Oleh pada 17 Oct 2019 kategori

Seorang guru matematik dan fizik dari Kenya, Peter Tabichi, telah dinobatkan sebagai "Guru Terbaik Dunia" dan memenangi hadiah bernilai RM 4.19 juta pada Hadiah Guru Antarabangsa Yayasan Varkey yang diadakan di Dubai.

Tabichi yang ditemani bapanya berkata, hadiah yang dimenanginya itu menunjukkan bahawa "guru adalah penting" dan "mengajar itu pekerjaan mulia". Tibichi telah mengalahkan 10,000 calon lain dari 179 buah negara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pengorbanan seorang guru

Tabichi meninggalkan tugasnya di sekolah swasta untuk menyertai Sekolah Menengah Keriko di Kampung Pwani, Naruku, Kenya. Di sekolah baru itu, 95% daripada pelajarnya miskin dan hampir satu pertiga adalah anak yatim.

sekolah menengah keriko

Sekolah Menengah Keriko

Sebahagian pelajar sekolah itu terpaksa berjalan kaki sejauh 7 km setiap hari dan keadaan menjadi semakin sukar pada musim hujan. Masalah seperti penyalahgunaan dadah, kehamilan luar nikah,keciciran sekolah dan bunuh diri adalah perkara biasa di sana.

Sekolah Menengah Keriko hanya mempunyai sebuah komputer dengan akses internet yang lemah. Nisbah pelajar dan guru di sekolah itu adalah 58:1. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, para pelajar Tabichi sering memenangi pelbagai pertandingan sains peringkat kebangsaan. 

Malah, mereka layak untuk menyertai Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa 2019 di Amerika Syarikat. Pada tahun 2017, seramai 16 pelajar Sekolah Menengah Keriko menyambung pelajaran ke kolej dan jumlah itu meningkat kepada 26 orang pada tahun 2018.

Keikhlasan dalam mengajar

peter tabichi mengajar para pelajarnya

Tabichi memberikan kira-kira 80 peratus pendapatannya untuk membantu pelajar-pelajar termiskin di sekolahnya. Pelajar-pelajar ini tidak mampu membeli untuk membeli kelengkapan asas seperti baju seragam dan buku.

Tabichi dan empat guru lain juga membantu pelajar yang bergelut dengan pembelajaran dengan mengadakan tuisyen perseorangan dalam subjek sains dan matematik. Mereka juga melawat rumah dan menemui keluarga pelajar untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi pelajar bermasalah.

Pendaftaran pelajar baru di Sekolah Menengah Keriko telah meningkat sebanyak dua kali ganda hanya dalam masa tiga tahun sahaja kerana pencapaian cemerlang yang mereka kecapi.

Penghargaan buat guru terbaik

hugh jackman menyampaikan hadiah kepada tabichi

Ketika berlangsungnya majlis Hadiah Guru Antarabangsa Yayasan Varkey, pelakon terkenal Hugh Jackman telah membuat persembahan muzik dari filem terbarunya The Greatest Showman. Persembahan itu ditujukan khas kepada 10 calon akhir Guru Terbaik Dunia 2019.

Hugh Jackman juga diberi tanggungjawab untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang Guru Terbaik Dunia 2019, Peter Tabichi. Penyampaian hadiah itu juga disaksikan oleh Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan bin Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Ketika menerima anugerah, Tibichi memberitahu bahawa dia berada di atas pentas itu adalah disebabkan kejayaan anak didiknya. Hadiah itu membuktikan pada dunia bahawa para pelajar itu mampu melakukan apa sahaja.

peter tabichi bersama presiden kenya

Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta, berkata dalam satu mesej video, "Peter Tabichi, kisah anda adalah kisah Afrika, benua yang dipenuhi dengan bakat".

Anugerah Guru Terbaik Dunia itu adalah pembukaan kepada Forum Pendidikan dan Kemahiran Global, satu persidangan yang disertai oleh menteri pendidikan dan pemimpin dari seluruh dunia.

Kekurangan tenaga pengajar global

forum pendidikan dan kemahiran global

Mereka bergabung dalam forum yang diadakan selama tiga hari itu untuk membincangkan hal berkaitan pendidikan, pembelajaran dan teknologi. Hadiah yang disumbangkan Yayasan Varkey itu bertujuan memberi tumpuan kepada guru ketika dunia menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar.

Penyelidikan juga menunjukkan bahawa sesebuah negara miskin memerlukan masa sehingga 100 tahun untuk merapatkan jurang pembelajaran dengan negara maju. Yayasan itu berharap usaha mereka ini dapat mengenengahkan kisah hebat guru-guru dari seluruh dunia yang tidak didengari ini.

Acara ini adalah sambutan guru secara besar-besaran. Guru sering bekerja keras dan kadang-kala kurang diberi pengiktirafan atau dibayar gaji yang tidak setimpal. Tabichi merupakan pemenang acara ini pada tahun yang kelima ia diadakan.

Harapan anugerah Guru Terbaik Dunia

sunny varkey

Sunny Varkey, pengasas Yayasan Varkey

Sunny Varkey, usahawan pendidikan dari India yang berpusat di Dubai dan juga pengasas Yayasan Varkey berharap, kisah inspirasi seorang guru seperti Tabichi akan menggalakkan lebih ramai orang memilih profesi itu.

Ketika ditemuramah, Tabichi memberitahu bahawa orang muda Afrika selepas ini tidak lagi berasa terkekang oleh pandangan rendah dunia terhadap mereka. Dia juga menambah bahawa Afrika akan menghasilkan ramai saintis, jurutera dan usahawan yang terkenal di setiap penjuru dunia.

Hadiah yang diterima Tabichi itu akan dibayar dalam tempoh 10 tahun. Pemenang biasanya diukur dari segi amalan pengajaran yang boleh dinilai, inovatif, memberi kesan di luar kelas dan mampu membantu para pelajar bekerja dan bersosial di peringkat global.

Rujukan:

1. Guru dari Kenya menang hadiah bernilai USD 1 juta

2. Peter Tabichi dinobat Guru Terbaik Dunia 2019

3. Kisah inspirasi Guru Terbaik Dunia dari Kenya




Hakcipta iluminasi.com (2017)