Kredit foto: Instagram Kilafairy
Usaha untuk memperkenalkan nama Kilafairy ke persada antarabangsa semakin menjadi nyata apabila beliau merakamkan lagu duet, Put The Word In bersama penyanyi Hollywood terkemuka, Sean Kingston.
Menurut Kilafairy, dia bukan sahaja meletakkan keyakinan terhadap melodi dan lirik lagu itu, malah percaya akan strategi yang diaturkan syarikat pengurusannya, Paranormal untuk pemasaran lagu tersebut.
"Saya masih bayi dalam industri nyanyian dan kolaborasi ini merupakan perkara yang terbesar yang pernah berlaku dalam hidup saya.
"Ya, memang harapan saya untuk terbang lebih tinggi ke peringkat antarabangsa," katanya memetik portal Astro Gempak.
Selebihnya, penyanyi ini akui sudah memberikan komitmen terbaik dalam menjayakan video muzik lagu tersebut.
"Saya sudah pun melakukan sehabis baik dan seikhlas hati malah stail tarian yang lain daripada lain pun akan dipertontonkan dalam muzik video ini.
"Selebihnya saya serahkan kepada pengurusan saya untuk mengatur strategi untuk mempromosikan lagu ini," katanya.
Beliau membuat kenyataan tersebut di majlis pelancaran single Put The Word In yang berlangsung di Pavilion Elite, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Lagu bergenre funky pop itu merupakan kolaborasi antara beliau, DJ Aku Ash dan Sean Kingston.
Antara penyanyi tempatan yang pernah menjalinkan kerjasama dengan penyanyi antarabangsa menerusi lagu duet, adalah seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff dan Jaclyn Victor.
Sumber berita: Astro Gempak