Oleh pada 28 Apr 2022 kategori

Jika anda adalah seorang penggemar coklat, frasa "cair di mulut tetapi tidak di tangan" mungkin sesuatu yang tidak asing lagi. Ia merupakan cogan kata popular bagi salah satu produk coklat terkenal dunia iaitu M&M.

Coklat kecil berwarna-warni ini begitu popular di seluruh dunia dan menjadi kegemaran kanak-kanak mahupun dewasa sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1940-an. Namun, tahukah anda tentang sejarah coklat popular ini?

Kebanyakan orang percaya bahawa huruf M yang dicetak di setiap coklat M&M itu bermaksud Mars Incorporated, salah sebuah syarikat pengeluar coklat terkenal dunia. Ia hanyalah sebahagian daripada kisah coklat itu.

Sejarah penubuhan M&M

Sebenarnya, terdapat dua orang pengasas coklat M&M dan kedua-duanya mempunyai nama bermula dengan huruf M. Kedua-dua M ini bertanggungjawab menghasilkan coklat kegemaran ramai tetapi sejarah mereka sebagai rakan kongsi adalah lebih rumit daripada apa yang dijangkakan.

Pada tahun 1911, Franklin Clarence Mars telah menubuhkan Mars Incorporated iaitu sebuah perniagaan kecil yang menghasilkan pelbagai produk manisan dan coklat di Newark, New Jersey.

Apabila tiba masanya untuk Frank bersara, dia sudah mempersiapkan anaknya, Forrest Edward Mars Sr., untuk mengambil alih tempatnya. Dia telah menghantar anaknya belajar di luar negara bagaimana untuk memulakan perniagaan sendiri.

forrest edward mars sr

Forrest Edward Mars Sr.

Semasa berada di luar negara, Forrest Mars Sr. telah memerhatikan askar-askar Britain memakan manisan coklat kecil bersaiz pil yang dinamakan Smarties. Manisan itu mempunyai cengkerang keras di luar dan coklat lembut di bahagian dalamnya.

Apa yang mengejutkan Forrest, coklat Smarties itu tahan serta tidak cair ketika musim panas dan ia juga kecil dan mudah dibawa. Berbekalkan pengetahuan baru itu, dia kembali ke Amerika Syarikat untuk mengambil alih syarikat bapanya.

Forrest Mars Sr. mula menjalinkan kerjasama dengan syarikat dari Britain yang menghasilkan coklat Smarties iaitu H.I. Rowntree & Company. Dia telah mendapat paten untuk penghasilan coklat seumpama Smarties di Amerika Syarikat.

Forrest yang juga tidak senang dengan cara bapanya menguruskan syarikat juga mula mencari rakan kongsi bagi menjayakan rancangannya dalam menghasilkan coklat baru yang lebih baik di pasaran Amerika. 

Pertemuan dua gergasi dunia coklat

Ketika inilah, Forrest Mars Sr. bertemu dengan M yang juga pengasas bersama coklat M&M iaitu Bruce Murrie.

hershey

Seperti Forrest Mars Sr., Bruce Murrie juga merupakan anak kepada seorang usahawan coklat iaitu William Murrie, presiden Hershey. Sama seperti Forrest, Bruce juga tidak bersetuju dengan cara bapanya menguruskan syarikat dan sedang mencari seseorang untuk bekerjasama dan mengubah industi pengeluaran coklat di Amerika.

Pertemuan antara kedua-dua pewaris coklat itu bakal membawa perubahan besar dan selebihnya adalah sejarah.

Walaupun Mars mempunyai paten untuk manisan baru itu tetapi Murrie mempunyai antara coklat yang terbaik dalam pasaran. Bersama-sama, mereka mula menghasilkan coklat kecil bersalut cengkerang pertama di bawah syarikat baru yang dinamakan Mars & Murrie. Mereka lebih dikenali dengan M&M.

Pada mulanya, coklat M&M hanya dijual secara ekslusif kepada Angkatan Tentera Amerika Syarikat sahaja. Ini kerana coklat itu tahan panas dan mudah dibawa mengembara.  

Produk coklat M&M itu terbukti berjaya apabila mendapat pujian daripada tentera-tentera yang amat menyukainya. Ia semakin mendapat permintaan tinggi dan sehingga hari ini, M&M terus disertakan dalam bekalan makanan Tentera Amerika yang keluar ke medan perang.

Milik Mars Incoporated sepenuhnya

maskot m m

Ketika coklat itu mendapat sambutan dan jumlah jualan yang memberangsangkan, masalah baru mula timbul dalam syarikat M&M itu sendiri. Bruce Murrie menyedari bahawa semakin besar syarikat itu berkembang, semakin sukar untuk dia bekerjasama dengan Forrest Mars Sr.

Apabila Forrest semakin tidak terkawal, Murrie membeli semua saham syarikat itu untuk mengusir rakan kongsinya itu daripada syarikat yang ditubuhkan mereka bersama.

Namun, Forrest berjaya membeli semula syarikat M&M di bawah Mars Incorporated dan menghentikan penggunaan coklat Hersey dan menggunakan coklat sendiri supaya mereka mengusasi M&M sepenuhnya. Hershey dan Mars Incorporated yang merupakan rakan kongsi telah menjadi musuh ketat dalam industri coklat.

Pada tahun 1981, M&M sekali lagi menempa sejarah dengan menjadi coklat pertama di angkasa lepas apabila melancarkan coklat mereka ke orbit dengan pesawat angkasa Columbia. 

Tiga tahun selepas itu, M&M menjadi perhatian negara sekali lagi apabila jenama itu dinamakan sebagai snek rasmi Sukan Olimpik 1984 yang berlangsung di Los Angeles. 

m m di angkasa lepas

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 1950-an, coklat M&M tidak banyak berubah. Ramuannya tetap sama walaupun warna dan isinya melalui beberapa perubahan.

M&M asalnya adalah coklat biasa dengan cengkerang bercop huruf M yang terdapat dalam pelbagai warna seperti coklat, merah, oren, kuning, hijau dan ungu. Hari ini, terdapat pelbagai perisa M&M termasuklah kacang, pudina, karamel dan beberapa perisa unik seperti kek hari jadi dan roti pretzel.

Resepi rahsia M&M

Walaupun M&M terkenal di seluruh dunia tetapi tidak banyak yang diketahui mengenai proses pembuatan coklat itu sendiri. Mars Incorporated begitu berahsia mengenai produk coklat mereka yang paling popular itu.

Banyak khabar angin mengenai bagaimana syarikat itu berjaya merahsiakan resepi pembuatan coklat M&M. Dikatakan bahawa kontraktor yang diupah untuk membaik pulih mesin coklat terpaksa dibawa dalam keadaan mata bertutup ke lokasi rahsia pembuatan coklat.

Selain itu, para eksekutif M&M juga sering menyamar untuk menghadiri pertemuan dengan pesaing-pesaing mereka dan berurusan dengan orang luar secara rahsia.

tutup mata

Bahkan, bank yang mengendalikan kewangan syarikat itu juga tidak mempunyai akses penuh kepada rekod kewangan Mars Incorporated sejak dari zaman Frank Mars lagi. Ia merupakan 'tradisi' yang masih diteruskan sehingga hari ini.

Syarikat itu dikhabarkan menghasilkan lebih daripada RM 142 billion setahun. Mereka mungkin menjadi syarikat ke-83 terkaya dalam senarai Forbes Fortune 500 tetapi tidak disertakan kerana syarikat itu tidak memfailkan maklumat cukai persekutuan.

Walaupun apa yang dilakukan mereka agak ekstrem tetapi sejarah telah menjelaskan semuanya. M&M itu sendiri sebenarnya adalah penghasilan semula coklat dari luar negara. Terdapat pelbagai kemungkinan seseorang mungkin mencuri resepi rahsianya untuk mengulangi semula sejarah yang dilakarkan M&M.

Rujukan:

1. Kisah penghasilan coklat M&M

2. Sejarah yang dilakarkan coklat M&M

3. Syarikat coklat yang sangat berahsia




Hakcipta iluminasi.com (2017)