Angels.
Penggunaan istilah itu sangat berkait rapat dengan kepercayaan orang-orang Kristian sehinggakan dalam banyak perkara, mereka kerap menggunakan istilah tersebut bagi merujuk individu yang baik dalam kehidupan mereka.
Dari segi bahasa Inggeris, 'angels' bolehlah dikatakan merujuk kepada pelbagai makna, namun apa pula pandangannya tentang 'angels' daripada perspektif agama Kristian sendiri? Sejauh mana berbezanya 'angels' dalam konteks Kristian dan 'malaikat' dalam konteks Islam?
BESARKAN TEKS A- A+
Agak jauh perbezaannya dalam beberapa sudut walaupun tak dapat dinafikan terdapat beberapa persamaan besar. Apa yang membezakan fahaman tentang 'angels' menurut masyarakat Kristian?
Asas kepercayaan 'angels' dalam agama Kristian
Orang Kristian percaya 'angels' mempunyai beberapa kategori yang berbeza, dengan kebanyakan fahaman lama mengkelaskan semua 'angels' ke dalam sembilan kategori pangkat, setiap satunya digelarkan sebagai satu koir atau 'angelic choirs.' Kami akan rungkai berkenaan tajuk ini kemudian.
Mereka percaya semua 'angels' adalah makhluk yang dicipta, bukan untuk disembah manusia serta duduk dalam alam yang berbeza dengan manusia. Orang Kristian juga percaya semua 'angels' adalah makhluk yang suci, tidak melakukan kesalahan serta mempunyai keadaan yang senantiasa bersih daripada dosa.
Bagaimanapun, orang Kristian turut percaya 'angels' boleh mempunyai personaliti, kepandaian sendiri, emosi dan kemahuan. Ini membawa kepada perbezaan besar cara orang Kristian dan orang Islam melihat makhluk ghaib ini. Oleh kerana 'angels' dipercayai mempunyai kepandaian sendiri dan kemahuan, mana-mana 'angels' boleh berubah, kekal menjadi makhluk yang baik atau bertukar menjadi makhluk yang jahat.
Istilah 'fallen angels' digunakan bagi menggambarkan 'angels' yang pernah melakukan kesilapan seperti berbohong atau membuat perkara mungkar.
Kisah Satan, the fallen angels
Apabila bercakap tentang asal-usul 'angels', orang Kristian percaya manusia pada asalnya dilahirkan darjatnya lebih rendah berbanding 'angels', kerana semua 'angels' mempunyai kepintaran, kekuatan, kuasa dan pergerakan yang melampaui had manusia. Bagaimanapun, oleh kerana hubungan manusia dengan Jesus Christ, ini meletakkan manusia berada pada kedudukan lebih tinggi.
Kisah peperangan di antara 'fallen angels' yang bertugas untuk menyesatkan manusia dengan Tuhan diterangkan dalam banyak ayat-ayat tulisan kitab Bible. Dalam agama Kristian, mereka percaya semasa jatuhnya Satan ke dalam kejahatan, Satan turut sama berjaya menghasut hampir satu per tiga 'angels' untuk turut bersamanya.
'Angels' yang berpaling tadah ini dipercayai sedar akan perbuatan mereka, memilih untuk berubah sesat dan membuat keputusan itu atas kemahuan sendiri. Diketuai oleh Satan/Iblis/Lucifer, mereka mengisytiharkan perang ke atas Tuhan dan ciptaannya iaitu manusia.
Perang itu pula dikatakan pernah berlaku di syurga, apabila angels Michael serta barisan angels beliau, berperang dengan naga yang menjadi tentera kepada 'fallen angels' yang berpaling tadah diketuai Satan. Satan merupakan antara 'angels' paling berkuasa dan paling bijaksana sebelum kejatuhannya. Bagaimanapun, Satan dan tenteranya gagal menewaskan Michael lalu dibuang ke dari syurga.
Iblis/Satan menurut kepercayaan Kristian
Kisah yang ditulis dalam Revelation 12 ayat 7 hingga 10 menceritakan serba sedikit tentang peperangan ini, menggambarkan Satan atau Iblis sebagai makhluk berekor berupa seperti ular atau naga. Berikutan kegagalan mengalahkan Michael, Tuhan mengeluarkan Satan dan kesemua pengikutnya.
Cerita peperangan ini mempunyai banyak pandangan berbeza bergantung kepada pembacanya. Ada yang menganggap apa yang berlaku itu benar-benar berlaku dan sahih, dianggap sebagai antara peristiwa terawal kejadian alam yang memberikan kesan besar permulaan manusia di bumi.
Ada juga pihak yang merasakan pembacaan kisah ini bukannya perlu dilakukan secara literal, tetapi perlu dilihat sebagai satu metafora kepada kehidupan yang akan dilalui oleh manusia.
Walau apa pun cara intepretasinya, kebanyakan catatan lama bersetuju bahawa perang di antara Satan dan pengikutnya yakni 'fallen angel' ini, bermula disebabkan oleh penciptaan manusia dan keengganan Satan untuk tunduk kepada manusia pertama yang diciptakan.
Rujukan