Oleh pada 10 Jul 2019 kategori

Angelika Maria Raubal mempunyai wajah yang menawan. Setiap mata yang memandangnya pasti akan terpesona dengan gadis tersebut.

Dikurniakan wajah cantik, senyuman mengasyikkan serta figura yanh tinggi dan langsing, Angelika menyimpan satu impian sejak kecil - dia mahu menjadi seorang penyanyi terkenal satu hari nanti.

Impiannya bagaimanapun berdepan kesukaran selepas ibunya mula bertugas sebagai penjaga rumah di salah sebuah rumah milik pakciknya, seorang pegawai tentera bernama Adolf Hitler - yang ketika itu belum menjawat jawatan pemerintah tertinggi negara mereka. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hidup sebumbung dengan 'Pakcik Alf'

adolf hitler dengan geli raubal

Walaupun nama penuhnya yang diberikan adalah Angelika, dalam keluarganya Angelika lebih dikenali dengan panggilan manja 'Geli.'

Angelika anak kepada pasangan Leo Raubal Sr. dan Angela Raubal, kakak tiri kepada Adolf Hitler ekoran berkongsi ayah yang sama, Alois Hitler. Angela adalah anak kepada isteri kedua Alois sementara Adolf pula hasil perkongsian hidup dengan isteri ketiganya.

Geli kurang bernasib baik kehilangan ayahnya pada ketika baru berusia 2 tahun. Atas sebab itu, Adolf dilihat sentiasa memberikan perhatian yang lebih bagi membantu keluarga kakak tirinya.

Ketika berusia 17 tahun, Geli berpindah mengikut Angela selepas Angela diambil bekerja di rumah pakciknya Adolf,yang ketika itu baru berusia 36 tahun. Tidak ada apa-apa berlaku di antara Geli dan Pakcik Alf, nama yang digunakan saudara-mara keluarga itu untuk merujuk kepada Adolf pada awalnya.

Adolf menjadi figura ayah kepada Geli yang tidak sempat merasai kasih sayang seorang ayah, namun lama-kelamaan hati Adolf mula terbuka untuk melihat anak buahnya itu daripada perspektif yang berlainan.

Geli yang dikurniakan wajah cantik mula menawan hati Adolf, walaupun Adolf sendiri sedar statusnya sebagai pakcik kepada Geli. Namun bagi Geli, semua yang dilakukan oleh Adolf tak ubah seperti apa yang akan dilakukan oleh seorang ayah kepada anaknya. Selepas setahun berpindah ke rumah pakciknya, Geli mendapat peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Munich.

Bagi membantu memudahkan kehidupan Geli, Adolf menawarkan kepada Geli sebuah pangsapuri miliknya yang terletak di Munich. 

Mula merasa lebih bebas, Geli menjalinkan hubungan dengan pemandu peribadi Adolf yang bernama Emil Maurice. Selepas mengetahui hubungan itu, Pakcik Alf memaksa Emil memutuskan hubungannya dengan Geli.

Setahun kemudian pada tahun 1928, Emil dipecat tanpa sebab munasabah daripada unit yang bekerja di bawah Adolf. Itulah insiden yang membuktikan bermulanya obsesi Adolf terhadap Geli.

Dalam hati Hitler ada taman

hitler dengan anak buah geli raubal

Siapa sangka segarang-garang manusia seperti Adolf Hitler, di dalam dirinya masih ada sebuah taman yang mekar dengan bunga dijadikan ruangan untuk wanita bertakhta? Tidak ada sesiapa yang menyangkakan Adolf akan jatuh cinta dengan anak buahnya sendiri.

Ini kerana Adolf sendiri mengaku dia sangat jarang tertarik dengan wanita. Menurut kata Hitler sendiri - wanita kebanyakannya bagi dia hanya menjengkelkan, dirasakan kosong tidak berisi. Tidak ramai wanita layak dikatakan istimewa pada dirinya. 

Namun hati Adolf mula lembut setelah menyedari dirinya berubah ceria setiap kali bersama Geli..

Dirinya jadi tenang. Dia pula tidak lagi segan mahu meluahkan perasaan. Setiap minit yang dihabiskan mendengar celoteh Geli membuatkan Adolf Hitler merasakan dunia ini semuanya sempurna. 

Perasaan cinta itu semakin lama semakin membara dan akhirnya tanpa disedari, Adolf Hitler benar-benar jatuh cinta dengan anak buahnya dan ini membuatkan dirinya mula merana, kerana bagi Adolf - Geli adalah miliknya.

Dia mula obses untuk memiliki Geli walaupun sedar besar sempadan yang akan dilangkaunya. Hari ke hari, Geli mula menyedari kawalan ke atasnya semakin ketat. Jadualnya juga mula dikawal Adolf yang tidak mahu Geli terlalu bebas.

Rasa iri hati Adolf melihat Geli menghabiskan masa dengan teman sekuliahnya mula menyebabkan Adolf bertindak mengurung Geli di pangsapuri miliknya.

Tanda tanya tentang status hubungan sebenar

angela maria geli raubal

Sehingga kini tidak diketahui apakah status sebenar hubungan di antara Adolf dan anak buahnya, sama ada sekadar satu obsesi atau sudah melampaui masuk ke hubungan seksual.

Apa yang diketahui, Adolf memang benar-benar mengawal jadual seharian Geli sehinggakan Geli gagal menamatkan pengajiannya dengan sempurna.

Adolf juga memperketatkan syarat hanya membenarkan Geli keluar daripada rumah sekiranya ditemani oleh dirinya atau salah seorang pegawai yang dipercayai.

Hidup Geli mula dikongkong dan ini menyebabkan jiwa remajanya yang bercita-cita tinggi, mula memberontak. Malangnya tidak banyak kita ketahui tentang apa yang berlaku di antara Adolf dan Geli sepanjang dua tahun Geli menetap di pangsapuri itu.

Apa yang kita ketahui, pada 18 September 1931 - Adolf dan Geli bertengkar selepas Geli yang ketika itu sudah berusia 23 tahun mahu ke Vienna bagi melangsungkan pertunangan dengan lelaki lain. Adolf membantah tindakan itu sehinggakan kedua-duanya saling menjerit, mempertahankan pendirian masing-masing. 

Tidak lama selepas pertengkaran berlakh, Adolf meninggalkan pangsapuri itu untuk menghadiri satu mesyuarat di Nuremberg.

Keesokannya, Geli ditemui mati akibat kesan tembakan dengan pistol milik pakciknya masih berada di tepi tubuhnya. Kesan-kesan lebam ditemui pada badannya dengan punca kematian pula, dikatakan berpunca daripada tembakan yang dipercayai dilepaskan oleh Geli sendiri.

Sepucuk surat yang dihantar kepada rakannya di Vienna sebelum itu menjelaskan rancangan Geli cuba melarikan diri daripada hidup terus dikongkong Adolf - memulakan hidup baru bersama seorang lelaki lain.

Konspirasi menyembunyikan bukti

hitlef bertemu rakyat

Skandal itu yang berlaku sebelum Adolf Hitler menjadi pemimpin nombor satu kerajaan Jerman, diramalkan mampu menjatuhkan beliau.

Bagaimanapun, usaha pihak-pihak tertentu bagi menyorokkan apa yang telah berlaku berjalan dengan begitu pantas. Tekanan ke atas menteri kerajaan ketika itu menyebabkan urusan bedah siasat diselesaikan dengan cepat. Laporan polis pula mengumumkan hasil siasatan mendapati Geli telah membunuh diri dengan kadar segera. 

Mayat Geli berjaya dipindahkan secepat mungkin ke Vienna untuk dikebumikan, sebelum pihak wartawan berjaya melaporkan tentang kejadian tersebut di akhbar. Bagaimanapun, itu tetap tidak menghalang media menghidu apa yang berlaku dan mula melaporkan insiden itu.

Banyak pihak mula berspekulasi adakah karier Adolf Hitler bakal berakhir kerana dia disyaki pembunuh anak buahnya sendiri. 

Menurut kenyataan rasmi daripada pihak Adolf Hitler - apa yang berlaku benar-benar membuatkan jiwanya merana. Adolf tidak mengunjungi majlis pengebumian rasmi yang diadakan, hanya melawat pusara Geli dua hari kemudiannya secara rahsia.

Selepas itu dia menyembunyikan dirinya di sebuah kawasan terpencil bersama rakannya, bagi membantu dia menangani tekanan yang dihadapinya daripada tekanan mental dan juga tekanan musuh politik yang mahu mengambil kesempatan menjatuhkan dia. 

Parti Nazi pada ketika itu menafikan dakwaan Adolf Hitler patut dipertanggungjawabkan ke atas kematian anak buahnya. Mereka mengeluarkan kenyataan mendakwa bahawa Geli berasa tertekan kerana kariernya sebagai penyanyi masih belum menampakkan hasil.

Beberapa hari kemudian, Adolf sendiri menulis kepada surat khabar menjawab semu tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Dia menafikan berlakunya pergaduhan di antara mereka berdua pada malam sebelum Geli ditemui mati. Adolf juga menjelaskan dia tidak menentang hasrat Geli mahu ke Vienna dan menafikan kebenaran dakwaan Geli mahu bertunang dengan orang lain.

Menurut Adolf Hitler, Geli dikatakan mahu ke Vienna bagi meningkatkan lagi kualiti vokalnya dengan menyertai kelas vokal. Pada waktu itu, Geli juga dikatakan tertekan dengan penampilannya serta merasa tidak puas hati dengan kariernya.

Itu yang menyebabkan dia mengambil keputusan menamatkan hayatnya.

Selepas skandal reda

hitler bersama geli raubal

Tidak diketahui pada tarikh bilakah perbincangan madyarakat berkenaan skandal melibatkan Adolf dan Geli mula tenggelam. Walau bagaimanapun, cakap-cakap orang ramai menuduh Adolf sendiri menembak anak buahnya tidak pernah lenyap.

Semua barang kes telah berjaya disembunyikan menyebabkan tidak banyak maklumat baru diterima dan orang mula berpindah ke topik baru.

Adolf Hitler kembali meneruskan kariernya dalam parti, berjaya mengekalkan momentumnya sehingga menjadi Hitler yang kita kenali sehingga kini. Skandal itu gagal menjatuhkan beliau, tetapi ada satu perkara yang tidak pernah diadili dengan penamat sepatutnya.

Nasib Angela Raubal sehingga ke saat ini tidak pernah mendapat penyiasatan yang adil untuk dirinya.

Seorang wartawan bernama Fritz Gerlitch percaya Geli dibunuh Adolf Hitler sendiri namun pada Mac 1933 siasatannya dihentikan, selepas parti Nazi berjaya mengambil alih kuasa.

Selepas desas-desus menyebut Fritz berjaya menemui bukti kes kematian Geli, satu pasukan tentera memecah masuk ke dalam pejabat beliau, membelasah Fritz dan membakar semha dokumen berkaitan kes itu.

Fritz diheret ke penjara, sebelum dibunuh pada 30 Jun 1934 di sebuah kem tahanan perang di Dachau.

Sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 2018 berjudul Living with Hitler : Accounts of Hitler's Household Staff mencatatkan pengalaman petugas-petugas yang bekerja di dalam kediaman Adolf Hitler.

Dalam cerita yang mereka sampaikan - apa yang berlaku pada Adolf selepas kematian Geli amat menyedihkan hati pemimpin itu. 

Seminggu selepas kematian Geli, Adolf dimatakan mengurung dirinya dalam bilik yang pernah didiami Geli, enggan menjamah sebarang makanan. Bilik yang pernah diduduki oleh Geli semuanya diarahkan oleh Adolf untuk dikekalkan seperti asal - tanpa sebarang perubahan dibenarkan berlaku. 

Semuanya kerana rasa sayang seorang pakcik kepada anak buahnya atau rasa cinta seorang lelaki pada wanita yang disanjunginya, kita tidak mungkin akan tahu.

Apa yang kita tahu, hanya ada dua wanita saja pernah memberikan kesan yang sangat besar pada hidup Adolf Hitler semasa dia mahu bermula - ibunya sendiri dan anak buahnya Angelika Maria Raubal. 

Begitulah berakhirnya kisah mereka berdua. 

Rujukan

Angela Maria Raubal WW2 Gravestone




Hakcipta iluminasi.com (2017)