Oleh pada 15 Mar 2020 kategori

kabinet malaysia perikatan nasional

Lahir-lahir saja penulis dan mula belajar tentang selok-belok pentadbiran negara kita, penulis terus diperkenalkan dengan istilah Kabinet, Menteri, Perdana Menteri, ADUN, Wakil Rakyat, MP dan bermacam lagi gelaran yang diberikan pada bidang eksekutif pemerintahan negara kita.

Di antara semua istilah, ada satu istilah yang agak luar biasa bunyinya iaitu 'Kabinet.' Kita pasti sudah biasa menggunakan istilah 'Menteri Kabinet' atau 'Kabinet Malaysia' dalam berbicara tentang kumpulan Ahli Parlimen dan senator yang dipertanggungjawabkan menguruskan kementerian masing-masing.

Bagaimanapun, persoalannya di sini kenapa kita gunakan gelaran 'Kabinet' bagi mewakili mereka, sedangkan kita tahu kabinet itu mewakili rak-rak atau para yang diperbuat daripada kayu atau besi - kebiasaannya dipasangkan di dinding? Ada hubungkaitkah antara kedua-duanya yakni Kabinet untuk menteri dan Kabinet untuk dinding?

Sebenarnya ada!

Asal-usul istilah kabinet untuk bilik

victoria privy council

Siapa memulakan penggunaan istilah 'kabinet' bagi mewakili kerajaan? Sebelum kita berbicara tentang individu yang memulakan penggunaan istilah kabinet, lebih baik kita kenali dulu dari mana datangnya istilah ini .

Kata akar perkataan 'cabinet' atau kabinet, sebenarnya datang daripada istilah 'cabin' atau kabin, yang bermakna ruangan kecil diambil daripada istilah Latin 'cavea' yang merujuk kepada kurungan yang dibuat, digunakan untuk menyimpan haiwan ternakan.

Orang Itali meminjam istilah Latin itu, menukarkannya menjadi gabbia sebelum orang Perancis meminjamnya dan menukarkannya menjadi ejaan 'cabane' yang merujuk kepada bilik kecil. Pada abad ke 16, ejaannya ditukar ke bahasa Inggeris menjadi 'cabinet' dan maknanya mula menjadi lebih spesifik.

'Cabinet' merujuk kepada sebuah bilik kecil yang ada di dalam rumah seseorang, biasanya golongan bangsawan yang digunakan untuk tujuan rahsia, sama ada menyimpan barangan kemas, wang, harta atau menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan pengunjung.

Berikutan kedudukannya yang tersembunyi serta tidak diketahui orang, masyarakat Eropah zaman dahulu mula menggunakan 'cabinet' untuk tujuan sulit, seperti berjudi.

'Kabinet' yang merujuk kepada rak

kabinet kayu lama

Jika kita sebut kabinet zaman sekarang, kita pasti akan membayangkan rak-rak di dapur yang digunakan sebagai storan tetapi kurang jelas bagaimana istilah ini boleh merujuk kepada dua perkara berbeza iaitu ruangan bilik kecil dan rak kayu.

Tetapi pendapat paling besar menyebut bahawa permulaan istilah 'cabinet' pada awalnya memang merujuk kepada rak-rak kayu yang dibina. Kami andaikan penggunaannya mula berkembang merujuk kepada dua makna selepas dipinjam daripada bahasa Latin. Ini kerana kedua-duanya merujuk kepada ruangan kosong yang digunakan untuk menyimpan atau mengurungkan sesuatu, sama ada dalam bentuk bilik, sangkar atau rak/laci.

Apa yang kita tahu dalam tempoh yang sama, wujud seni pertukangan yang digelarkan 'cabinetry', di mana seorang tukang 'cabinetry' menghasilkan rak-rak kayu bersaiz kecil yang digunakan untuk menyimpan barangan yang sudah tentu kecil juga saiznya. Andaian kami, golongan yang memiliki rak-rak ini gemar meletakkan kabinet mereka di dalam bilik kabinet - menyebabkan kedua-dua maknanya mula bercampur-baur. Andaian saja tau kerana rekod tentang ini belum lagi ditemui.

Kabinet ketika itu diperbuat daripada kayu jati lengkap dengan ukiran yang melambangkan kemewahan, diperbuat daripada kayu arang. Teknik pertukangan yang halus ini sangat popular di kalangan golongan bangsawan dan kerap kali dijadikan perhiasan yang menggambarkan status seseorang.

Kabinet kerajaan dan kabinet menteri

kabiney obama bersidang dalam kabinet

Pada penghujung abad ke 16, kabinet (bilik kecil) mula popular digunakan oleh golongan pemimpin Eropah zaman tersebut untuk digunakan sebagai ruangan rasmi membincangkan masalah setempat yang dihadapi.

Ahli-ahli majlis tempatan mula menggunakan kabinet sebagai bilik mesyuarat yang dimiliki oleh golongan pemimpin di rumah mereka, bagi mengelakkan isi perbincangan mereka sampai kepada pengetahuan orang luar. Selain pemimpin masyarakat, golongan raja juga mula menjadikan kabinet yang wujud di istana mereka sebagai ruangan untuk mereka bertemu satu dengan satu berbincang dengan individu lain.

Tradisi perbincangan yang dilakukan secara tertutup ini mula melibatkan kelompok yang lebih besar dan ahli-ahli jawatan kuasa yang dipilih/dilantik di England.

Pada tahun 1625, Raja England, Scotland dan Ireland - Raja Charles I mula memperkenalkan secara rasmi pembentukan formal 'Cabinet Councell' atau 'Majlis Penasihat Kabinet' sebagai penasihat sulit kepada beliau.

Bermula dari situlah, badan kerajaan yang bersidang bagi menentukan hala tuju pentadbiran negara mula menggunakan gelaran 'Kabinet' bagi mewakili kumpulan mereka secara kolektif - berdasarkan kepada lokasi sebenar di mana mereka bermesyuarat; di dalam bilik kecil yang dinamakan kabinet.

Sehingga kini istilah kabinet boleh merujuk kepada tiga perkara berbeza - kumpulan pentadbir kerajaan, bilik mesyuarat di mana pentadbir berbincang dan rak-rak kayu yang digunakan untuk tujuan penyimpanan.

Begitulah sejarahnya.

Rujukan

Let's Organize the History of 'Cabinet'



Hakcipta iluminasi.com (2017)