Di Myanmar selain krisis kemanusiaan yang berlaku melibatkan etnik Rohingya, satu lagi kumpulan etnik yang kerap kali menjadi 'mangsa' kerajaan Myanmar adalah orang-orang Karen.

Kumpulan pemberontak Karen menjadi salah satu krisis berlarutan di antara kumpulan etnik minoriti di Myanmar, selain daripada krisis lebih kecil di antara orang Kachin, Shan dan Mon dengan kerajaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sehingga kini orang Karen masih meneruskan pemberontakan mereka bagi menubuhkan negara mereka sendiri yang dinamakan Kawthoolei.

Ekoran perjuangan mereka, masyarakat Karen ditangkap, dibunuh, dipenjarakan dan diseksa. Wanita mereka dijadikan pemuas nafsu anggota tentera rasmi Myanmar, Tatmadaw.

Seperti Karen, orang Rohingya turut berdepan nasib sama - tetapi lebih teruk, mereka terbuang dari tanah air mereka.

Kenapa mereka dibezakan berbanding etnik minoriti lain yang ada di Myanmar - walaupun boleh dikatakan banyak kumpulan minoriti negara itu mempunyai isu dengan kerajaan mereka?

Pengenalan akta kewarganegaraan Myanmar 1982

masalah pelarian rohingya apa solusinya sehingga kini

Pada tahun 1982 ketika kerajaan Myanmar masih bergelar kerajaan Burma - satu akta kewarganegaraan baru diperkenalkan di negara mereka.

Pengenalan akta itu mewujudkan 3 kategori status kewarganegaraan baru kepada seluruh orang Burma, bagi memudahkan pengenalan identiti mereka.

Tiga kategori yang baru diwujudkan selain daripada 'warganegara' adalah 'warganegara bersekutu', 'warganegara naturalisasi' dan 'penduduk asing', yang tidak diiktiraf.

Kesemua status ini disediakan dokumen pengenalan diri yang berbeza, dengan warna tertentu menjadi kod mengkategorikan status kedudukan mereka; kecuali bagi pemegang kategori penduduk asing.

Usaha ini merupakan salah satu langkah paling penting mewujudkan identiti baru 'orang Myanmar', yang akan dijadikan tonggak nasionaliti dan identiti warga mereka.

Pengenalan ini diharap dapat menyatukan ideologi serta pegangan kebangsaan Myanmar walaupun mereka datang daripada 135 etnik yang berbeza.

Tiga kategori baru yang mengasingkan Rohingya keluar

kenapa etnik kaum rohingya dihalau myanmar

Status 'warganegara bersekutu' diberikan kepada penduduk yang sudah tinggal di Burma namun mempunyai datuk atau nenek yang bukan warganegara Burma sebelum tahun 1823.

'Warganegara naturalisasi' pula diberikan kepada mereka yang mampu membuktikan diri sendiri atau ibu bapa mereka telah hadir dan menetap di Burma, sebelum Burma mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.

Selain daripada kewarganegaraan penuh dan dua taraf kewarganegaraan ini, mereka yang tidak tertakluk pada mana-mana status dianggap 'penduduk asing' secara automatik.

Walaupun seseorang itu telah lama tinggal di Burma, pemegang status ini bukanlah diterima seorang warga Burma sebenar.

Dia tidak dibenarkan berkhidmat dalam sektor awam, tidak bebas bergerak dan juga tidak layak memasuki pendidikan peringkat menengah.

Dalam akta yang dibentangkan, kumpulan-kumpulan etnik minoriti seperti Karen, Chin, Mon, Shan, Zerbadee dan 135 kumpulan etnik lain kesemuanya diiktiraf sebahagian daripada etnik rasmi negara Burma.

Rohingya tidak disenaraikan.

Apa yang lebih malang, walaupun kumpulan etnik minoriti lain kerap menjalankan aktiviti pemberontakan bagi memerdekakan diri mereka, mereka mengiktiraf dasar kewarganegaraan Burma yang baru diperkenalkan itu.

Secara tidak rasmi, tindakan itu dilihat seakan kumpulan minoriti lain walaupun senasib Rohingya, mempersetujui status Rohingya sebagai penduduk asing yang tidak ada sebarang hak kewarganegaraan di Burma.

Usaha orang Rohingya mencabar akta kewarganegaraan Myanmar

askar myanmar perang rohingya

Sebagai alasan kenapa Rohingya sebagai sebuah etnik diketepikan, kerajaan Burma menyebut orang Rohingya di Burma hanya merupakan kumpulan pendatang yang dibawa masuk British semasa era kolonial.

Bagaimanpun sekiranya mereka memenuhi syarat ditetapkan, individu Rohingya layak sekurang-kurangnya mendapat status kewarganegaraan bersekutu atau naturalisasi - asalkan mereka faham etnik mereka tidak diiktiraf dalam perlembagaan negara.

Syarat ini meletakkan etnik Rohingya menjadi satu-satunya kumpulan etnik di Burma yang membantah pengenalan akta itu.

Orang Rohingya menuntut agar kewarganegaraan penuh diberikan kepada mereka, disebabkan oleh hubungan mereka dengan kawasan yang diduduki mereka sebenarnya sudah direkodkan sejak abad ke 8 lagi.

Bagi sebahagian kecil kelompok kecil masyarakat Rohingya pula yang bersetuju untuk menerima status warganegara, mereka berhadapan kesukaran membuktikan status mereka berpunca daripada kegagalan menyediakan dokumen yang diminta.

Menyedari pelaksanaan akta itu bakal menjadikan mereka 'pendatang' di negara sendiri, masyarakat Rohingya mula memberontak agar kedudukan mereka sebagai sebuah etnik, turut diiktiraf sama seperti kumpulan-kumpulan etnik lain.

attaullah abu pemimpin arsa haraqah al yaqin

Bagaimanapun, kita tahu sehingga kini usaha ini menemui jalan buntu.

Pada tahun 1989, kerajaan junta tentera Burma menukarkan nama kawasan yang diduduki orang Rohingya daripada Arakan kepada Rakhine. 

Tindakan ini dikatakan sengaja dipilih untuk memadam sejarah panjang empayar Arakan, yang satu ketika dulu pernah menjadi antara empayar berpengaruh di kawasan tersebut.

Beberapa siri pertempuran telah pun berlaku di antara kerajaan Myanmar dengan orang Rohingya, dengan kemuncaknya berlaku rusuhan besar-besaran dalam tahun 2012.

Hasil daripada rusuhan itu, bermula tahun 2013 wujud usaha penubuhan gerakan lebih terancang pemberontak Rohingya dinamakan Haraqah al-Yaqin. 

Gerakan gerila yang dikatakan dibantu negara Pakistan dan Arab Saudi, menjadikan gerakan pemberontakan masyarakat Rohingya lebih tersusun dan mempunyai perancangan jangka panjang.

Al-Yaqin mula menjalankan banyak operasi sabotaj, menyerang kumpulan-kumpulan tentera Myanmar dipimpin oleh seorang pemuda kelahiran Pakistan bernama Abu Ammar Jununi (gambar atas).

Keluarganya melarikan diri ke sana dari Arakan pada tahun 1960-an.

Hidup dalam sekatan

warga etnik rohingya minta status warganegara

Disebabkan ketiadaan status kewarganegaraan yang melindungi mereka, orang Rohingya menjadi sasaran mudah.

Tidak dilindungi undang-undang serta tidak diiktiraf kedudukan mereka, menyebabkan orang Rohingya tidak bebas bergerak di antara daerah dan negeri mahupun ke luar negara.

Mereka perlu mendapatkan permit pergerakan rentas daerah dan negeri serta melapor pergerakan mereka kepada ketua kampung atau wakil kerajaan selepas tiba di destinasi.

Majoriti orang Rohingya disekat daripada sistem pendidikan, dibekalkan dengan pendidikan tahap rendah. Mereka dihalang daripada meneruskan pengajian ke peringkat menengah, tidak berpeluang memperbaiki kehidupan mereka.

Tidak dilindungi mana-mana akta, situasi ini membolehkan pihak majikan menjadikan orang Rohingya buruh kasar dipaksa bekerja tanpa gaji, bekerja dalam situasi yang menyedihkan.

Salah satu contoh penglibatan buruh kasar Rohingya adalah pembinaan 'kampung baru' atau 'kampung contoh', yang menjadi agenda kerajaan Myanmar dalam menyusun semula dan membuka penempatan baru bagi rakyat mereka.

kanak kanak rohingya buruh paksa

Campur tangan pihak UNHCR dalam isu ini sedikit membantu.

Tekanan UNHCR membuatkan pentadbir negeri Rakhine bersetuju mengehadkan jumlah hari orang Rohingya boleh dipaksa bekerja, kepada hanya 4 hari sebulan dalam tugas-tugas melibatkan agensi kerajaan pada tahun 1994.

Selain itu, mereka juga mula dibayar sebanyak RM0.25 sehari atas kerja mereka. Bagaimanapun, sistem buruh kasar ini terus kekal diamalkan sehingga kini.

Setiap hari bekerja, ketua kampung masyarakat Rohingya akan diberikan senarai jumlah pekerja yang diperlukan. Keesokannya, trak tentera hadir membawa pekerja-pekerja Rohingya itu keluar bekerja dalam tempoh yang ditetapkan.

Disebabkan oleh keperluan untuk menyediakan jumlah pekerja yang mencukupi seperti yang diarahkan, ketua kampung etnik Rohingya tidak teragak-agak untuk mengerahkan pemuda, pemudi dan juga kanak-kanak seawal usia 5 tahun untuk bekerja.

Tak kiralah dalam sektor pertanian, pembuatan dan penyelenggaraan; demi membangunkan negara yang tidak menerima dan mengiktiraf kedudukan mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)