Ketika Imelda Marcos masih kecil, dia sangat kelihatan seperti Cinderella. Gadis Filipina yang berasal dari keluarga biasa ini sentiasa mempunyai penampilan dan kulit yang cerah.
Apabila berumur 18 tahun, Imelda dengan mudah memenangi pertandingan ratu cantik di Filipina.
Bakal presiden Filipina, Ferdinand Emmanuel Marcos menyedari kewujudan Imelda sepertimana dalam cerita dongeng apabila seorang putera raja jatuh cinta dengan gadis biasa.
BESARKAN TEKS A- A+
Bezanya adalah kisah mereka tidak berakhir dengan kesudahan yang gembira, sebaliknya bertukar menjadi kisah seorang wanita yang digelar sebagai "rama-rama besi, menjadi salah satu contoh terbaik tentang penyalahgunaan kuasa dalam sejarah.
Ratu Cantik Filipina
Imelda Trinidad Romualdez Marcos dilahirkan pada 2 Julai 1929, ibunya merupakan anak yatim ketika masih kecil dan bapanya merupakan seorang peguam.
Dia meminati muzik dan panggung wayang sejak kecil lagi. Oleh itu, selepas Imelda mendapat pendidikan, dia memutuskan untuk menjana wang dengan menyanyi dan mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik.
Nasib menyebelahi Imelda dalam pertandingan ratu cantik di mana dia memenangi gelaran ratu cantik di kampung halamannya.
Imelda kemudiannya ditabalkan sebagai Miss Manila dan dipilih menjadi model utama negara apabila dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Filipina.
Wajah Imelda muncul di muka hadapan majalah dan membuatkan hampir semua lelaki di negara itu jatuh cinta.
Dan antara salah seorang lelaki yang terkesima dengan kecantikan ratu cantik Filipina adalah seorang ahli kongres muda yang bernama Ferdinand Emmanuel Edralin Marcos.
(Ferdinand dan Imelda Marcos ketika majlis perkahwinan mereka pada tahun 1954)
Sangat tertawan dengan kecantikan Imelda membuatkan Ferdinand melamarnya hanya selepas 11 hari mereka bertemu.
Perkahwinan mereka yang diadakan besar-besaran kelihatan sangat gembira. Selepas berkahwin, Imelda kurang menghabiskan masa untuk menyanyi dan bekerja dalam industri model.
Dia memutuskan untuk mendedikasikan keseluruhan waktunya untuk membantu kerjaya politik suaminya.
Imelda hadir ke mesyuarat bersama Ferdinand dan berkomunikasi dengan sesiapa sahaja yang boleh membantunya.
Semangat dan usaha pasangan itu hasilnya berbuah dan pada tahun 1965, Ferdinand Marcos diangkat menjadi presiden Filipina.
(Imelda Marcos ketika dalam satu pertemuan dengan Mao Zedong)
Imelda bukanlah seorang First Lady yang hanya muncul dalam gambar-gambar rasmi sahaja.
Dia memainkan peranan penting bagi Filipina di mana Imelda pergi ke seluruh dunia dalam misi diplomatik dan memegang beberapa jawatan kerajaan.
Hal ini dilakukan dengan memiliki bakat untuk membuatkan orang terpesona. Imelda mempunyai hubungan yang mesra dengan pemimpin-pemimpin besar dunia termasuklah Ronald Reagan (Presiden AS), Mao Zedong (Pengerusi Republik Rakyat China), Leonid Brezhnev (Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Kesatuan Soviet), Kim Il-Sung (Premier Korea Utara) serta Saddam Hussain.
Kehebatan berhujah Imelda juga membuatkan Muammar el-Qaddafi bersetuju untuk membantu perjanjian damai antara Filipina dan pemisah Islam.
Daya tarikan dan bakat diplomatik Imelda menjadikan negaranya salah satu negara paling terkemuka pada ketika itu.
Selain itu, sebagai First Lady, dia terilibat dalam hal-hal kebudayaan dan penjagaan kesihatan serta memulakan banyak program sosial.
Imelda membantu membina banyak kemudahan yang menarik dan penting termasuklah pusat jantung, institut nefrologi, pusat kongres, Istana Kelapa dan banyak lagi.
Mula sedar akan kekuasaan mereka
Malangnya, pasangan suami isteri ini menyedari akan kesemua kelebihan kuasa yang mereka miliki dan memutuskan untuk menggunakan kedudukan mereka demi kepentingan sendiri.
Pada tahun 1972, Ferdinand Marcos menyingkirkan Perlembagaan negara dan menubuhkan sistem diktator. Bersama isterinya, Ferdinand mendapat akses kepada belanjawan kerajaan.
Imelda tidak dapat mengawal dirinya dan kemudiannya berubah menjadi seorang yang tersangat boros dalam berbelanja. Ia kelihatan seperti dia membeli semua yang diimpikannya ketika masih kecil.
(Pasangan Marcos bersama 3 anak mereka Imee, Ferdinand Jr dan Irene pada tahun 1965)
Imelda memilih untuk membeli barang-barang berjenama dan mewah serta mengarahkan agar beratus-ratus potret wajahnya dilukis.
Salah satu lukisan yang paling mahal adalah "The Birth of Venus" oleh Sandro Botticelli, dengan Imelda dijadikan sebagai watak utama.
Namun perkara yang paling digemari oleh First Lady Filipina ini sudah tentunya kasut yang mana disimpan di dalam beberapa bilik khas.
Dia pernah menjelaskan tentang perkara ini dengan berkata, "Saya tak pernah beli 3,000 pasang kasut. Saya hanya ada 1,060 pasang kasut,".
Imelda cuba untuk melupakan zaman kanak-kanaknya yang miskin malah mengharamkan sebuah buku yang ditulis oleh seorang wartawan Filipina.
Wartawan tersebut mahu menceritakan kisah Imelda ketika muda sebagai seorang yang miskin seperti mana rakyat Filipina yang lain pada ketika itu.
Carmen Pedrosa, penulis "The Rise and Fall of Imelda Marcos", menulis:
"Dia (Imelda) tidak mahu orang tahu asal-usulnya. Dia hasilkan imej yang tersangat berbeza. Dia pakai pakaian sangat menakjubkan apabila pergi ke tempat di mana penduduk tempatan sendiri tidak mempunyai tandas. Dia menjalani kehidupan yang sangat mewah di sebuah negara miskin,".
Terdapat beberapa kisah legenda tentang barang-barang yang dibeli oleh Imelda.
Terdapat dokumen kastam yang membuktikan bahawa dalam salah satu lawatannya ke New York, Imelda membelanjakan RM12 juta dalam masa sehari sahaja.
Dia juga membeli lukisan oleh Michaelangelo dengan harga RM14 juta.
Pernah sekali dia mengarahkan pesawat yang sedang terbang dari Rom untuk patah balik kerana hanya terlupa untuk membeli keju, dan tisu tandas yang digunakannya diperbuat daripada tangan menggunakan kain sutera yang paling nipis.
Imelda tidak suka mendengar perkatan "tidak" dan wang daripada belanjawan kerajaan digunakan sesuka hatinya.
Dia digelarkan sebagai "Iron Butterfly" atau "Rama-rama Logam", kerana sifatnya yang autoritarian dan gemarkan kemewahan.
Di akhir pemerintahan dan kembali ke politik
Kehidupan yang tersangat kaya dan mewah dinikmati pasangan suami isteri kelihatan lebih "mengagumkan" apabila anda melihatkan betapa miskinnya Filipina.
Orang-orang yang hidup sangat miskin mula menyedari bahawa semua perkara baik yang dilakukan oleh presiden dan isterinya terhadap Filipina langsung tidak sepadan dengan bagaimana mereka mementingkan diri sendiri dan betapa teruknya mereka menyalahgunakan kuasa.
Akhirnya pada tahun 1986, rejim Ferdinand Marcos telah digulingkan dan dibuang dari negara serta didakwa.
Bekas presiden dan isterinya dituduh menyalahgunakan kuasa dan menyebabkan kemusnahan terhadap bajet negara sebanyak RM360 bilion.
Imelda hanya dibenarkan pulang ke Filipina pada tahun 1991 selepas Ferdinand meninggal dunia. Dia kemudiannya membuka sebuah muzium kasut.
Hampir sejurus selepas itu, Imelda memutuskan untuk kembali ke dunia politik, tetapi tidak memegang apa-apa jawatan serius sehingga tahun 2010.
Dia dilantik menjadi ahli Dewan Perwakilan Filipina ketika berusia 80 tahun dan dia masih terus bekerja, sehingga sekarang.
Ada yang meramalkan bahawa kisah kehidupan Imelda Marcos ini akan difilemkan suatu hari nanti.
Kehidupannya adalah bukti sebenar tentang apa yang boleh terjadi kepada kisah dongeng apabila ia berhadapan dengan realiti yang menyakitkan.
Kisah Imelda Marcos mengingatkan kita kembali kepada satu perkara penting iaitu kuasa yang besar adalah tanggungjawab besar terhadap diri sendiri dan terhadap orang-orang yang memberikan kuasa kepada anda.
Rujukan:
1. The Cut
2. People
3. Bright