Oleh pada 22 Apr 2024 kategori

Platipus atau nama saintifiknya Ornithorhynchus anatinus adalah makhluk yang benar-benar mencabar kaedah saintis dan penyelidik dalam mengkategorikan makhluk bernyawa.

Ini kerana makhluk ini unik, aneh, ganjil dan istimewa; mempunyai campuran ciri-ciri sifat yang pelbagai, sehingga layak digelarkan salah satu haiwan yang paling menakjubkan di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang membuatkan platipus berbeza berbanding makhluk-makhluk lain? Mari kita pelajari serba-sedikit apa yang menjadikan platipus istimewa dan berbeza.

Monotreme : kategori haiwan yang di luar kategori

kenapa platipus unik

Secara amnya, platipus dikategorikan sebagai haiwan mamalia. Bagaimanapun disebabkan sifatnya, platipus juga tergolong dalam kumpulan eksklusif yang dikenali sebagai monotrem atau monotreme.

Monotrem merujuk kepada haiwan mamalia yang bertelur. Platipus berkongsi ciri yang sangat jarang ditemui ini hanya dengan satu spesies lain iaitu echidna.

Dalam keluarga mamalia, monotreme dianggap sebagai kumpulan haiwan paling lama wujud kerana keluarga monotreme dianggarkan wujud lebih awal berbanding mamalia yang mempunyai plasenta.

Sifat fizikal yang unik

platipus gabungan pelbagai haiwan

Jika dinilai hanya daripada sifat luaran saja sudah cukup untuk kita memahami apa yang membuatkan seekor platipus istimewa. Tubuhnya merupakan gabungan-gabungan organ haiwan lain yang memberikannya kebolehan tertentu.

Platipus mempunyai paruh mirip seperti seekor itik yang membolehkannya berburu di bawah air. Ekornya yang lebar pula menyerupai makhluk memerang atau beaver.

Tubuhnya pula diliputi oleh bulu-bulu halus seperti haiwan otter, memudahkannya bergerak dengan baik di dalam air.

Dan jangan terkejut pula platipus jantan mempunyai bisa. Haiwan yang kelihatan pasif ini sebenarnya adalah haiwan yang berbisa, tetapi bisa atau racun ini hanya ada pada bahagian kaki belakang platipus jantan sahaja.

Racun platipus jantan walaupun tidak mampu membunuh seorang manusia, mampu mengakibatkan kita merasai sakit berminggu lamanya. Kekuatannya dikatakan mirip sengatan ratusan lebah.

Hidup dalam suasana semi-akuatik yang dibantu dengan bentuk kaki sama seperti itik, semua sifat platipus sangat sesuai untuk mereka berburu di dalam air serta mempertahankan diri di atas tanah.

Bagaimanapun...akibat ketiadaan gigi (kan platipus ada paruh) mereka menggunakan kaedah yang agak unik untuk makan.

Bagaimana platipus makan?

platipus haiwan ganjil

Diet seekor platipus adalah dengan memakan serangga dan makhluk krustasea serta cacing; dan mampu mengunyah makanannya tanpa mempunyai gigi. Bagaimana proses ini dilakukan?

Setiap paruh platipus mempunyai kantung yang akan 'menapis' dahulu makanannya. Kantung ini bertanggungjawab menghalang partikel lebih besar masuk selain mempersiapkan makanan mereka untuk penghadaman.

Selepas berjaya menelan mangsa, platipus akan berenang ke daratan untuk tujuan penghadaman. Di bahagian mulut platipus, ada dua bahagian otot yang keras yang akan menghancur dan melumatkan makanan yang telah berjaya ditangkap.

Nasib baiklah platipus tidak mempunyai gigi. Kalaulah mereka ini bergigi, lagi aneh rupa mereka.

Misteri cahaya platipus

platipus mampu memancarkan sinar ultra uv

'Satu sifat unik yang pada ketika ini masih membingungkan penyelidik, adalah berkenaan bulu pada tubuh platipus yang memancarkan warna biru kehijauan apabila disinari dengan sinar UV.

Dalam satu penemuan yang tidak disangka-sangka, penyelidik yang sebenarnya ketika itu dalam kajian berkenaan tupai terbang menemui bahawa bulu yang ada pada tubuh platipus diawetkan yang dijadikan bahan pameran di muzium, memberikan reaksi kepada sinar UV.

Penemuan ini secara rasmi dilapor dan diterbitkan tak lama dulu, dalam tahun 2020. Hasil penemuan ini kemudiannya cuba diulang pada platipus yang masih bernyawa dan mereka menemui hasil yang serupa.

Setakat ini belum jelas kenapa platipus mempunyai fungsi badan sebegini. Penyelidik meramalkan bulu yang mampu bertindakbalas dengan sinar UV ini merupakan salah satu mekanisme platipus berburu dalam gelap, disebabkan sifatnya yang berjaga malam.

Selain itu sinaran yang dipancarkan oleh bulu platipus ini juga dianggar merupakan satu bentuk mekanisme pertahanan diri yang melindungi platipus daripada pemangsa.

Sehingga ke hari ini, haiwan platipus dikatakan menyimpan 1001 misteri disebabkan keunikannya. Adakah anda tahu, pada penemuannya yang pertama sekitar abad ke 18, ramai saintis ketawa apabila mendengar bagaimana seekor haiwan mamalia mampu bertelur.

Kini pada abad ke 21, kita baru tahu tubuh platipus memancarkan cahaya UV. Apa lagi agaknya keanehan yang ada pada setiap platipus?




Hakcipta iluminasi.com (2017)