stop being so cute

Industri hiburan kita dalam tempoh beberapa dekad yang lalu, seringkali dikejutkan dengan kontroversi melibatkan karya-karya berbentuk lagu yang 'digam' oleh penyiar RTM disebabkan garis panduan RTM yang agak ketat, khasnya apabila melibatkan penggunaan bahasa.

Antara kontroversi paling panas adalah melibatkan lagu bertemakan Wawasan 2020 berjudul "20/20" dendangan kumpulan KRU, yang dilarang siarannya kerana mencampur adukkan frasa bahasa Inggeris ke dalam lirik berbahasa Melayu.

11 lagu daripada album pertama KRU yang terbit pada tahun 1992 dilarang siarannya, atas masalah serupa. Tiba tahun 2020, peminat muzik ada yang gembira dan ada juga yang panas telinga mendengar lagu "Stop Lah Being So Cute" menjadi siulan anak muda Malaysia.

Isunya di sini - kenapa kita seolah-olah berhenti melindungi penggunaan bahasa kebangsaan dalam karya kita?

Lagu-lagu bahasa rojak

oag 60s tv lagu inggeris popular

Globalisasi dan perkembangan teknologi membolehkan perkembangan media di negara kita berlaku dengan agak pesat.

Peranan stesen televisyen berbayar seperti Astro serta MegaTV (ingat lagi tak?) membawa masuk rancangan hiburan dan pendidikan dari luar, sedikit sebanyak mengendurkan pengaruh RTM yang sebelum itu nyata menjadi pilihan masyarakat kita.

Industri hiburan kita yang sebelum itu dikuasai bakat-bakat tempatan mula perlu bersaing dengan karya luar, memulakan permintaan untuk pengkarya lokal mencipta karya lagu berbahasa Inggeris.

Dekad 90-an dan awal milenium menyaksikan kemunculan artis dan kumpulan seperti Poetic Ammo, OAG, Butterfingers dan Too Phat yang kelihatan selesa berkarya dalam bahasa Inggeris.

Namun sempadan antara bahasa masih lagi kelihatan, dengan pengkarya tempatan kebiasaannya menetapkan penggunaan satu bahasa tunggal dalam karya, sama ada Inggeris sepenuhnya atau Melayu sepenuhnya.

Tetapi dekad 2010 dan seterusnya mula menyaksikan sempadan bahasa yang selama ini cuba dijaga retak, dengan lambakan karya 'dwi-bahasa' mula memenuhi ruang udara dan lama-kelamaan sudah menjadi sesuatu lumrah yang biasa.

Nilai bahasa dalam karya

kthxbye papan tanda melaka

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah termaktub dalam perlembagaan negara kita.

Namun bagi penyokong lagu-lagu dwi-bahasa ini, karya-karya yang memaparkan penggunaan bahasa rojak, pasar dan slanga dirasakan lebih mirip serta realistik dengan apa yang kita tuturkan setiap hari.

Adalah sesuatu yang norma untuk seorang rakyat Malaysia berbahasa Melayu yang diselang-selikan dengan penambahan istilah sokongan bahasa Inggeris, bagi memperjelaskan maksud bualan.

Namun perlukah kita angkat bahasa rojak ini untuk ditampilkan ke dalam karya-karya kita?

Pada pandangan penulis, ini adalah sesuatu yang tidak sihat kerana penggunaan bahasa bercampur aduk itu sendiri sebenarnya merosakkan nilai sesuatu karya. Cuba anda sebutkan lagu-lagu klasik garapan rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa slanga?

Sukar bukan?

kenapa lirik lagu dan sepanduk menggunakan bahasa malaysia rojak melayu

Kredit Foto : Mstar

Keindahan sesuatu penciptaan senikata lagu sebenarnya terletak pada kekuatan tunjang bahasanya. Senikata yang baik, digarap cantik akan kelihatan sinarnya tetapi apabila nilai bahasa diperkotak-katikkan, hasilnya mungkin popular tetapi untuk jangka masa panjang akan terkesan nilainya.

Penanda aras bahasa yang semakin tiada nilainya

cintai bahasa kita

Sekitar tahun 2004, penggiat seni muzik negara berdepan dengan kerajaan dalam kontroversi melibatkan bahasa setelah kerajaan memperkenalkan larangan ke atas beberapa buah lagu, disebabkan penggunaan istilah Inggeris di dalamnya.

Kontroversi itu menjadi lebih hangat kerana banyak pihak mempertikaikan kelonggaran yang diberikan kerajaan ke atas lagu berbahasa Melayu yang mengandungi penambahan lirik dalam bahasa Arab, menjadikan garis panduan yang cuba diperkenalkan agak kurang jelas dari segi sekatan.

Walaupun demikian, apabila ditelaah lagu-lagu yang cuba disekat ini nyata permainan bahasanya hanya minima dengan fokus ke atas penggunaan tatabahasa yang baik serta frasa yang berkesan tetap menjadi keutamaan.

Apa yang telah berlaku sekarang?

Kita ada lagu seperti 'Budak Flat' dendangan Aman Ra yang layak bertanding Anugerah Juara Lagu dengan lirik seperti 'Keramat represent straight outta AU3' atau 'Flow lain macam keep it low lain macam, If you know lain macam then you know.'

Lirik 'Stop Lah Being So Cute' pula berbunyi

She so cute she so fly

Tengok muka you I lalai

Quarantine make got me feeling like

Hey damn, bila you boleh jumpa I?

Geleng kepala penulis membacanya, tetapi itulah lirik yang menjadi ikutan anak muda zaman sekarang.

Masalahnya penerapan penggunaan bahasa yang betul bukan saja semakin diabaikan dalam penghasilan lirik lagu, malahan filem kita sendiri juga tampak segan mahu menjulang identiti bahasa kebangsaan.

Siapa sini peminat filem berbahasa Melayu yang mempunyai judul rojak seperti 'Gerak Khas The Movie', 'Ejen Ali The Movie', 'Evolusi KL Drift' atau 'Bikers Kental'? Dua format karya popular masyarakat kita gagal membawa kepada penegasan penggunaan bahasa yang baik, dalam persembahan mereka.

Jadi perlukah kita terima ini sebagai satu lumrah biasa?

Kembalikan prestij bahasa kita

isu bahasa rojak

Trend pengkarya kita mencampur adukkan bahasa rojak ke dalam penciptaan lirik pada pendapat penulis, perlulah dibendung seberapa segera.

Nilai estetika sesuatu karya yang kekal klasik dan masih segar majoritinya mempunyai penggunaan bahasa yang baik dan puitis. Karya seniman hebat seperti Ahmad Nawab, M.Nasir, Fauzi Marzuki dan Ooi Eow Jin yang dicipta berbahasa Melayu terus relevan kerana itulah bahasa kita.

Bahasa pertuturan yang rojak, diselangi slanga serta selitan istilah luar sepatutnya kekal hanya sebagai medium perbualan semata-mata, tidak sepatutnya diangkat sebagai bahasa rasmi karya kita.

Namun pandangan sebegitu tentulah hanya akan mengundang kritikan serta dikecam tidak seiring dengan permintaan zaman.

Realitinya, sekiranya amalan penggunaan bahasa rojak dalam penghasilan karya terus dipertahankan; kita sebenarnya sedang membunuh identiti bahasa kebangsaan yang sepatutnya kita pertahankan.

Malangnya permintaan akan terus mengawal selia pasaran dan trend pasaran muzik semasa tampak mahukan lagu-lagu berbahasa rojak terus jadi siulan.

Jadi penulis akan chill out mengundur diri, say goodbye sebelum kena kecam jeles tak popular macam lagu 'Stop Lah Being So Cute' atau lebih teruk, dipanggil seorang boomer.



Hakcipta iluminasi.com (2017)