

Castillo dipercayai telah meninggalkan Amerika Syarikat selepas membunuh bekas teman wanita dan bekas rakan sekerjanya di Carolina Utara. Rakaman video daripada pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan AS menunjukkan yang dia telah menyeberangi sempadan memasuki kawasan Mexico dari Nogales, Arizona pada bulan Ogos 2016.

Mayat mangsa perempuan dijumpai di kawasan hutan dengan kesan tembakan di kepala. Sebelum ini, Castillo tinggal di Charlotte, Carolina Utara namun mempunyai hubungan kenalan di Arizona.

1. Jason Derek Brown, sejak Disember 2007

jason derek brown

Ganjaran : $200,000

Brown tersenarai atas tuduhan membunuh dan rompakan bersenjata di Phoenix, Arizona. Pada tahun 2004, dia telah menembak mati pengawal dalam kereta berperisai di luar sebuah panggung wayang dan melarikan diri bersama wang yang dicuri. 

Dia yang merupakan seorang penganut Mormonisme amat fasih dalam bahasa Perancis dan mempunyai ijazah sarjana dalam perniagaan antarabangsa. Brown juga sangat sukakan perhatian daripada orang ramai dan dilaporkan suka berkunjung ke kelab malam untuk bermegah-megah menunjukkan kereta, bot dan barang mewah miliknya.

Jika anda ada ternampak kelibat mana-mana lelaki ini, jangan lupa hubungi pihak FBI ya. Manalah tahu kalau-kalau mereka bersembunyi berhampiran dengan anda. 

Sumber : FBI




Hakcipta iluminasi.com (2017)