Coklat. Sejenis makanan ringan yang pastinya membangkitkan mood ceria bagi kebanyakan manusia sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa. Boleh dimakan bila-bila masa dan seringkali dijadikan sebagai hadiah untuk meraikan sesuatu majlis atau peristiwa.

Dihasilkan daripada koko sebagai bahan utama, coklat yang dijual dipasaran juga seringkali dicampur pelbagai bahan lain seperti susu dan kacang untuk memberikan rasa yang unik. Bagi kebanyakan orang, coklat daripada jenama Cadbury dan Hershey's sudah cukup sedap dan dijual pada harga mampu milik.

Namun, terdapat banyak lagi jenama coklat premium yang dijual pada harga jauh lebih mahal. Kali ini, Iluminasi ingin berkongsi 5 coklat paling mahal didunia yang pernah dijual. Walaupun harga coklat ini tidak masuk akal, namun itulah harganya yang sebenar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

5. Knipschildt Chocolatier ($2,600)

Knipschildt Chocolatier merupakan coklat hasil tangan Fritz Knipschildt, seorang pakar coklat. Coklat yang dihasilkan ini menggunakan bahan-bahan premium dan terbaik di pasaran. Uniknya, kesemua coklatnya dihasilkan menggunakan tangan sendiri dan rasanya juga sama untuk setiap coklat yang dihasilkan.

Di Norwalk, Amerika Syarikat terdapat sebuah kedai Café Chocopologie di mana anda boleh melihat sendiri proses menghasilkan coklat ini dan juga menikmati coklat yang baru dibuat. Seketul coklat ini yang diperbuat daripada Truffle yang diimport daripada Perancis dan 70% serbuk koko premium dijual pada harga $250 setiap satu atau $2500 bagi setiap 450 gram. 

4. Coklat Swarovski ($10,000)

swarovski studded chocolates

Swarovski merupakan satu jenama premium yang menghasilkan barangan kemas terutamanya yang dihasilkan daripada kristal. Dijual pada harga $10,000, coklat yang dijual ini merupakan kerjasama antara jenama Swarovski, Patchi dan Harrods.

Coklat ini sesuai dijadikan hadiah dimana dalam satu kotak ini terdapat 49 ketul coklat daripada jenama Patchi yang dibalut khas dengan kain sutera. Kemudian, setiap coklat ini akan dihias khas dengan hiasan bunga yang diperbuat daripada kristal Swarovski. Coklat ini juga pernah mendapat anugerah Coklat Terbaik daripada  Academy of Chocolate atas rekaan dan rasanya yang ekslusif.

3.  Golden Speckled Egg ($11,107)

golden speckled egg

Coklat ini dihasilkan oleh WIlliam Curley, salah seorang pakar pembuat coklat. Ianya berjaya dijual dalam sebuah lelongan dengan harga $11,107. Coklat ini berbentuk seperti telur dan lapisan luarnya disaluti oleh coklat premium dari Amadei Tuscany, sebuah jenama coklat dari Itali.

Dalam coklat berbentuk telur ini, terdapat beberapa coklat lain pelbagai perisa yang unik antara Muscovado Caramel, Rosemary dan lain-lain. 7 orang pakar pembuat coklat telah ditugaskan menghasilkannya dan ianya mengambil masa selama 3 hari. Coklat ini dikatakan coklat paling mahal dijual tanpa barang kemas.

2. Frozen Haute ($25,000)

frozen haute

Frrozen Haute bukanlah coklat biasa yang dijual di dalam bungkusan sebaliknya ia adalah sejenis hidangan pemanis mulut yang dijual di restoran. Hidangan ini dihasilkan daripada 28 biji koko terbaik yang dipilih daripada seluruh dunia dan hanya boleh didapati daripada kafe Serendipity 3 yang terletak di New York.

Hidangan ini dihidangkan dengan hiasan gelang emas dan berlian yang diletakkan di sekeliling cawan. Sudu yang didatangkan dengan hidangan ini juga diperbuat daripada emas dan coklatnya juga berwarna emas.  Coklat ini mendapat pengiktirafan sebagai hidangan pemanis mulut termahal di dunia dan sekiranya anda hendak membelinya, anda perlu membuat tempahan lebih awal sebelum datang kerana ianya mengambil masa yang lama untuk disiapkan. 

1. Le Chocolate Box ($1.5 juta)

le chocolat box

Harganya mungkin tidak masuk akal tetapi itulah harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan set coklat ini. Dihasilkan oleh syarikat Simon Jewelers, coklatnya diperbuat daripada coklat premium keluaran syarikat Lake Forest Confections. Setiap set coklat ini juga datang dengan  rantai, anting-anting, cincin, gelang yang dihasilkan oleh syarikat Simon Jewelers sendiri.

Set coklat mahal ini dihasilkan sebagai simbolik bahawa coklat dan barangan permata merupakan 2 barang yang paling dihargai oleh setiap wanita. Bagi harga semahal ini, sebenarnya sebahagian besar daripada harganya datang daripada nilai barangan kemas yang didatangkan bersamanya.

Kredit:

  1. Reuters
  2. Business Insider
  3. LA Weekly
  4. Design Week



Hakcipta iluminasi.com (2017)