Ketika artikel ini ditulis, pandemik COVID-19 belum lagi menyusut. Bahkan, di Malaysia kita masih dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan terdapat tanda-tanda bahawa gelombang kedua jangkitan pandemik ini bakal terjadi sekiranya kita mengambil sikap sambil lewa tidak mengamalkan prosedur yang ditetapkan.

Apa yang pasti, pandemik ini memberikan impak yang cukup besar sama ada secara negatif mahupun positif. Ketika sebahagian besar manusia makin hidup sukar kerana hilang pekerjaan, tidak boleh berniaga dan seumpamanya, ada juga segelintir manusia yang kekayaannya makin berlipat kali ganda ketika musim COVID-19 ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di Itali, menarik pula kisahnya. Ketika banyak perniagaan terjejas teruk, kumpulan mafia di sana semakin mengukuhkan penguasaan dan empayar perniagaan mereka. Bagaimanakah perkara ini mungkin berlaku?

Pembelian aset dan perniagaan yang dilelong

penguasaan mafia itali covid 19

Di Itali, terdapat 4 kumpulan sindiket jenayah terancang yang besar: 'Ndrangheta, Cosa Nostra, Camorra dan Sacra Corona Unita. 'Ndrangheta dipercayai kumpulan yang paling kuat, terkaya dan paling meluas perniagaan mereka dengan memiliki banyak rangkaian antarabangsa.

Kumpulan 'Ndrangheta ini dikuasai oleh sebuah keluarga dan sangat licik menyembunyikan jenayah mereka sehingga menyukarkan mereka didakwa oleh undang-undang. Kumpulan ini juga dikatakan mengendalikan 80% urusan pengedaran dadah di Eropah.

Sementara itu, kumpulan Cosa Nostra dan Camorra yang kekuasaannya goyah akibat tindakan keras penguatkuasaan undang-undang dan konflik dalaman telah melihat tanda-tanda pemulihan. Mereka mampu membeli perniagaan dan aset seperti restoran dengan harga murah yang berfungsi untuk menutup kegiatan penggubahan wang haram.

Kumpulan-kumpulan mafia ini juga berusaha memanfaatkan subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Sekumpulan penyiasat Itali mendedahkan tiga syarikat yang dikendalikan oleh anggota 'Ndrangheta didakwa menerima lebih dari[ada €45,000 dana bantuan yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk darurat COVID-19.

Ketika banyak perniagaan dilelong, kumpulan-kumpulan mafia ini pantas mengambil kesempatan membelinya dengan  harga yang jauh lebih murah bagi mengaburi perniagaan haram mereka. Pada masa yang sama, mereka bakal menjana keuntungan yang besar apabila ekonomi kembali pulih kerana perniagaan-perniagaan yang dibeli ini sememangnya sah daripada segi undang-undang.

Pandemik COVID-19 ini telah menyaksikan banyak perniagaan "halal" dan sah sudah dikuasai kumpulan ini.

Dianggap HERO oleh rakyat tempatan

penghantaran dadah ke rumah

Servis penghantaran dadah ke rumah

Ketika pandemik sedang memuncak di Itali, pendapatan kumpulan mafia ini juga terjejas kerana banyak perniagaan mereka antaranya penyeludupan dadah, penyeludupan manusia dan perjudian terkesan. Walau bagaimanapun, mereka masih mempunyai kewangan yang kukuh untuk beroperasi seperti biasa hasil daripada perniagaan mereka tahun-tahun sebelum ini.

Malah, kumpulan ini juga telah bertindak mengagihkan makanan dan keperluan harian kepada penduduk yang memerlukan. Perkara ini telah dilihat jelas di beberapa kawasan Itali yang telah menjalani tempoh kawalan pergerakan antaranya di Naples dan Palermo.

Di Naples pula, kumpulan mafia tempatan telah berselindung di sebalik perniagaan penghantaran makanan ke rumah. Selain menghantar makanan, mereka akan turut menghantar dadah yang dipesan oleh pelanggan mereka.

Kumpulan penjenayah di selatan Itali juga telah memberikan bantuan kewangan kepada individu dengan jumlah antara €300 hingga €400 pada satu-satu masa (antara £266 hingga £354). Inisiatif ini diambil memandangkan pihak kerajaan terlalu lambat menghulurkan bantuan kepada penduduk yang sangat memerlukan.

Pinjaman perniagaan 

krisis ekonomi covid 19 521

Kumpulan penjenayah ini juga memberikan bantuan kewangan kepada syarikat perniagaan tempatan yang bergelut. Salah satu contohnya adalah ‘Ndrangheta, kumpulan mafia terkuat di Itali yang menawarkan pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah daripada bank tempatan.

Pinjaman ini ditujukan terutamanya kepada perniagaan kecil dalam bidang pembinaan dan perhotelan yang tidak dapat memperoleh kredit dari bank tetapi sangat memerlukan dana untuk terus beroperasi. Kumpulan ‘Ndrangheta dan seangkatan dengannya mempunyai banyak dana untuk menawarkan pinjaman sebegini kepada pihak yang memerlukan.

Bagi kerajaan, tindakan mafia ini seharusnya dipandang serius. Secara tidak langsung, kumpulan ini akan menningkatkan pengaruh politik mereka dan meluaskan pengaruh mereka dalam kalangan penduduk setempat. Dalam kalangan penduduk setempat, pihak mafia ini dilihat sebagai penyelamat mereka.

Apabila krisis COVID-19 ini selesai, pihak mafia ini dijangka akan meminta pelbagai bantuan sebagai balasan seperti "pencucian" wang atau perlindungan dari polis. Dan kadar pengangguran yang lebih tinggi akan menggalakkan lebih ramai orang muda untuk menyertai kumpulan mafia ini untuk mendapatkan pendapatan yang stabil.

Buat masa in, kerajaan negara-negara di mana mafia ini beroperasi tidak hanya harus menangani COVID-19 tetapi juga mengekang kemajuan kelompok-kelompok mafia ini pada waktu yang sama. Ini adalah alasan tambahan mengapa kerajaan Itali harus bertindak lebih pantas dan proaktif untuk membantu masyarakat umum pada masa yang sukar ini.

Selain Itali, beberapa negara lain seperti Mexico dan Colombia juga menyaksikan trend yang sama di mana kumpulan-kumpulan penjenayah ini mula mengambil kesempatan terhadap keadaan semasa yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19 ini.

Kredit:

  1. The Conversation
  2. BBC News
  3. Vice



Hakcipta iluminasi.com (2017)