Oleh pada 18 Jul 2017 kategori

hasan al akra

"Ambo suko make budu", seloroh Hasan.

Kami semua tergelak. Seorang pelarian dari Syria yang amat fasih berbahasa Melayu ini cuba untuk bercakap dalam loghat Kelantan. Amat kagum mendengar percakapannya dalam bahasa ibunda kita yang sangat lancar. Jika dilihat melalui penampilan dan perwatakannya, anda pasti tidak akan menjangkakan umurnya yang sangat muda, itu belum cakap mengenai pengalaman hidupnya lagi.

Selepas pertemuan dengan Hasan Al-Akra beberapa malam lepas, aku berasa ingin menulis mengenai beliau. Perjumpaan kami dengannya bertujuan meminta nasihat Hasan mengenai kolaborasi yang ingin dilakukan adikku bersama NGO untuk membuat kutipan dana bagi membantu pelarian Syria di Malaysia.

bertemu hasan

Cerita Hasan Al-Akra ini sememangnya sangat unik dan mampu memberikan impak kepada kita, lebih-lebih lagi kepada golongan muda remaja. Beliau berasal dari daerah yang sedang bergolak dengan perperangan, iaitu Allepo, Syria. Dengan usia 17 tahun, beliau sangat fasih berbahasa Melayu dan Inggeris berkat usaha gigihnya.

Walaupun masih berusia setahun jagung, pengalaman yang ada dalam dadanya setinggi gunung. Hasan tidak pernah bersekolah sehinggalah ketika berusia 17 tahun, baru beliau bersekolah dengan tajaan seorang hamba Allah. Baru menamatkan persekolahan dalam O'level, kini Hasan sedang mengikuti kursus Bahasa Inggeris dan kebudayaan di Universiti Antarabangsa Al-Bukhari, Alor Setar, Kedah dengan biasiswa penuh.

Kehidupan awal

hasan tersenyum

Ceritanya bermula apabila pada tahun 2012 ketika Hasan berusia 12 tahun di mana mereka 7 sekeluarga telah terbang ke negara bertuah Malaysia sebagai pelancong. Apa yang sebenarnya berlaku adalah mereka ingin berpindah ke sini untuk meneruskan kehidupan. Ketika itu, perang di Syria baru sahaja tercetus dan oleh kerana risau akan keselamatan diri mereka, mereka berbuat keputusan drasktik itu. 

Ketika Syria masih aman, Hasan dan keluarga telah menumpangkan sebuah keluarga Malaysia yang mana ketua keluarga tersebut sedang belajar di Syria dalam bidang syariah. Dengan kuasa Allah, jasa baik mereka terbalas apabila keluarga Malaysia ini telah menjemput keluarga Hasan untuk datang dan tinggal di Malaysia bersama mereka berikutan pergolakan perang di Syria semakin menjadi-jadi. Tidak berfikir panjang, mereka setuju.

keluarga hasan 694

Tiba di Malaysia

Sesampainya di Malaysia, mereka dijemput dan tinggal bersama di Gombak, Selangor. Di sini lah bermulanya kehidupan Hasan dan keluarganya sebagai pelarian di Malaysia. Walaupun mempunyai tempat tinggal, pelarian-pelarian tidak dibenarkan untuk bekerja, jadi ia amat sukar bagi mereka untuk meneruskan kehidupan.

Hasan yang berhati besar, dengan usia yang sangat mentah, 12 tahun, terpaksa berfikiran matang. Beliau cuba untuk membantu keluarganya dengan apa sahaja yang boleh dilakukan. Ketika mana rakan sebayanya ke sekolah dan bermain-main, Hasan sudah memikirkan bagaimana untuk mengisi perut yang lapar.

Mencari sesuap nasi

Setelah beberapa kali ditolak disebabkan masih bawah umur, Hasan yang merayu-rayu akhirya diterima bekerja. Beliau mula bekerja sebagai tukang basuh pinggan di sebuah kafe di UIA Gombak dengan bayaran RM20 untuk kerja selama 12 jam. Itulah realitinya. Namun, Hasan tidak pernah merungut dengan kerjanya malah bersyukur dan gembira dapat mengerah keringat tulang empat keratnya untuk membantu keluarga.

bekerja di kafe di uia

Dengan bayaran yang tidak seberapa itu, Hasan dapat membantu keluarganya sedikit sebanyak dalam kehidupan seharian. Terpancar kegembiraan di wajahnya ketika beliau menceritakan bagaimana wang sekecil itu dapat menggembirakannya ketika itu. Setahun selepas itu, beliau diberikan tugas lebih penting iaitu sebagai pembantu tukang masak. Pengalaman demi pengalaman dikutip remaja ini. Pada tahun 2015, beliau telah dilantik menjadi tukang masak merangkap juruwang.

Bukan wang sahaja yang diperoleh Hasan ketika bekerja di kafe itu, malah ia juga menjadi "sekolah" yang mengajar Hasan mengenai selok belok kehidupan di Malaysia, terutamanya Bahasa Melayu. Hasan memberitahu bahawa beliau menghafal 5 perkataan sehari bagi mengukuhkan pembelajaran bahasanya. Selain itu, beliau banyak mempelajari bahasa melalui rancangan televisyen dan drama-drama Melayu.

program amal

Dengan hanya mengambil masa 2 tahun, Hasan telah berjaya menguasai Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Penguasaannya yang amat mengagumkan telah menjadi titik tolak kepada penglibatan anak muda ini dalam kerja-kerja sukarelawan.

Kerja-kerja sukarelawan

ceramah 470

Berbekalkan penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggerisnya yang fasih, Hasan bertekad untuk membantu rakan sebangsanya dan mula mengorak langkah dengan memulakan kerja-kerja sukarelawannya pada tahun 2015.

Antara kerja-kerja sukarelawan yang dilakukan oleh Hasan:

  1. Pengurus projek untuk Rumah Anak Yatim Kasih Murni bersama NGO Teach For The Needs
  2. Guru Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab dan membantu mentadbir pusat di Global Arabic Centre
  3. Guru Bahasa Melayu dan Inggeris di Pusat Pembelajaran Jasmine Ash-Sham
  4. Pengurus program untuk pelarian di Malaysia di Love & Respect Transformation Centre (LRTC)
  5. Pelakon dan pembantu pengurus projek teater (UNHCR)

mengajar pelarian syria 91

Walaupun tidak berbayar, Hasan amat bersungguh-sungguh dalam mengajar mereka kerana beliau tahu apa yang sedang dialami dan dilalui oleh mereka. Menurut Hasan, mengajar adalah impiannya kerana beliau seronok membantu orang lain dan memberikan pelajaran kepada pelarian Syria lain merupakan salah satu caranya membantu dan melindungi bangsanya.

Tidak hanya mengajar pelarian, Hasan juga kerap mengadakan program-program amal serta telah banyak kali dijemput untuk memberikan ceramah dan perkongsian mengenai pelarian serta kehidupannya sebagai pelarian. 

kerja sukarela 682

Selain itu, beliau juga kerap berada di kaca-kaca televisyen yang dijemput untuk menceritakan pengalaman dan kerja kemanusiaan yang dilakukannya. Hasan juga telah menulis sebuah buku berkisahkan cerita hidupnya sebagai seorang pelarian yang bertajuk "Displaced & Forgotten".

Impian dan cita-cita masa hadapan

hasan 2 290

Apabila ditanya, Hasan memberitahu bahawa impiannya di masa hadapan adalah ingin membina kembali Syria apabila pergolakan negaranya tamat. Beliau mahu menubuhkan pertubuhan kecil dan program kemanusiaan untuk membantu gelandangan.

Bagi Hasan, generasi muda adalah yang paling perlu diberikan pendidikan dan diajarkan kemahiran kerana ia dapat membantu mereka di masa hadapan, serta membina kembali apa yang telah rosak. Apa yang menyedihkan adalah sepupu Hasan di Syria tidak bersekolah sebaliknya menjadi tentera perang.

"Saya memberitahu mereka supaya fikirkan masa depan kerana ia amat cerah, jadilah doktor atau jurutera, dan tinggalkan politik kepada orang lain,"

hasan al akraa

Hasan bercita-cita untuk menyambung pelajarannya di Universiti Antarabangsa Al-Bukhary kelak dalam bidang pendidikan atau pengurusan perniagaan.

Nasihat kepada golongan muda di Malaysia

Hasan yang sukakan makanan di Malaysia termasuklah durian dan budu, berharap anak-anak muda di Malaysia bersyukur dan sedar betapa beruntungnya lahir dan membesar di sebuah negara yang harmoni dan bebas daripada perang.

Jika diberi peluang, beliau ingin menetap di Alor Setar kerana telah jatuh cinta dengan suasana di situ.


tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)