Oleh pada 03 Jan 2020 kategori

Pada tahun 1991, seorang lelaki bernama Isaac Wright Jr. telah dituduh sebagai dalang utama sindiket pengedaran dadah di kawasan New York dan New Jersey, Amerika Syarikat. Seterusnya, dia disabitkan di bawah undang-undang pengedar dadah New Jersey dan dipenjarakan seumur hidup.

isaac wright jr 153

Semasa menjalani hukuman di penjara kawalan maksimum, Wright berusaha untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. Dalam tempoh tujuh tahun lamanya, dia belajar sendiri tentang undang-undang dan merangka pembelaan dirinya sendiri.

Setelah mewakili dirinya sendiri dalam perbicaraan, Isaac Wright Jr. berjaya menggugurkan tuduhan sebagai raja dadah dan hukuman penjara seumur hidup.

Walaupun berjaya, Wright masih lagi menghadapi hukuman penjara selama sedekad kerana satu lagi tuduhan dadah lain. Untuk bebas sepenuhnya, dia tahu bahawa dia terpaksa mendedahkan individu-individu yang memfitnahnya.

Melalui beberapa gerakan undang-undang, Wright akhirnya menemui cara untuk mendedahkan pihak polis yang korup dan penyelewengan kes-kes mahmakah yang telah dikenakan ke atasnya.

Membela diri sendiri dan mendedahkan penyelewengan

nicholas bissell

Nicholas Bissell meninggalkan mahkamah selepas perbicaraannya

Semasa dalam satu perbicaraan mahmakah pada 1996, Wright yang membela dirinya sendiri telah menyiasat seorang pegawai polis yang terlibat dengan kesnya. Akhirnya, Detektif dari Somerset County iaitu James Dugan mengaku atas salah laku ketika mengendalikan kes Wright.

Dugan mengaku bahawa dia memfitnah dan melakukan perjanjian rahsia dengan peguam supaya Wright disabitkan bersalah. Dugan juga mendedahkan bahawa pendakwa raya Somerset County iaitu Nicholas L. Bissell Jr. adalah dalang di sebalik korupsi ini.

Bissell telah mengarahkan pihak polis supaya menyediakan laporan dan bukti palsu supaya Wright didapati bersalah. Bissell juga mengarahkan para saksi mengemukakan testimoni palsu dan membuat perjanjian dengan peguam bela pengedar lain supaya menuduh Isaac Wright Jr. sebagai ketua mereka.

Akibat pendedahan itu, Bissell telah diadili di mahkamah dan didapati bersalah atas 30 tuduhan termasuk menghalang keadilan, sumpah palsu dan penyalahgunaan kuasa. Dia telah dikenakan tahanan rumah sementara menunggu dijatuhkan hukuman.

Dua hari sebelum dijatuhkan hukuman, Bissell telah memotong pemantau di pergelangan kakinya dan melarikan diri. Pihak berkuasa telah diberi arahan untuk memburu Bissell.

Akhirnya, pihak berkuasa mempunyai maklumat bahawa Bissell menyewa sebuah bilik hotel di Nevada, Las Vegas. Ketika pegawai polis cuba untuk memecahkan pintu, Nicholas Bissell telah membunuh diri.

Kejayaan penuh halangan

wright mengangkat sumpah sebagai seorang pengamal undang undang

Berikutan kes salah laku yang mendapat liputan meluas ini, Isaac Wright Jr. telah sepenuhnya dibebaskan dari semua tuduhan dan hukuman penjara ke atasnya.

Setelah bebas, Wright terus mempelajari undang-undang New Jersey. Dia menerima ijazah sarjana muda pada tahun 2002 dan lulus dari Sekolah Perundangan Universiti Saint Thomas pada 2007. Setahun kemudian, dia lulus peperiksaan undang-undang New Jersey.

Walau bagaimanapun, sistem undang-undang New Jersey seolah-olah cuba melakukan segala-galanya untuk menghalang Wright daripada mengamalkan kerjaya perundangannya.

Selama sembilan tahun berikutnya, Isaac Wright Jr. melalui penyiasatan yang berterusan daripada jawatankuasa undang-undang New Jersey mengenai perwatakan dan tahap kecergasannya untuk menjadi pengamal perundangan. 

Selama satu dekad, hampir setiap aspek kehidupan Wright tertakluk kepada penyiasataan yang dijalankan kerajaan negeri. Akhirnya, ia memerlukan campur tangan dari mahkamah tertinggi negeri untuk menamatkan penangguhan perlantikan Wright.

Akhirnya, dia secara rasminya telah diterima dalam profesion undang-undang oleh Mahkamah Agung New Jersey pada tahun 2017.

Isaac Wright Jr. hari ini

isaac wright jr difitnah tokan dadah melawan korupsi

Wright bersama 50 Cent

Pada hari ini, Wright adalah seorang peguam yang bekerja di firma Hunt, Hamlin & Ridley di Newark, New Jersey. Dalam dunia perundangan di New Jersey, Wright terkenal sebagai seorang "pembunuh gergasi".

Menurut Wright, dia pergi ke sekolah undang-undang hanya atas satu sebab sahaja iaitu untuk menjatuhkan "gergasi" atau nama besar yang sering bersembunyi di sebalik undang-undang dengan harga yang betul.

Jika sesuatu kes itu melibatkan "gergasi" yang cukup besar dan berkaitan perkara yang begitu penting, dia akan melakukannya secara percuma sahaja. Tambahan pula, jika kes itu melibatkan orang yang tidak mampu membantu diri mereka sendiri.

Wright yang telah membantu puluhan banduan dan pesalah lain berjaya menarik perhatian seorang rapper dan usahawan, 50 Cent, atau nama sebenarnya Curtis James Jackson III untuk menerbitkan satu rancangan tentang perjuangan yang dilaluinya bagi menegakkan keadilan dan melawan penindasan sistematik.

rancangan tv yang diinspirasi dari kisah isaac wright jr

Rancangan TV berjudul For Life yang diinspirasikan dari kisah Wright

50 Cent mahu dunia tahu bagaimana sukarnya kehidupan yang terpaksa dilalui Isaac Wright Jr. untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. Sebenarnya banyak lagi lelaki dan wanita di Amerika yang disabitkan dengan kesalahan palsu kini berada di penjara.

Mungkin lebih ramai pembela seperti Isaac Wright Jr. akan tampil untuk melawan kes-kes salah laku polis dan korupsi pemerintahan akan memperjuang untuk menegakkan keadilan dan menjatuhkan lebih banyak "gergasi".

Rujukan:

1. Bagaimana banduan yang difitnah berakhir menjadi peguam bela berjaya

2. Banduan yang menentang polis dan peguam korup

3. Peguam yang digelar sebagai "pembunuh gergasi" Amerika



Hakcipta iluminasi.com (2017)