Oleh pada 18 Aug 2018 kategori

Kita semua sudah tahu gerakan LGBT dan apa yang sedang mereka perjuangkan. Kita juga tahu tentang gerakan radikal mahu menyisihkan agama daripada kehidupan orang ramai agar lebih ramai 'freethinker' dilahirkan. Kita juga pasti pernah mendengar tentang kisah orang yang mahu hidup di luar norma kehidupan, seperti merasakan tidak ada keperluan untuk berkahwin dan mempunyai anak kerana lebih mementingkan kesenangan dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi kami yakin anda pasti akan terkejut dengan trend baru masyarakat barat yang baru saja meletup bulan lalu iaitu 'theybies.' Apa itu 'theybies'? Gelengkanlah kepala anda dulu sebelum meneruskan pembacaan kerana itulah yang kami lakukan sepanjang menelaah tentang theybies ini.

Apa itu theybies?

baby storm lahir lelaki kini anak perempuan

'Theybies' adalah nama panggilan baru yang digunakan ramai ibu bapa di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain untuk menggantikan perkataan 'babies.'

Kenapa ibu bapa di sana enggan memanggil anak-anak mereka dengan perkataan 'babies' lagi? Ini kerana mereka mahu membesarkan anak-anak mereka tanpa ada kekangan jantina dan membiarkan anak-anak mereka sendiri memutuskan jantina apa yang sesuai dengan mereka.

Dari segi bahasanya, pengamal trend baru ini mahu ibu bapa meninggalkan rujukan kepada anak-anak yang menunjukkan jantina, seperti he,she,her atau him dan menggantikannya dengan panggilan 'they.'

Sebagai contoh - sekiranya seorang pengamal 'theybies' mahu bercerita tentang anaknya kepada rakan, daripada berkata "she/he likes to eat" mereka akan berkata "they likes to eat" tanpa meletakkan jantina pada anak mereka dari segi bahasa, tak kiralah sama ada anak mereka mempunyai alat kelamin lelaki atau wanita.

Itu adalah penerangan ringkas berkenaan istilah yang mereka amalkan. Sekarang kita tengok pula apa perubahan yang ibu bapa 'theybies' perkenalkan pada anak-anak mereka.

Cubaan membesarkan anak-anak tanpa jantina sejak kecil

biar anak tentukan jantina sendiri

Beberapa penyokong gerakan 'theybies' percaya ibu bapa tidak sepatutnya mengawal tingkah laku anak mereka sejak kecil, berdasarkan jantina kelahiran anak mereka. Ibu bapa 'theybies' percaya anak-anak patut diberikan kebebasan memilih sendiri jantina mereka pada umur tertentu dengan umur empat tahun dikatakan waktu terbaik untuk anak memilih jantina mereka.

Setiap anak 'theybies' dibenarkan hidup tanpa perlu mengikut stereotaip jantina dalam semua aspek, termasuklah pakaian, pemakanan, pertuturan, tingkah laku dan juga kemahiran sosial.

Jadi anak-anak 'theybies' dibenarkan bermain permainan anak patung walaupun mereka lelaki dan anak perempuan dibenarkan bermain permainan pistol dalam membentuk pemikiran kendiri anak itu, tanpa perlu ibu bapa campur tangan.

Pakaian anak-anak juga dibiarkan pada anak untuk membuat keputusan dengan si anak lelaki bebas untuk memakai pakaian seperti skirt dan baju gaun, begitu juga dengan anak perempuan.

Mereka percaya lama-kelamaan anak-anak akan mempunyai kecenderungan sendiri dan akan kekal dengan satu jenis jantina saja serta terus dibiarkan membesar mengikut jantina pilihan mereka sendiri.

Ibu bapa pengamal 'theybies' percaya anak akan membuat keputusan yang sepatutnya bergantung kepada perasaan, pemikiran dan logik sendiri dengan ibu bapa tidak mempunyai hak untuk menghalang atau menukar pilihan anak.

Pengaruh gerakan liberal antarabangsa

keluarga yang keliru

'Theybies' mula popular di kalangan orang awam selepas satu laporan dalam saluran berita FOX mendedahkan ideologi baru keibu-bapaan ini. Menurut aktivis 'theybies', Cathy Areu seorang penerbit dan aktivis berpegangan liberal tidak salah ibu bapa mahu melindungi atau merahsiakan jantina daripada pengetahuan anak-anak mereka.

Salah satu kisah 'theybies' paling awal didedahkan melibatkan seorang bayi bernama Storm, anak kepada pasangan Kathy Witterick dan David Stocker yang dilahirkan pada 2011 tanpa diisytiharkan jantinanya oleh kedua ibu bapanya. Keduanya memilih mahu membesarkan bayi mereka tanpa ada definisi seksualiti dan membiarkan Storm memilih sendiri jantinanya. Setelah terbongkar barulah disedari mereka turut sama menggunakan kaedah sama pada dua orang anaknya sebelum itu.

Kini sudah berumur 7 tahun pada tahun 2018, Storm membesar sebagai seorang budak perempuan serta membahasakan dirinya perempuan - walaupun realiti sebenarnya beliau adalah seorang kanak-kanak lelaki. Bagi keluarganya, konsep jantina yang mereka amalkan jauh berbeza serta sukar diterima berbanding amalan biasa, yang pasti tidak dapat diterima semua pihak.

Spektrum jantina yang boleh disesuaikan dengan kemahuan

storm kini lapan tahun seorang transgendet

Latar belakang David sebagai penyokong gerakan LGBT PRIDE dan Kathy yang bertugas sebagai pendidik serta aktivis sokongan transgender memberikan pengaruh besar kepada mereka dalam konsep membesarkan anak mereka.

Ketiga-tiga anak mereka, Jazz, Kio termasuklah Storm dibesarkan tanpa jantina dan dibenarkan untuk memilih jantina sendiri. Jazz, seorang budak lelaki memilih untuk menjadi wanita transgender dengan Kio memilih untuk tidak mempunyai jantina tetap.

David dan Kathy berpegang teguh yang jantina bukanlah satu perkara yang tetap, tetapi sebenarnya jatuh kepada satu spektrum merangkumi pelbagai jenis jantina seperti lelaki, perempuan, transgender, tidak tetap dan boleh berubah-ubah.

Bagi ibu bapa 'theybies,' sekiranya ditanya tentang anak-anak mereka apa jantinanya, jawapan mereka mudah - mereka kanak-kanak. Selagi anak-anak mereka tidak memilih jantina sendiri, ibu bapa theybies tidak akan menetapkan jantina pada anak-anak mereka.

Sekiranya anak mereka sudah memilih jantina dan kemudian memilih untuk berubah fikiran kemudian hari, itu juga tidak menjadi masalah. Semua keputusan itu terpulang kepada kemahuan anak itu sendiri.

Sakit leher kami menggelengkan kepala sepanjang menulis artikel ini dan membaca rujukan yang diperlukan. Harapan kami agar anasir seperti ini tidaklah diikuti ibu bapa di sini kerana jelas, tindakan ini sebenarnya merosakkan anak-anak itu sendiri. Sebagai ibu bapa, kita yang sepatutnya mencorakkan anak bukan anak mencorakkan diri sendiri sejak mula.

Rujukan




Hakcipta iluminasi.com (2017)