Bola sepak mempunyai banyak sejarah tersendiri. Atas sebab itu, banyak sebenarnya kisah sejarah melibatkan bola sepak yang tidak diketahui ramai khasnya berkenaan bola sepak wanita. Walaupun begitu tak dapat dinafikan wujud usaha yang kuat dalam mendidik masyarakat berkenaan bola sepak wanita.

Salah satu kisah berkenaan bola sepak wanita yang penting untuk diperkatakan, adalah berkenaan kisah Asmahan Mansour. Anda berkemungkinan besar tidak pernah dengar tentang beliau, tetapi Asmahan menjadi watak yang memulakan perubahan besar pada dunia bola sepak wanita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Asmahan adalah seorang pemain bola sepak di Kanada yang menjadi punca FIFA membenarkan pemakaian hijab atau tudung dalam perlawanan bola sepak rasmi melibatkan wanita. Pada tahun 2007, Asmahan menyertai sebuah kejohanan di Ontario dengan memakai tudung namun dihalang oleh pengadil. Dia diarahkan untuk membukanya sebelum dibenarkan bermain.

Atas larangan itu, seluruh pasukannnya menarik dari daripada kejohanan itu.

Permulaan penentangan terhadap FIFA

gadis comel pemain bola sepak

Kes yang berlaku pada Asmahan dilaporkan kepada Canadian Soccer Association, yang kemudiannya merujuk kes tersebut kepada FIFA. FIFA memutuskan untuk meneruskan larangan itu namun mengubah undang-undang membenarkan pemakaian pelindung kepala yang mendedahkan leher.

Semua ini dilakukan tanpa wujudnya sebarang kajian menyeluruh yang dapat membuktikan pemakaian hijab memberi risiko kecederaan pada pemain. Alasan risiko kecederaan inilah yang digunakan untuk menghalang Asmahan bermain dalam kejohanan tersebut. Atas larangan ini, Asmahan tidak lagi bermain dalam kejohanan rasmi. Bukan dia seorang, beribu lagi wanita disekat daripada menyertai sebarang bentuk kejohanan.

Apa yang menyedihkan, FIFA pada mulanya memperkenalkan larangan ini dengan alasan 'hijab adalah satu simbol agama' namun mengubah larangan ini, menggunakan hujah keselamatan selepas FIFA dipersoal mengapa pemain yang mempunyai tatu atau meraikan gol dengan menggayakan simbol keagamaan dibenarkan.

Larangan untuk pasukan Iran mencetuskan perubahan besar

pemain bola sepak iran wanita menangis

Pada satu perlawanan kelayakan Olimpik melibatkan pasukan Jordan dan Iran dalam tahun 2011, pasukan bola sepak wanita Iran dilarang untuk bermain kerana memakai hijab yang mematuhi garis panduan FIFA. Laporan media yang memaparkan reaksi sedih pasukan Iran gagal dalam misi layak ke sukan Olimpik tersebar luas, lalu mendapat reaksi orang ramai.

Perbincangan pada peringkat awam mula berlaku dengan dakwaan FIFA sebenarnya masih lagi mengamalkan undang-undang lapuk, yang didorong oleh ketakutan terhadap Islam dan Muslim serta rasa kurang peduli berpunca daripada budaya kawalan kaum lelaki, yang diamalkan sekian lama oleh FIFA.

Pada ketika inilah muncul individu-individu penting seperti Moya Dodd dari Persatuan Bola sepak Asia, Assmaah Helal seorang pemain dan aktivis serta Putera Ali bin al-Hussein dari Jordan, ketika itu naib presiden FIFA serta pengerusi Persatuan Bola Sepak Jordan. Mereka adalah individu yang memberi tekanan serta menjalankan kempen dengan gerakan Right2Wear, PBB dan Fifpro dalam mendesak FIFA mengkaji semula larangan hijab.

bola sepak bertudung iran

Kaum wanita mula mengeluarkan rekaan hijab sendiri yang praktikal untuk pemain bola sepak wanita. Syarikat seperti Capsters dan ResportOn mula mengeluarkan produk hijab khas untuk sukan yang menepati piawaian antarabangsa.

Walaupun gerakan mendesak pembatalan larangan hijab semakin hebat berlaku, pemain bola sepak wanita Muslim tetap terpinggir kerana tidak wujud kebenaran untuk mereka bermain dalam tempoh tersebut. Sukar untuk seorang wanita Muslim memilih di antara kepercayaan agama dan sukan yang diminati, dengan agama selalunya menjadi pilihan memaksa pemain-pemain wanita berhijab menyisihkan diri.

Larangan hijab dimansuhkan

pemain bola sepak berhijab

Hanya pada 1 Mac 2014, Setiausaha Agung FIFA (ketika itu) Jerome Valcke mengumumkan semua jenis penutup kepala yang dipakai kerana permintaan agama, dibenarkan untuk dipakai di atas padang. Ini termasuklah turban untuk lelaki Sikh, kippah untuk lelaki Jewish dan yang lebih penting bagi Asmahan, hijab untuk wanita Muslim.

Pada Oktober 2016, kurang dua tahun selepas larangan kepada hijab dimansuhkan, kejohanan Piala Dunia bawah 17 tahun wanita diadakan di Amman, Jordan. Itu adalah kejohanan pertama secara rasmi oleh FIFA yang membenarkan pemakaian hijab oleh pemain-pemain wanita. Kejohanan itu juga adalah kejohanan pertama di Timur Tengah yang dianjurkan oleh FIFA.

awek main bola bertudung

Tidak ramai menyedari sejarah bagaimana perubahan ini berlaku kerana bola sepak wanita masih belum mendapat tempat yang setara pada mata dunia. Kisah Asmahan Mansour yang menjadi titik tolak membolehkan pemain-pemain bola sepak wanita bertanding dalam sukan yang mereka cintai, adalah sebuah kisah sejarah yang perlu diceritakan pada semua generasi baru peminat bola sepak seluruh dunia.


Artikel ini adalah terjemahan When women were forced to choose between faith and football yang diterbitkan pada 28 April 2018, hasil nukilan Shireen Ahmad.




Hakcipta iluminasi.com (2017)