Oleh pada 25 Jan 2020 kategori

Kuarantin.

Dalam peringkat kecil kaedah kuarantin akan dikenakan pada mana-mana individu atau pesakit yang diperlukan untuk kekal berehat di rumah, agar penyakit yang membelenggunya tidak disebarkan.

Dalam peringkat besar pula - kuarantin boleh berlaku dalam melibatkan satu komuniti, masyarakat malahan negeri. Ada juga beberapa peristiwa melibatkan kuarantin peringkat negara dilakukan, kebiasaannya dilakukan oleh negara lain menghalang rakyat negara terlibat wabak - hadir ke negara mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kaedah kuarantin sebenarnya sudah agak lama di amalkan oleh masyarakat dunia, tetapi pernahkah anda terfikir - apa sejarahnya dan peristiwa apakah yang mengasaskan kaedah kuarantin?

Asal-usul perkataan kuarantin

pulau kuarantin tradisi eropah

Perkataan 'kuarantin' yang kita kenal sekarang muncul lebih lewat berbanding dengan amalan kuarantin yang sudah diperkenalkan terlebih dahulu. Istilah 'kuarantin' yang ada sekarang muncul sekitar abad ke 16, digunakan untuk mewakili tempoh isolasi yang akan dikenakan pada individu berdasarkan kepada kes yang menimpanya.

Sebenarnya 'kuarantin' merujuk kepada unit masa atau waktu, dengan kata asalnya adalah perkataan Itali yang berbunyi 'quaranta' bermakna '40.' Sekitar era tersebut, ahli-ahli perubatan percaya bahawa seseorang yang sakit perlu diasingkan sekurangnya 40 hari berdasarkan kepada nasihat yang berbunyi 'quarantina giorni' atau 'tempoh empat puluh hari.'

Istilah 'quaranta' pula datang daripada istilah Latin 'quadraginta' yang membawa makna serupa.

Oleh kerana itulah sebelum penggunaan istilah 'quaranta' meluas digunakan, masyarakat Eropah zaman dahulu turut sama menggunakan istilah 'quarentyne' bagi mewakili tempoh waktu 40 hari berkabung seorang balu yang kematian suami.

Bermula sekitar tahun 1670, perkataan 'kuarantin' mula digunakan bagi merujuk kepada proses atau kaedah isolasi yang dikenakan secara paksa/wajib ke atas individu atau kumpulan - tanpa mengambil kira lagi berapakah tempoh isolasi yang diperlukan.

Begitulah bagaimana istilah kuarantin berubah daripada penyukat masa kepada kata rujuk sesuatu proses kaedah pengasingan.

Kaedah kuarantin pertama dunia

kuarantin sejarah eropah dubrovnik

Penggunaan kaedah kuarantin yang pertama di dunia diamalkan secara meluas pada tahun 1377 di Dubrovnik, Croatia. Pada zaman tersebut, Dubrovnik merupakan sebuah pusat perdagangan yang sangat penting di kalangan pedagang Eropah dan pedagang dari kawasan Meditteranean jajahan Empayar Uthmaniah.

Setiap kapal yang hadir di Dubrovnik dan datang daripada pelabuhan asal dilaporkan menghadapi masalah wabak, akan diwajibkan berlabuh dan menunggu selama 40 hari - tanpa ada seorang pun anak kapalnya dibenarkan turun.

Oleh kerana itu, amalan ini mendapat tentangan pedagang dan anak kapal yang sudah pun tiba di destinasi, menyebabkan rasa kurang senang pedagang dengan pengendali pelabuhan di Dubrovnik. Walaupun begitu, idea di Dubrovnik untuk memastikan wabak tidak tersebar dan terkawal mula diadaptasi pihak-pihak pemerintah lain khasnya di Itali.

Sekitar tahun 1347 hinggalah 1352 lebih awal sebelum Dubrovnik memperkenalkan sistem itu, berlaku penyebaran wabak daripada kehadiran kelasi kapal, tikus dan kargo yang sampai ke kepulauan sekitar Sicily, dipercayai datang daripada pedagang dari kawasan Meditteranean. Wabak ini telah pun melumpuhkan sistem pemerintahan Itali sehinggakan banyak kerajaan negeri seperti di Florence, Venice dan Genoa tumbang.

Dari Itali, wabak tersebut merebak ke pelabuhan di Perancis dan Sepanyol, seterusnya mampu tiba di Austria dan Eropah tengah. Pada penghujung abad ke 14, walaupun wabak tersebut berjaya dikawal - kesannya terus dirasai. Idea pemerintah Dubrovnik menyaring kehadiran kapal mula ditambah baik oleh orang Itali, khasnya di Venice dengan penubuhan pusat penempatan pesakit wabak yang digelarkan 'lazaretto.'

Kuarantin mula diamal dengan lebih sistematik

lazzaretto vecchio kuarantin itali

Jika di Dubrovnik, anak kapal dihalang daripada mendarat sebelum cukup tempoh 'kuarantin' atau '40 hari', pemerintah Venice membangunkan pusat sementara bagi membolehkan anak kapal yang dipercayai mempunyai penyakit ditempatkan.

Pada tahun 1423, pemerintah Venice membuka 'pusat isolasi pesakit' digelarkan lazaretto di sebuah pulau bernama Santa Maria di Nazareth. Pulau itu mula digunakan bagi mengasingkan pesakit seterusnya membolehkan kapal berlabuh di pelabuhan tanpa perlu lagi menunggu tempoh kurungan, membolehkan aktiviti perdagangan di jalankan tanpa henti.

Pulau Santa Maria kekal digunakan sebagai penempatan pesakit berstatus isolasi sehinggalah tahun 1630, sebelum ditukarkan menjadi markas ketenteraan. Kini Pulau Santa Maria masih wujud, dikenali dengan nama Lazzaretto Vecchio.

kubur yang digali tanam mayat kuarantin

Hasil cari gali yang dilakukan di pulau tersebut sejak tahun 2004 menunjukkan lebih 1500 orang telah meninggal dunia di pulau tersebut, seterusnya dikebumikan di situ dalam sebuah pusara besar. Pada zaman kemuncak penyebaran wabak di Itali sekitar abad ke 16, dianggarkan 500 orang meninggal dunia setiap hari di situ .

Sukar nak dibayangkan berapa sebenarnya jumlah mereka yang telah dikebumikan di sana.

Perkembangan pusat kuarantin

w1siziisinvwbg9hzhmvcgxhy2vfaw1hz2vzl2izmwzinmzknge4zju4y2yzm19qaglsbhkgmde5lkpqryjdlfsiccisinrodw1iiiwiedm5md4ixsxbinailcjjb252zxj0iiwilxf1ywxpdhkgodeglwf1dg8tb3jpzw50il1d

Evolusi idea yang dijalankan di Venice mula diangkat oleh pemerintah Genoa pada tahun 1467 dan Marseille di Perancis pada tahun 1476.

Panduan bagi pembinaan infrastruktur mirip lazaretto mula diperkenalkan, dengan cadangan agar lokasi pusat pengasingan dipilih berdasarkan kepada rupa bentuk geografi yang sesuai. Keperluan untuk pusat pengasingan mempunyai sistem sempadan semulajadi seperti sungai atau laut dijadikan panduan, bagi membolehkan pusat dan bandar/pekan mempunyai jarak yang selamat dengan setiap pusat baru.

Bagi lokasi pusat pengasingan yang tidak berdekatan sungai atau laut, pemerintah disarankan untuk menghasilkan sistem perparitan dalam di sekeliling pusat pengasingan yang diisikan dengan air, bagi memastikan tiada akses keluar atau masuk yang terbuka kepada pesakit mahupun pengunjung.

Sistem saringan di pelabuhan melibatkan barang dagangan dan anak kapal turut diperkenalkan. Lazaretto khas di pelabuhan yang bersaiz lebih kecil diwujudkan bagi membantu memeriksa dan mengisolasikan individu yang dikhuatiri membawa jangkitan. Barang dagangan diwajibkan melalui pemeriksaan khas dengan produk berisiko tinggi seperti kapas, kaun, kulit, selimut dan rambut palsu perlu dilapor dan diperiksa.

Barangan yang hadir dan dipercaya berisiko tinggi - akan direndamkan di dalam air mengalir selama 48 jam bagi memastikan tiada lagi sumber wabak mampu melekat pada permukaan produk yang ada.




Hakcipta iluminasi.com (2017)