Bagi penggemar makanan coklat, anda pasti sedar akan kewujudan pelbagai jenis dan variasi coklat antaranya coklat susu (milk chocolate), coklat kurang gula (semisweet chocolate) dan coklat gelap (dark chocolate). Apa yang membezakan antara jenis-jenis coklat ini adalah peratusan kandungan koko di dalamnya.

Walau bagaimanapun, terdapat juga coklat putih (white chocolate) yang berwarna putih. Apakah sebenarnya "white chocolate" ini? Adakah ia sebenar-benarnya sejenis coklat?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jawapan kepada soalan ini sebenarnya begitu subjektif. Sekiranya anda bertanyakan soalan ini kepada mereka yang pakar dalam bab coklat, coklat putih tidak dikategorikan sebagai sejenis coklat. Selain warna, satu lagi perbezaan ketara antara coklat putih dan coklat lain adalah rasanya. Rasa coklat putih biasanya tersangat manis, tidak kiralah jenama apapun yang anda beli.

Kandungan utama sesuatu coklat

sirap coklat

Untuk mengetahui sebabnya, adalah penting untuk mengetahui kandungan sebenarnya sesuatu coklat yang biasa dijual di pasaran. Secara umumnya, setiap coklat mengandungi 3 bahan utamanya iaitu sirap koko (chocolate liquor), mentega koko (cocoa butter) dan pepejal koko (cocoa solids) serta beberapa bahan tambahan lain. Peratusan bahan utama ini dalam coklat akan membezakannya kepada beberapa variasi coklat yang dijual di pasaran.

Bagi kebanyakan pakar dalam bab coklat, coklat putih tidak dikategorikan sebagai satu coklat memandangkan ia tidak mengandungai 2 daripada 3 bahan utama utama membuat coklat, iaitu sirap koko (chocolate liquor) dan pepejal koko (cocoa solids) yang merupakan 2 bahan utama yang memberikan rasa 'coklat sebenar' kepada sesuatu makanan coklat itu.

Kebanyakan coklat putih yang dijual dipasaran mengandungi mentega koko iaitu sejenis lemak sayuran berwarna putih kekuningan tetapi ada juga yang hanya menggunakan minyak sayuran lain sebagai ganti.

Bahan utama "white chocolate"

pelbagai jenis coklat 760

Pada tahun 2004, Food and Drug Administration iaitu satu agensi kerajaan Amerika Syarikat dalam bidang kesihatan telah memperkenalkan satu undang-undang yang mewajibkan coklat putih yang dijual dipasaran mestilah mempunyai minimum 20% mentega koko. Undang-undang ini diperkenalkan bagi mengelakkan pihak pengeluar coklat menggunakan minyak sayuran atau lemak sayuran lain bagi menggantikan mentega koko.

Salah satu cara bagi mengetahui sekiranya coklat putih yang anda beli di pasaran menggunakan mentega koko atau lemak/minyak sayuran lain sebagai ganti adalah dengan melihat kepada warna coklat tersebut. Coklat putih yang menggunakan mentega koko ini biasanya akan berwarna putih keperangan.

Malangnya warna coklat ini juga tidak boleh dijadikan indikator mutlak memandangkan terdapat pengeluar yang menggunakan lemak/minyak sayuran tetapi menambah bahan pewarna tiruan bagi menjadikannya sedikit keperangan.

Selain mewajibkan penggunaan mentega koko pada kadar peratusan tertentu, bagi membolehkannya digelar coklat putih, ianya mesti mempunyai minimum 14% pepejal susu, 3.5% lemak susu dan tidak lebih daripada 55% gula atau pemanis. Selain itu, lecithin dan perisa tambahan (kebiasaannya vanilla) biasa digunakan memandangkan mentega koko secara semulajadinya tidak mempunyai perasa yang menarik perhatian.

Tidak lama kemudian, piawaian mengenai coklat putih ini turut digunapakan dalam kalangan negara Eropah kecuali peratusan kandungan gula dan pemanis.

Coklat putih bukan sejenis coklat?

proses pembuatan coklat

Walau terdapat undang-undang yang diperkenalkan bagi membolehkan sesuatu makanan itu digelar coklat putih, kebanyakan pakar dalam bab coklat tidak menganggup coklat putih sebagai sebuah coklat sebenar. Untuk membolehkannya dianggap sebagai coklat sebenar, ianya mesti mengandungi sirap coklat (chocolate liquor), sejenis sirap coklat yang pekat terhasil apabila biji koko telah ditapai, dikeringkan dan dibakar melalui beberapa proses.

Coklat yang sebenar juga mestilah mengandungi pepejal koko. Malangnya, coklat putih tidak mengandungi kedua bahan utama ini.

Walau bagaimanapun, terdapat satu kelebihan coklat putih berbanding coklat biasa. Kerana kekurangan atau ketidakhadiran (chocolate liquor) dan pepejal koko, maka kuantiti Theobromine dan kafein di dalamnya sangat sedikit dan tidak memberikan kesan yang signifikan terhadap mereka yang alergik padanya. Coklat biasanya juga dilarang keras diberikan kepada anjing kerana kewujudan Theobromine dimana anjing sangat alergik padanya.

Kredit:

  1. Huffington Post
  2. Chicago Tribune



Hakcipta iluminasi.com (2017)