Oleh pada 30 Jan 2019 kategori

Sebagai manusia, kebanyakan daripada kita pasti mengingati peristiwa-peristiwa penting dalam hidup seperti sambutan hari jadi, sambutan ulang tahun, hari graduasi dan peristiwa-peristiwa penting yang lain. Namun, adakah terdapat mana-mana manusia yang mampu mengingati apa-apa peristiwa ketika mereka masih lagi bayi?

Persoalan ini telah menarik perhatian para saintis dan mereka percaya ianya mempunyai kaitan dengan sistem memori, terutamanya dalam cara sistem memori kita berkembang apabila kita membesar dari peringkat bayi kepada kanak-kanak dan kemudian ke peringkat dewasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Infantile Amnesia

otak kiri dan kanan

Pernahkah anda mengingati peristiwa sambutan hari jadi anda yang pertama? Atau mungkin sambutan hari jadi ke 2 tahun? 

Menurut kajian, setiap manusia jarang mengingati peristiwa sebelum 2-3 tahun dan mempunyai ingatan yang tidak menentu tentang kejadian yang berlaku pada usia antar 4 dan 7 tahun. Menariknya, terdapat nama saintifik untuk fenomena ini, iaitu Infantile Amnesia.

Adakah kita tidak dapat mengingati kembali peristiwa yang berlaku ketika kita masih bayi kerana ianya sudah berlaku terlalu lama? Tidak semestinya. Seseorang yang berumur 50 tahun mungkin masih mengingati zaman persekolahan mereka iaitu 30 hingga 40 tahun dahulu walaupun ia sudah begitu lama berlalu.

Bayi mempunyai "tarikh luput" pada memori mereka

hippocampus

Ramai saintis percaya dan membuat kesimpulan bahawa setiap bayi mempunyai memori, termasuklah memori tersirat (implicit) dan jelas (explicit).

Kenangan tersirat adalah memori yang memungkinkan untuk menyelesaikan tugas-tugas asas tanpa perlu memikirkan mengenainya. Sebagai contoh, mengingati cara berjalan adalah ingatan tersirat. 

Sementar itu, memori jelas (explicit) pula memerlukan usaha ketika sedar daripada kita untuk mengenang kembali sesuatu perkara, contohnya seperti mengingati gerakan tarian tertentu yang diajar oleh guru.

Kadar ingatan manusia meningkat apabila semakin membesar

perkembangan otak

Salah seorang yang melakukan kajian mengenai perkara ini adalah seorang ahli psikologi terkenal Patricia Bauer. Menurutnya, kemampuan otak manusia untuk mengingati kembali peristiwa lampau semakin meningkat apabila manusia semakin membesar.

Dalam kajian yang dilakukan, sejumlah bayi yang menjadi subjek kajiannya telah diajar untuk meniru sesuatu perlakuan untuk menguji kemampuan mereka mengingati dan meniru perlakuan tersebut.

Dalam kajian ini, beliau dapati bahawa bayi yang berusia 6 bulan boleh mengingat kembali memori mereka dalam tempoh 24 jam dan kurang 48 jam. Bagi bayi yang berusia 9 bulan pula, mereka mampu mengingat kembali peristiwa yang berlaku dalam tempoh 1 bulan sebelum itu dan tidak melebihi 3 bulan sebelum itu.

Apabila menjangkau usia 2 tahun, seseorang kanak-kanak itu dikatakan sudah mampu mengingati peristiwa yang telah berlaku satu tahun kemudian, atau lebih lama lagi.

Kewujudan sel neuron baru di otak

sel neuron

Ketika masih bayi, saiz otak bayi hanyalah satu perempat daripada saiz otak dewasa. Ketika usia bayi 2 tahun, saiz otak mereka sudah berkembang menjadi tiga perempat saiz otak orang dewasa. Perkembangan saiz otak ini juga menggalakkan pembentukan atau penghasilan sel neuron-neuron baru pada otak.

Di otak manusia, terdapat satu bahagian yang dikenali sebagai hippocampus. Ianya adalah bahagian yang memaikan peranan untuk membentuk kembali memori lama yang pernah terjadi pada kita. Apabila bahagian lain pada otak semakin membesar apabila meningkat dewasa, bahagian hippocampus ini adalah satu-satunya bahagian otak yang akan menghasilkan neuron-neuron baru apabila kita makin meningkat dewasa.

Sel-sel neuron baru ini akan bersambung membentuk jaringan hippocampal circuits yang membolehkan kita lebih mudah mengingati peristiwa-peristiwa yang telah berlaku. Walaupun sel-sel neuron baru terus dihasilkan apabila kita sudah dewasa, kadar penghasilannya semakin berkurang apabila kita semakin tua.

Para saintis percaya kadar penghasilan sel neuron yang pantas apabila di peringkat kanak-kanak merupakan sebab mengapa kanak-kanak mudah lupa peristiwa yang terjadi pada diri mereka. Apabila kita sudah melepasi peringkat bayi, kadar penghasilan sel neuron semakin berkurang, bahagian  hippocampus ini mencapai keseimbangan pembentukan dan pengekalan memori yang lebih baik.

Kredit:

  1. University of Queensland
  2. Nature Neuroscience
  3. Live Science
  4. Scientific American



Hakcipta iluminasi.com (2017)