Oleh pada 18 Dec 2019 kategori

Pada 19 April 1600, sebuah kapal telah hanyut ke perairan berhampiran pulau Kyushu di selatan Jepun. Anak-anak kapal itu berada jauh dari tanah air mereka dan mengalami pelbagai penderitaan sepanjang pelayaran mereka.

william adams 956

Kapal yang hanyut itu adalah salah satu kapal daripada armada yang berlepas dari Belanda dua tahun sebelum itu. Ia hanyut setelah dipukul ombak dan terselamat daripada serangan musuh. Hanya 24 anak kapal yang masih hidup ketika ia tiba di jepun dan hanya sembilan orang sahaja yang mampu berdiri kerana selebihnya dijangkiti wabak.

Orang Inggeris pertama sampai di Jepun

Salah seorang anak kapal yang bernasib baik adalah pelaut dari Kent, England, bernama William Adams. Dia merupakan orang Inggeris pertama yang berjaya sampai ke Jepun. 

Orang Eropah mula datang ke Jepun pada pertengahan abad ke-16 apabila pedagang Portugis mendarat di pelabuhan negara itu. Pada mulanya, pemerintah Jepun gembira dengan kedatangan Portugis yang membawa komoditi berharga seperti gula dan senjata api.

william adams menghadap shogun

Apabila Tokugawa Ieyasu berkuasa pada tahun 1600 sebagai ketua shogun pertama dari dinasti Tokugawa, dia melihat pelbagai anasir buruk telah masuk ke negara itu. Orang Portugis memperdagangkan ramai hamba dari Jepun dan menyebarkan agama Kristian Katolik secara meluas. Ieyasu melihat perkara ini sebagai ancaman kepada kekuasaannya.

Setelah mendengar sebuah kapal Eropah yang bukan dari Portugal mendarat, Ieyasu mengarahkan semua anak kapal datang menghadapnya. Ieyasu kemudian kagum dengan William Adams yang mempunyai pengetahuan luas tentang pembinaan kapal dan matematik.

Para mubaligh Portugis menjadi kurang senang dengan ketibaan orang Inggeris berfahaman Kristian Protestan di Jepun yang boleh mengancam pengaruh mereka. Orang Portugis menuntut agar Ieyasu menghukum Adams dengan menuduh lelaki Inggeris itu adalah seorang lanun.

Samurai Inggeris pertama

patung william adams

Sebaliknya, Ieyasu yang ingin mengurangkan pengaruh Portugis telah melantik William Adams sebagai penasihat rasminya. Selama beberapa tahun lamanya, Adams telah membantu Ieyasu memodenkan armadanya dengan membina kapal gaya Barat. Adams dikurniakan kekayaan dan dilantik menjadi Samurai.

Samurai adalah pahlawan di Jepun yang sama tarafnya dengan kesatria di Eropah. Mereka akan memberikan kesetiaan kepada Shogun dan berjuang untuknya dalam peperangan sebagai bayaran kepada perlindungan dan pangkat.

Pada kurun ke-17, Samurai juga terlibat menjadi birokrat yang mengendalikan pengurusan hal-hal negara. Sebagai seorang samurai Inggeris pertama, itulah peranan yang banyak dipegang oleh Adams.

Ini kerana dia tidak mempunyai kebolehan seperti kebanyakan Samurai di Jepun yang menjalani latihan selama bertahun-tahun untuk menguasai kemahiran seperti memanah, berkuda atau bermain senjata.

Sebaliknya, Adams sangat cemerlang dalam peranannya sebagai penasihat kepada shogun mengenai perdagangan, armada (angkatan tentera laut) dan apa sahaja yang melibatkan orang-orang Eropah. Walaupun rakan-rakan sekapal Adams telah kembali belayar ke negara asal mereka, Ieyasu menuntut agar Adams terus tinggal di Jepun.

lukisan william adams bersama shogun

Dia juga telah berkahwin dengan anak perempuan kepada salah seorang pegawai istana dan mempunyai dua orang anak bernama Joseph dan Susanna. Adams yang juga dikenali sebagai Miura Anjin di Jepun berasa sangat selesa dan menikmati status yang lebih baik berbanding ketika berada di England.

Adams juga menghabiskan beberapa tahun menganjurkan ekspedisi perdagangan ke negara-negara lain dan menggalakkan orang-orang Inggeris untuk mengukuhkan hubungan dengan Jepun.

Kejatuhan Samurai Inggeris

Sementara itu, orang-orang Portugis tidak pernah melupakan kemarahan mereka pada William Adams. Dia juga telah menasihati Ieyasu bahawa para mubaligh Portugis cuba menggulingkan shogun itu sehingga membawa kepada pengharaman Kristian berfahaman Katolik di Jepun.

Selepas kematian Tokugawa Ieyasu pada tahun 1616, Jepun menjadi semakin tertutup kepada dunia luar. Penggantinya iaitu Tokugawa Hidetada juga melihat pengaruh dan agama pedagang asing membawa kemudaratan kepada negara. Ketika itu juga, pengaruh Adams di istana juga semakin lemah.

lelaki inggeris mat saleh pertama dilantik samurai

Pada tahun 1620, William Adams telah meninggal dunia pada usia 55 tahun akibat sakit. Dalam wasiatnya, dia telah membahagikan harta-hartanya kepada keluarganya di Jepun dan juga keluarga yang ditinggalkannya di England. Tidak lama selepas itu, Jepun secara rasminya menutup negara mereka daripada perdagangan luar dan bermulalah tempoh pengasingan yang berlangsung selama hampir 200 tahun.

Sumbangan William Adams masih diingati di Jepun. Banyak patung-patungnya telah dibina di Jepun sebagai kenangan kepada salah seorang Samurai Eropah yang banyak menyumbangkan jasa. 

Selain patung peringatan, William Adams juga disematkan sebagai watak utama dalam permainan video Nioh dan beberapa buah filem serta rancangan televisyen.

Sumber:

1. Lelaki Inggeris pertama menjejakkan kaki di Jepun

2. Samurai Inggeris pertama di Jepun

3. Kisah William Adams aka Miura Anjin



Hakcipta iluminasi.com (2017)