Kredit foto: Instagram Fazura

Penyanyi Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura melangkah setapak ke hadapan dalam usaha memperkenalkan namanya di peringkat antarabangsa menerusi penghasilan album perdana berjudul Fazura - yang bakal menerjah pasaran mulai 3 November ini.

Menurut Fazura atau lebih mesra disapa Faz, salah satu strategi yang digunakan demi mencapai sasaran itu termasuklah penghasilan lagu berbahasa Inggeris, Only God Knows ciptaan Megat Fazly dan senikata oleh Shanel Shanty.

"Lagu ini dirakamkan dalam dua versi, iaitu dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Bagi versi Melayu, ia menggunakan judul Hanya Tuhan Yang Tahu dengan liriknya ditulis oleh Shah Shamshiri.

"Jujurnya, lagu ini bersifat peribadi buat saya. Kalau sesiapa dengar pun, pasti dapat rasai perasaan itu," katanya memetik laporan portal BH Online.

Tambah penyanyi berusia 34 tahun ini, lagu itu juga akan mendapat publisiti meluas melalui rangka promosi di peringkat antarabangsa.

"Saya dimaklumkan, lagu terbabit juga akan dipromosikan secara global dan syarikat rakaman percaya, ia mampu memperkenalkan nama saya pada peringkat antarabangsa, insya-Allah," ujarnya.

Dalam pada itu, dedahnya, lagu Hanya Tuhan Yang Tahu turut mendapat perhatian sutradara Bernard Chauly.

Selesai mendengar buat pertama kali, pengarah tersebut sudah menyatakan niat menjadikannya sebagai lagu tema filem terkini Fazura berjudul Lahzeye Bi Payan, yang juga di bawah arahan beliau.

"Kali pertama Bernard mendengar lagu itu, dia terus menangis. Dia turut menunjukkan minat untuk memuatkan lagu versi Melayu berkenaan dalam filem arahannya itu," beritahunya.

Memakan masa setahun pembikinan, album ini keseluruhannya menampilkan sembilan buah lagu, antaranya Bangun, Bisa Apa, Cinderella, Cinta Langka, Hanya Tuhan Yang Tahu, Only God Knows termasuk single pertamanya, Sayangi Dirimu (rakaman semula dalam versi akustika).

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)