Oleh pada 22 Jan 2019 kategori

clark gable pelakon kegemaran hitler

Pada zaman sekarang, penyanyi dan pelakon dari Korea Selatan sememangnya digilai ramai terutamanya para wanita. Mereka sanggup melakukan apa sahaja jika berpeluang untuk bertemu dengan idola mereka. Akan tetapi, perkara ini sebenarnya sudah pun berlaku sejak filem mula ditayangkan lagi. Berikut adalah kisah peminat yang begitu taksub dengan seorang pelakon bernama Clark Gable.

Raja Hollywood yang popular

Walaupun dia tidak pernah berminat untuk membintangi filem klasik Gone With the Wind yang terkenal, pelakon Clark Gable menjadi popular dan dikenali ramai kerana peranannya di dalam filem itu. Di dalam filem itu, dia memegang watak sebagai Rhett Butler.

Clark Gable ialah seorang yang berkarisma, mempunyai senyuman yang menawan dan berpewatakan maskulin yang menjadi buruan pembikin filem di Hollywood. Dia dikagumi oleh wanita dan juga lelaki malah telah digelar oleh Ed Sullivan sebagai "Raja Hollywood".

clark gable dan marilyn monroe

Gable dan Marilyn Monroe

Gable pernah muncul di layar perak bersama beberapa pelakon wanita yang paling popular pada masa itu seperti Ava Gardner, Marilyn Monroe, Joan Crawford, Greta Garbo dan Vivien Leigh. Ramai juga pelakon wanita yang mendakwa mempunyai hubungan romantik dengan Gable.

Secara peribadinya, Clark Gable adalah seorang yang sangat merendah diri. Ketika dia memenangi anugerah Oscar pada tahun 1934 untuk filem It Happened One Night, dia telah menyerahkan patung Oscar itu kepada seorang kanak-kanak yang mengatakan patung itu cantik.

Seperti yang dilaporkan oleh Classic Hollywood Central, Clark Gable berkata bahawa memenangi anugerah Oscar itu adalah lebih penting daripada memiliki patung Oscar itu sendiri.

Pelakon idola Adolf Hitler

hitler menonton filem

Adolf Hitler, pemimpin gerakan Nazi Jerman adalah seorang yang meminati filem-filem klasik. Ketika muda, Hitler sebenarnya berminat pada hasil seni dan lukisan tetapi bertahun-tahun kemudian dia menjadi taksub dengan filem.

Daripada semua bintang filem Hollywood yang popular, pelakon yang paling diminati Hitler adalah Clark Gable. Dia sering menonton filem lakonan Gable di pawagam peribadi miliknya.

Pada bulan Januari 1942, isteri ketiga Clark Gable iaitu Carole Lombard telah terbunuh dalam nahas pesawat DC-3. Lombard yang merupakan antara pelakon wanita dengan bayaran termahal di Hollywood ketika itu dalam perjalanan pulang dari lawatan jelajah kempen bon perang.

clark gable dan isterina carole lombard

Clark Gable dan isterinya Carole Lombard

Kematian Lombard kemudiannya telah diisytiharkan sebagai kematian rakyat Amerika Syarikat yang pertama berkaitan dengan Perang Dunia Kedua.

Selepas tragedi yang menimpa isterinya itu, emosi Gable sangat terganggu dan dia menjadi ketagih alkohol. Clark Gable percaya bahawa perkara terbaik yang perlu dilakukannya ketika itu ialah dengan melibatkan diri dalam perperangan itu sendiri.

Gable menyertai pasukan tentera

clark gable menyertai tentera

Gable kemudian menghantar sepucuk telegram kepada Presiden Franklin D. Roosevelt meminta supaya dirinya disenaraikan dalam pasukan tentera. Hasil daripada permintaannya itu, Gable akhirnya menjadi salah seorang penembak untuk Tentera Udara Amerika Syarikat pada 12 Ogos 1942.

Tidak lama selepas dipilih, Gable telah dihantar ke Pantai Miami di Florida di mana dia telah menyertai Kelas USAAF OCS 42-E pada 17 Ogos 1942. Dia berjaya menamatkan latihan pada 28 Oktober 1942 dan dianugerahkan gelaran Leftenan Kedua.

Clark Gable juga mengajak beberapa orang rakannya  dalam bidang perfileman untuk menyertai pasukan tentera bersamanya. Antaranya ialah sutradara Andrew McIntyre, penulis skrip John Lee Mahin, operator kamera Mario Toti dan Robert Boles serta perakam suara Howard Voss untuk menyertai pasukannya.

combat america

Pada waktu itu, Angkatan Tentera Amerika Syarikat memerlukan sebuah filem propaganda bagi membantu mereka merekrut ahli tentera khususnya pasukan penembak. Clark Gable kemudian telah dihantar ke Britain untuk membintangi filem propaganda iaitu Combat America.

Selepas selesai melakukan penggambaran, Gable kekal di Britain dan mengambil bahagian dalam misi pertempuran udara ke atas Jerman. Mengetahui hal ini, Hitler telah mengarahkan agar Gable dibawa ke Jerman tanpa dicederakan. Walaupun perkara ini kedengaran lucu tetapi Hitler serius untuk mendapatkan Gable.

Ganjaran besar penangkapan Gable

hitler 522

Hitler menjadi kecewa apabila tiada seorang pun tentera Jerman yang berjaya menangkap Gable. Dia kemudian telah mengarahkan Hermann Goering untuk menawarkan hadiah sebanyak $ 5,000 kepada sesiapa sahaja yang dapat membawa Clark Gable kepadanya. 

Raja Hollywood kemudian mengetahui tentang tawaran yang dibuat Hitler untuk menangkapnya. Dia menjadi tertekan dan takut sekiranya Tentera Jerman berjaya menangkapnya. Gable menyangka mereka mungkin akan mengurungnya di dalam sangkar dan dia akan dibawa ke seluruh Jerman seperti seekor haiwan.

Walau bagaimanapun, Clark Gable tidak pernah ditangkap dan akhirnya berjaya mendapat kenaikan pangkat daripada Leftenan Kedua kepada Mejar. Untuk khidmatnya, Gable telah dianugerahkan Pingat Kempen Amerika, Pingat Kempen Timur Tengah-Afrika-Eropah, Medal Kemenangan Perang Dunia Kedua dan Pingat Salib Penerbangan Cemerlang. 

mejar clark gable

Pada 12hb Jun 1944, Clark Gable telah dilepaskan daripada tugas perangnya dan telah kembali semula ke Amerika Syarikat di mana dia meneruskan kariernya sebagai Raja Hollywood.

Ia merupakan kejayaan bagi Gable kerana tidak pernah ditangkap oleh tentera Jerman. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan dilakukan oleh Hitler yang obses terhadap pelakon idolanya itu.

Pada 6 November 1960, Clark Gable telah dihantar ke Pusat Perubatan Presbyterian Hollywood di Los Angelas kerana mengalami serangan jantung. Pada pagi 16 November, doktor mengatakan bahawa keadaannya semakin baik tetapi dia meninggal dunia pada sebelah petangnya akibat saluran darah tersumbat. Gable berumur 59 tahun ketika itu.

Rujukan:

1. The Times

2. The Vintage News

3. Warner Archive



Hakcipta iluminasi.com (2017)