Satu persoalan yang selalu bermain di minda penulis apabila memandu di sekitar ibu kota adalah kandungan papan-papan tanda yang dipasang di sekitar jalan. Ada kalanya langsung tidak mampu difahami oleh penulis ekoran penggunaan bahasa Mandarin sepenuhnya.

Tidak kiralah iklan tanah perkuburan bagi orang Cina, konsert artis Taiwan atau Hong Kong atau sekadar iklan penjualan hartanah, dapat dilihat agak banyak iklan yang langsung tidak memaparkan penggunaan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenapa perkara seperti ini boleh dibiarkan berlaku sedangkan ternyata di dalam perlembagaan negara kita, sangat jelas kita hanya mempunyai satu jenis bahasa kebangsaan sahaja - iaitu bahasa Melayu yang patut menjadi bahasa pengantar kita semua?

Masyarakat majmuk yang tidak sejiwa

papan tanda kedai ubat cina

Penulis sempat merasai zaman persekolahan di mana masih mudah untuk melihat percampuran budaya di antara kaum semasa di dalam bilik darjah. Seingat penulis, pasti akan ada sekurang-kurangnya 8 ke 10 orang pelajar Cina di dalam kelas, baik lelaki dan perempuan yang belajar bersama bercampur dengan pelajar Melayu serta pelajar India yang selalunya tidak ramai.

Seingat penulis juga di sekolah-sekolah kebangsaan kawasan bandar, guru-guru bukan Melayu kerap memainkan peranan besar dalam sistem sekolah kebangsaan. Khasnya sekolah rendah di mana pemupukan semangat harmoni dan kerjasama patut diutamakan lebih awal.

Agak sukar untuk mengerti ke arah apa kita sebenarnya sebagai sebuah negara ketika ini.

Walaupun pendapat kita kerap kali memperkatakan 'dasar pecah dan perintah' yang diamalkan British semasa zaman pemerintahan mereka dahulu dalam nada negatif, ada ketikanya dapat dilihat kita sendiri sebenarnya lebih gemar mengamalkan dasar sama dalam sistem masyarakat kita.

Kesukaran untuk mencapai satu visi

papan tanda pasar seni

Sekiranya kita rajin mengikuti perbincangan dalam wacana seperti forum ataupun perbincangan tidak rasmi dalam media sosial, banyak pihak saling salah menyalahkan antara satu sama lain ketika membincangkan masalah segregasi kaum di Malaysia ini.

Orang Melayu menyalahkan bukan Melayu yang mahu terus berpegang pada tradisi dan adat lama sehingga menyukarkan asimilasi, sementara orang bukan Melayu pula menyalahkan orang Melayu kerana terlalu mendesak mahu menjadikan orang bukan Melayu menurut tradisi orang Melayu.

Salah satu dakwaan paling kerap dihamburkan golongan bukan Melayu adalah berkenaan dasar-dasar kerajaan yang mengutamakan individu Melayu, sehingga meletakkan orang bukan Melayu seperti golongan kelas kedua.

Dasar Ekonomi Baru, sistem kuota, bantuan-bantuan kerajaan yang bersentrikkan orang Melayu dan Bumiputera dikatakan mencipta jurang yang jauh lebih besar di antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu, seterusnya memperkuatkan lagi semangat kita bukan untuk bersatu - tetapi untuk sama-sama menuntut hak masing-masing.

Tidak ramai yang mahu melihat kembali prinsip asas negara kita terlebih dahulu sebelum kita mula berbincang perkara-perkara lain. Adakah tanggungjawab kita sebagai seorang warganegara khususnya dalam penguasaan bahasa sudah dipenuhi?

Apakah faktor yang menjadi penghalang kita menguasai bahasa kebangsaan dan menggunakannya di seluruh negara?

Bahasa jiwa negara

iklan cina

Penulis tidak tahu kenapa segelintir orang bukan Melayu, dilihat tidak mahu berusaha menyokong salah satu asas pembentukan negara kita iaitu bahasa Melayu.

Amat jelas sekali perkara ini berlaku di merata-rata tempat. Mengambil contoh penggunaan bahasa dalam papan papan tanda yang memaparkan konsert artis Taiwan - penulis akui iklan tersebut memang mensasarkan golongan tertentu sahaja. Bagaimanapun, penggunaan bahasa Melayu masih perlu dipaparkan bukan?

Bagi orang muda, penulis akui mereka rugi kerana tidak dapat melalui zaman ketika orang Malaysia tidak canggung menjadikan idola-idola bola sepak bukan Melayu seperti Lim Teong Kim, Yap Wai Loon, Lee Kin Hong, K. Sanbagamaran, K. Rajan atau 'spiderman Selangor' mendiang R. Arumugam, sebagai ikutan serta sandaran yang merentasi etnik dan bangsa.

Tidak dapat dipastikan penulis sejak bila pudarnya budaya ini di kalangan rakyat Malaysia. Apa yang lebih menyedihkan, satu masa dulu nama-nama ini menjadi ikutan bukan sahaja kerana kemahiran mereka tetapi mereka mampu berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu dengan sangat baik.

Pengaruh media yang semakin meluas

papan tanda masjid muar

Penulis berpendapat salah satu sebab utama bahasa serta pendidikan tidak lagi mampu menyatukan kita semua adalah kerana pengaruh media yang kita hadam setiap hari, tak kiralah melalui akses internet ataupun saluran stesen televisyen berbayar.

Sedar tak sedar - pakej saluran televisyen berbayar di negara kita turut sama mengamalkan pakej saluran berdasarkan kaum dengan setiap kaum diberikan intipati saluran yang cukup ketara berbeza daripada segi bahasa dan juga kandungannya.

Bukan setakat bahasa, sumber kandungan-kandungan itu juga jelas berbeza asal geografinya dengan pakej untuk bangsa Melayu datang daripada Malaysia atau Indonesia, pakej memfokuskan pelanggan Cina majoritinya datang dari Hong Kong, Taiwan dan China sementara bagi pakej India pula datang daripada negara India sendiri yang terbahagi kepada rancangan Tamil atau Hindi.

Sudahlah bahasa yang digunakan berbeza-beza, penerapan budaya dalam rancangan-rancangan yang dijual nyata akan membentuk pandangan tentang adat budaya yang berlainan cara, sehinggakan sukar untuk mewujudkan keinginan untuk berasimiliasi sesama kita.

Usaha untuk mewujudkan perkongsian elemen-elemen seperti budaya dan pendidikan sudah pasti akan semakin berjauhan sehinggakan kita mempunyai ideologi pemikiran yang berbeza-beza tanpa ada satu titik tengah sebagai pegangan identiti bersama warganegara Malaysia.

Sebagai jalan tengah, ramai mengangkat bahasa Inggeris dan budaya Inggeris sebagai satu penyelesaian atau solusi dalam menyatupadukan masyarakat yang nampak lebih gemar mengamalkan segregasi sesama sendiri. Apa saja yang dihasilkan oleh barat dilhat mampu menyatupadukan kita di pawagam, di kedai mamak menyokong pasukan kesukaan kita.

Kesimpulan

papan tanda 270

Pada pendapat penulis, kesan kedatangan penjajah yang menjajah kita sekian lama sedikit sebanyak menyebabkan minda kita tanpa sedar 'mengagungkan' barat dan meletakkan budaya dan adat mereka yang dipinjamkan pada kita, sebagai budaya bersifat universal yang dipercayai berupaya menyatukan rakyat Malaysia.

Walau pun demikian penulis merasakan itu bukan jawapannya.

Rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai kesedaran sendiri tentang usaha memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu di negara kita, bukan saja sebagai bahasa kebangsaan malahan sebagai elemen penyatupaduan masyarakat berbilang bangsa, agama, adat dan budaya.

Kita seharusnya peka semua papan tanda di negara kita perlu meletakkan bahasa Melayu sebagai keutamaan, kerana tanpa berkongsi bahasa dalam semua perkara - kita mungkin berkongsi tanah, tetapi kita tidak sama saling mahu duduk serumah.




Hakcipta iluminasi.com (2017)