Kisah berkenaan Nabi Isa as. atau Jesus Christ sangat berkait dengan dua agama samawi dunia, iaitu Islam dan Kristian.
Sering dipopularkan dalam kisah-kisah sejarah serta diterjemahkan ke dalam bentuk filem oleh media barat, apa yang kita tahu dan percaya berkenaan Baginda dibezakan mengikut kepercayaan yang dianuti kita.
Bagaimanapun di antara semua kisah berkenaan Baginda yang ditulis dalam kitab, wujud satu lagi kisah berkait dengan Nabi Isa as. atau Jesus Christ yang sangat jarang diceritakan - kerana sangat berkait dengan masyarakat Jepun.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda kisah berkenaan Torai Taro Tengu - legenda Jesus Christ orang Jepun yang dipercayai memperjelaskan kisah apa berlaku kepada Baginda, selepas Baginda disalib?
Jesus Christ mengembara ke Jepun selepas disalib
Nota : Untuk artikel ini, kami akan menggunakan istilah 'Jesus Christ' sebagai kata nama Baginda, kerana di kalangan masyarakat Jepun sendiri terjemahan kepada Torai Taro Tengu adalah Jesus Christ.
Kisah Torai Taro Tengu bermula selepas semua insiden yang diceritakan dalam sejarah, bagaimana Jesus berhadapan dengan seksaan selepas Baginda dikhianati sahabatnya sendiri Judas.
Diseksa, disalib dan dipercayai dibunuh oleh ketua agama Yahudi masyarakat ketika itu, apa yang berlaku kepada Jesus selepas peristiwa salib berbeza mengikut kepercayaan agama samawi.
Apa yang unik berkenaan kepercayaan komuniti di Jepun ini, adalah bagaimana mereka juga percaya Jesus Christ berjaya diselamatkan selepas dibunuh.
Mereka percaya Jesus Christ terselamat kerana sebelum Baginda diseksa,adiknya yang bernama Isukiri telah bertindak mengorbankan dirinya sanggup berhadapan dengan kesemua seksaan.
Ini membolehkan abangnya melarikan diri menyelinap di kalangan ahli masyarakat selama beberapa tahun sebelum merentasi Siberia sehinggalah tiba di sebuah perkampungan di utara Jepun, bagi memulakan hidup baru.
Buktinya menurut mereka yang berpegang kepada kepercayaan ini, adalah kewujudan pusara Jesus Christ di sebuah kampung bernama Kampung Shingo - kini terletak di daerah Aomori, Jepun.
Bagaimana legenda ini bermula?
Kisah berkenaan hidup Jesus Christ ini bermula selepas penemuan beberapa dokumen yang dianggarkan berusia 1900 tahun, terkandung riwayat Jesus Christ daripada kelahirannya yang kita ketahui, sehinggalah peristiwa salib dan bersambung dengan kehidupan dan kematian Baginda di Jepun.
Dokumen itu yang dikenali sebagai Dokumen Takenouchi ditemui pada tahun 1935, sebelum dirampas oleh kerajaan Jepun. Tindakan itu didakwa diambil berikutan kebimbangan kerajaan mereka akan berlakunya kekeliruan berkait kepercayaan tersebut.
Perang dunia kedua mengakibatkan dokumen asal tersebut hilang tetapi rekod serta salinan berkenaan isi kandungannya berjaya dipulihara.
Menurut kandungan dokumen itu, Jesus sebenarnya pernah hadir lebih awal ke kawasan Jepun semasa zaman mudanya ketika berusia 21 tahun, untuk mempelajari ilmu agama.
Lebih satu dekad kemudian selepas diburu, disalib dan berjaya melarikan diri, Jesus memilih untuk kembali ke Jepun.
Dalam perjalanan ke sana, Baginda turut sama membawa bersamanya helaian rambut milik bondanya Siti Mariam/Mary serta telinga adiknya yang telah dipotong.
Baginda tiba di Jepun kira-kira 4 tahun selepas peristiwa di salib, hidup di kampung itu sebagai orang kebanyakan dengan menggunakan nama Torai Taro Tengu, bekerja menyara diri sebagai seorang petani dan mengahwini seorang wanita tempatan bernama Miyuko.
Hasil perkahwinan mereka pasangan itu dikurniakan 3 orang anak perempuan.
Dalam legenda masyarakat Jepun ini, hayat Torai Taro Tengu berakhir pada usia 118 tahun dan Baginda selamat dikebumikan di Kampung Herai, nama lama Kampung Shingo.
Pengaruh Jesus Christ yang bertapak kuat di kalangan masyarakat
Ajaran Jesus kepada komuniti kampung itu diwariskan dalam bentuk inskripsi yang diukir pada batu, dijaga oleh sebuah keluarga bangsawan di situ.
Tiba era Maharaha Bureutsu sekitar tahun 505, ajaran yang diwariskan kepada mereka terpaksa dirahsiakan ekoran pengaruh agama Buddha yang cuba diperkembangkan keluarga Maharaha Jepun.
Seorang jeneral perang zaman tersebut bernama Sukune Takenouchi bertindak menyelamatkan artifak-artifak yang ditemui daripada dirampas, tanpa benar-benar memahami isi kandungannya.
Ini kerana tulisan pada bongkah-bongkah batu itu ditulis menggunakan tulisan Ibrani/Hebrew.
Peredaran zaman mula menyebabkan kisah berkenaan kehadiran Jesus Christ di Jepun semakin dilupakan, apatah lagi selepas ajaran Kristian dilarang penyebarannya di Jepun oleh pemerintah Jepun pada abad ke 17 akibat daripada konflik mubaligh Kristian dengan penduduk setempat.
Segelintir penduduk Kampung Herai meneruskan tradisi masyarakat mereka mengamalkan apa yang mereka percayai diperturunkan oleh Jesus Christ sendiri, secara sulit.
Amalan Kristian terus kukuh di Kampung Shingo
Kisah berkenaan Jesus Christ berhijrah ke Jepun ini kembali popular selepas penemuan dokumen Takenouchi pada awal abad ke 20.
Diperkukuhkan lagi dengan pendedahan bertulis dalam sebuah buku terbitan tahun 1937, berjudul Light Comes From The East hasil tulisan seorang mubaligh Kristian bernama Yamane Kikuko.
Sehingga kini, amalan-amalan yang berkait dengan ajaran Kristian diamalkan di kalangan penduduk Kampung Shingo walaupun tradisinya yang bersifat tradisional semakin dilupakan.
Amalan melukis tanda salib di dahi bayi serta menghias pintu rumah dengan simbol bintang enam bucu sebagai tanda perlindungan, masih dilapor menjadi amalan sehingga dekad 1970-an.
Makam yang dipercayai penduduk setempat lokasi persemadian terakhir Jesus Christ terus dipelihara keluarga yang dipercayai waris keturunan Jesus Christ di Jepun, hasil perkahwinan 3 anak perempuannya dengan 3 orang pemuda.
Lokasi makam itu kini menjadi antara lokasi penganut Kristian di Jepun untuk dilawati setiap kali tibanya musim perayaan, dengan orang ramai berpusu-pusu ke situ bagi melawat dan menghormati makam Jesus Christ yang sangat mereka hormati.
Sama ada legenda yang menceritakan berkenaan pengakhiran hidup Jesus Christ di Jepun ini, benar atau tidak - kami biarkan anda buat penilaian anda sendiri.
Apa yang jelas penduduk Kampung Shingo memang bermati-matian percaya Jesus Christ dikebumikan di sana.
Seronok baca kisah unik ini yang jarang diceritakan? Anda mungkin berminat untuk membaca berkenaan Jesus Matayoshi, ahli politik Jepun yang percaya dirinya pesuruh Tuhan dipertanggungjawabkan mengajak musuh politiknya membunuh diri.
Rujukan