Salah satu elemen terpenting yang dipaparkan dalam promo terbaru untuk filem 'Captain Marvel' adalah visual yang memaparkan watak Nick Fury, lakonan Samuel L. Jackson, ketika dia masih berumur 30-40an usianya.

Bagi mereka yang belum tahu, filem 'Captain Marvel' yang bakal ditayangkan pada tahun 2019 kelak mengisahkan tentang kebangkitan adiwira wanita bernama Captain Marvel atau nama sebenarnya, Carol Denvers. Filem pertama ini berlaku ketika era sebelum millenium, dalam tahun 90-an. Disebabkan itulah wujud keperluan penting untuk 'memudakan' watak dalam filem ini, berbanding usia sebenar aktor yang ada sekarang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Filem keluaran Marvel sebelum ini pernah menggunakan teknik serupa namun hanya mengaplikasikannya dalam adegan durasi pendek, bukan dalam skala seperti apa yang filem 'Captain Marvel' perlukan dalam penceritaannya.

Peranan Lola VFX dalam menurunkan usia watak

patrick stewart ian mckellen x men the last stand transformasi tua ke muda dalam filem

Proses merekabentuk teknologi yang diguna untuk menghasilkan aktor lebih muda walaupun hanya untuk beberapa minit disiarkan, sebenarnya amat kompleks.

Teknik ini dibangunkan dan dipelopori oleh sebuah syarikat kesan khas bernama Lola VFX, kali pertama digunakan dalam filem X-Men The Last Stand ketika babak imbas semula melibatkan aktor veteran Patrick Stewart dan Ian McKellen.

Penggunaan teknik serupa dalam filem 'The Curious Case of Benjamin Button' membuatkan penonton terpesona dengan hasilnya, sehingga kesan visual khas itu memenangi kategori kesan filem terbaik Oscar. Lola VFX seterusnya terlibat menggunakan teknik sama dalam filem seperti Tron Legacy dan trilogi The Hobbit, membangunkan adegan yang memerlukan pelakon utama dikembalikan seolah kelihatan muda.

brad pitt transformasi tua ke muda dalam filem

Pengalaman yang dikumpul Lola VFX melayakkan mereka menjadi antara studio terpenting dalam pembikinan filem Dunia Sinematik Marvel, diberikan tanggungjawab besar membangunkan kesan khas kerana mereka terkenal sebagai pakar subjek ini dan beberapa buah filem dalam siri filem adiwira Marvel pernah mendapat sentuhan mereka. Persoalannya, bagaimana mereka melakukannya?

Ant-Man (2015)

michael douglas transformasi tua ke muda dalam filem

Babak pembukaan filem Ant-Man berlangsung pada tahun 1989, 26 tahun daripada jalan cerita utamanya. Dalam adegan itu, pelakon Michael Douglas yang kini sudahpun berusia lebih 73 tahun perlu dipaparkan lebih muda hampir 3 dekad usia sebenarnya.

Bagi merealisasikan permintaan Marvel, Lola VFX merujuk kebanyakan filem Michael Douglas yang diterbitkan pada era 80-an sebagai panduan mereka. Rupa paras dan gaya beliau ketika itu diambil sebagai elemen penting dalam membangunkan semula wajah muda Michael Douglas secara digital.

michael douglas ant man transformasi tua ke muda dalam filem

Selain itu, Lola VFX turut sama menggunakan badan pendua seorang lelaki mirip dengan Michael Douglas bernama Dax Griffin, yang berusia 40-an. Teknik yang digunakan memerlukan kedua-dua pelakon melakonkan adegan yang sama dalam lokasi yang serupa -  jadi Dax diiminta mempelajari cara Michael berjalan, pergerakan dan mimik muka, melalui filem-filem lama MIchael.

Wajah Michael Douglas dan Dax Griffin kemudiannya diimbas dengan menggunakan pengimbas 3-dimensi, bagi mendapatkan model digital yang boleh digerakkan. Dalam mendapatkan data lakonan, wajah Michael semasa berlakon dipasangkan sensor untuk pengimbas merekodkan pergerakan mimik muka. Lakonan Michael akan diikut semula oleh Dax bagi mendapatkan gambaran bagaimana Michael akan bergerak semasa berusia 40 tahun dan juga memberi peluang kepada artis untuk mengkaji bagaimana pencahayaan memberi kesan pada 'Michael' yang berusia muda.

Selepas itu, maklumat pergerakan wajah yang direkodkan akan digunakan bagi menggerakkan wajah 3-dimensi Michael Douglas yang telah dimudakan, sebelum ditampal di atas lakonan Dax Griffin bagi mendapatkan visual penuh. (rujukan)

Captain America : Civil War (2016)

tony stark muda transformasi tua ke muda dalam filem

Babak memaparkan Robert Downey Jr. semasa muda dalam filem Captain America : Civil War pula dilakukan dengan kaedah tradisional, berbanding dengan kaedah yang digunakan dalam filem Ant-Man.

Robert akan melakonkan watak itu seperti biasanya dan visualnya dilakukan perubahan kemudian, sama seperti mengolah sesuatu gambar pegun yang diubahsuai dalam perisian Photoshop, sebagai contoh. Bezanya, perubahan haruslah dilakukan pada setiap shot filem mewakili kesemua gambar dalam setiap saat.

Anda boleh kira sendiri dalam setiap shot ada 24 keping gambar, darabkan saja berapa saat Robert versi muda ditayangkan. Begitulah banyaknya gambar yang perlu diubahsuai.

robert downey transformasi tua ke muda dalam filem

Oleh kerana wajah ketika muda memberikan perwatakan yang berbeza, artis di Lola VFX perlu lebih teliti dalam mengubahsuai wajah Robert kerana kulit yang muda akan kelihatan lebih berkilauan bila terkena cahaya. Urat pada wajah juga sepatutnya kurang kelihatan. Perubahan pada bentuk muka juga sangat ditekankan untuk memastikan penonton secara semulajadi dapat menerima versi muda Robert Downey Jr. tanpa sebarang rasa aneh.

Filem 'Less Than Zero' lakonan Robert yang terbit pada tahun 1987, menjadi rujukan artis dalam memastikan perubahan yang mereka lakukan pada setiap gambar tepat dengan wajah sebenar beliau semasa muda.

Guardians of the Galaxy Vol.2 (2017)

transformasi tua ke muda dalam filem kurt russell

Cabaran paling besar Lola VFX dalam 'memudakan' aktor berlaku dalam filem Guardians of the Galaxy Vol. 2 (GOTG2).

Ini kerana dalam filem ini, aktor Kurt Russell versi muda berada di dalam kenderaan yang bergerak serta memerlukan proses 'pemudaan' sebanyak 36 tahun, jumlah paling banyak bagi artis di Lola VFX setakat ini. Selain itu, babak dalam filem ini juga memerlukan Kurt versi muda mencium pelakon wanita Laura Haddock yang turut sama perlu dimudakan sedikit, membawa cabaran baru pada pengkarya.

Bagi mendapatkan rujukan, lakonan Kurt dalam filem 'Used Cars' yang terbit pada tahun 1980 digunakan. Pelakon Aaron Schwartz dipilih untuk menjadi badan pendua kepada Kurt Russell. Kaedah yang digunakan hampir serupa seperti teknik yang digunakan dalam filem Ant-Man bagi merekodkan lakonan, di mana kedua-dua pelakon perlu melakonkan adegan serupa, dengan Aaron perlu meniru 100% apa yang dilakonkan Kurt.

kurt russell tua transformasi tua ke muda dalam filem

Bezanya, dalam menghasilkan komposit yang menggabungkan hasil lakonan kedua-dua pelakon, artis akan menggunakan bahagian leher dan kelopak mata Aaron untuk 'ditampalkan' di atas rakaman asal lakonan Kurt, selain daripada beberapa bahagian lain bergantung kepada keperluan adegan.

Rakaman itu kemudiannya diolah semula sehingga kelihatan sempurna oleh artis, dengan pencahayaan menjadi faktor yang sangat penting diambil kira.

Kini anda sudah tahu, semasa anda menonton filem GOTG2 ini, mungkin anda sedang menonton aktor Kurt Russell, tetapi matanya mungkin mata aktor lain. Hebat sekali teknologi dalam menghasilkan visual yang mengagumkan, sekarang ini kan?


Artikel ini adalah olahan semula artikel How Marvel’s de-aging effects evolved to pull off Captain Marvel yang diterbitkan pada 20 September 2018.




Hakcipta iluminasi.com (2017)