Oleh pada 09 Sep 2020 kategori

Pandemik Covid-19 yang melanda menyebabkan beberapa kontroversi melibatkan pekerja asing sama ada yang datang secara sah atau tidak sah dengan kerajaan Malaysia khasnya kumpulan petugas barisan hadapan, kecoh di seluruh dunia.

Laporan berat sebelah pihak Al-Jazeera serta banyak lagi perkongsian media yang mengkritik cara layanan yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara kita, dilihat cuba memburukkan negara kita secara sengaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun kes-kes melibatkan kematian warga asing tak kira apa saja statusnya terus kedengaran, apatah lagi warga asing turut menjadi antara penyumbang terbesar jumlah kes jangkitan di Malaysia.

Apa akan berlaku sekiranya ada di kalangan golongan ini meninggal dunia - khasnya melibatkan mereka yang tiada dokumen sah, dianggap tidak layak berada di negara kita?

Prosedur rasmi urusan kematian warga asing

upacara kematian orang myanmar

Secara rasmi, negara kita mempunyai prosedur yang jelas dalam membabitkan kes-kes kematian warga asing yang berstatus sah.

Mana-mana kes kematian melibatkan warga asing memerlukan waris atau pihak ketiga mengenalpasti identiti si mati.

Seandainya tiada wakil yang dapat hadir, majikan, kawan karib, kenalan atau wakil kedutaan perlu mengadirkan diri ke lokasi mayat disimpan untuk tujuan pelepasan.

Pembantu perubatan ketika ini memainkan peranan penting bagi merekodkan wajah mayat dan sebarang jenis tanda pada tubuh yang mampu memudahkan proses identifikasi. Selain itu, 10 helai rambut akan disimpan sebagai rujukan DNA.

Jika si mati itu botak, 10 helai rambut itu akan diperolehi di bahagian tubuh yang berbeza.

Siapa yang akan mengeluarkan belanja penghantaran pulang tubuh?

mangsa pemerdagangan pendatang tanpa izin

Ini adalah satu soalan yang agak sensitif tetapi perlu diperjelaskan - siapakah yang perlu menanggung kos penghantaran pulang atau jika gagal, kos pengebumian warga asing yang ada di negara kita?

Dari segi undang-undangnya jelas; pihak majikan perlu menanggung kos ini.

Dalam contoh paling mudah, seandainya pembantu rumah warga asing yang anda gajikan meninggal dunia - anda sebagai majikan tertakluk kepada undang-undang untuk mengurus dan menghantar mayat pekerja anda pulang ke negara asalnya.

Termasuklah pekerja yang cukup sudah tempoh kontrak digajikan anda atau sudah memenuhi kontrak dan hendak dijadikan cerita, meninggal tidak lama selepas habis tugasnya.

siapa urus jenazah pendatang asing pati orang negara luar

Disebabkan oleh beban atau risiko ini, pihak PERKESO atau Pertubuhan Keselamatan Sosial memperkenalkan Skim Bencana Pekerjaan Pekerja Asing di mana majikan diwajibkan mendaftar pekerja asing di bawah mereka, dalam skim tersebut.

Skim yang diperkenalkan pada awal tahun 2019 ini memerlukan semua majikan warga asing untuk mencarum sebanyak 1.25% daripada gaji bulanan pekerja mereka kepada PERKESO, bagi membolehkan setiap pekerja layak mendapat perlindungan perubatan, kecacatan dan juga kematian.

Untuk setiap kes kematian melibatkan pekerja asing, majikan layak menuntut semula kos pengurusan dan penghantaran pulang si mati ke negara asalnya - dengan amaun tuntutan maksima RM6,500.

Bagaimana dengan pendatang asing tanpa izin?

kubur gergasi orang rohingya

Untuk kes-kes kematian pendatang asing tanpa izin (PATI), sudah tentulah prosedurnya lebih rumit. Ini kerana agak sukar untuk mengenalpasti agama atau kepercayaan si mati bagi memudahkan proses pengebumian dapat dijalankan dengan sempurna.

Berdasarkan kepada kes yang berlaku pada tahun 2015 melibatkan sekumpulan 21 orang mangsa pemerdagangan etnik Rohingya yang ditemui di Wang Kelian, Kedah; mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam dalam satu liang lahad diuruskan oleh Majlis Agama Islam negeri, dengan bantuan Majlis Keselamatan Negara dan Polis Di-Raja Malaysia.

Bagi kes-kes kematian yang berlaku semasa PATI dalam tahanan imigresen, Jabatan Imigresen Malaysia yang bertanggungjawab mengurus dan mengebumikan tahanan serta perlu mengeluarkan kos pengurusan.

Bagaimana dengan PATI yang di luar bidang kuasa agensi kerajaan?

siapa patut urus jenazah pati

Untuk warga Myanmar misalnya, terdapat sebuah agensi yang bernama Katphone Free Funeral Service yang menawarkan perkhidmatan pengurusan kematian secara percuma khas untuk warga Myanmar berstatus PATI.

Mereka bukan saja akan menguruskan kematian biasa, malah turut sama terlibat dalam pengurusan kes bunuh diri di kalangan PATI Myanmar yang agak kerap berlaku kebelakangan ini.

Bagi etnik Rohingya pula, mereka turut sama mendapat bantuan badan seperti Arakan Free Funeral Service yang menawarkan khidmat pengurusan kematian serupa serta mampu menyalurkan dana untuk proses penghantaran pulang mayat, tertakluk kepada kelulusan kerajaan Malaysia dan Myanmar.

Untuk kes-kes pendatang tanpa izin, harus dijelaskan setiap kes kematian memerlukan kaedah pengurusan yang berbeza.

Proses pengenalan identiti si mati serta pengumpulan dana adalah kekangan terbesar dalam masalah kematian PATI di negara kita.

Bagaimanapun, bagi kes-kes melibatkan unit forensik di negara kita pula, mana-mana mayat yang tidak dituntut akan diuruskan selepas melepasi tempoh tertentu dalam simpanan tanpa ada sebarang tuntutan dikemukakan.

Individu dipercayai Islam akan dikebumikan selepas 3 hari simpanan sementara mayat yang dipercayai bukan Islam akan diuruskan mengikut agama yang dipercayai anutan si mati, 14 hari selepas tiada tuntutan berlaku.

Semua urusan pengebumian akan diuruskan oleh majlis agama Islam atau mana-mana persatuan agama yang dipercayai agama si mati, bagi membolehkan urusan terakhir kematian dapat disempurnakan.

Rujukan

Pengendalian Mayat Tidak Dituntut

Cabaran dalam menguruskan pendatang asing tanpa izin di depot tahanan imigresen Malaysia (PDF)

Negara, undang-undang dan tenaga kerja asing (PDF)

Standard Operating Procedures Of Forensic Medicine Services (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)