Oleh pada 31 Jul 2017 kategori

Anda penggemar susu?

Jika anda salah seorang penggemar susu, pasti anda perasan banyak jenis susu dijual di kedai-kedai yang datang dengan pelbagai jenama. Harganya pula berbeza-beza bergantung kepada jenis kandungan susu yang ada.

Walaupun begitu pasti akan ada beberapa persoalan tentang susu yang selama ini anda kurang pasti, yang anda tidak tahu di mana hendak bertanya. Di sini kami kumpulkan beberapa soalan asas tentang susu yang kita selalu tertanya-tanya.

1. Kenapa saya selalu jumpa label whole milk dan fresh milk?

iluminasi susu kesihatan

Di negara kita, jenis susu yang selalu kita jumpa adalah jenis "fresh milk" atau susu segar dan jenis-jenis lain yang dijual tanpa perlu diletakkan dalam peti sejuk.

Susu segar adalah susu yang telah menjalani proses pempasteuran pada suhu pada suhu 71.7 °C selama 15 saat. Ini membunuh sebahagian bakteria yang mampu membawa kepada keracunan makanan dan membuatkan susu tahan lebih lama serta selamat diminum.

Susu yang tidak perlu disejukkan pula adalah susu UHT atau susu yang telah menjalani proses pemanasan pada suhu 135°C selama satu ke empat saat dan ini membunuh kesemua bakteria yang ada dalam susu. Ini menghasilkan susu yang digelarkan 'susu jangka panjang' atau 'long life milk' yang mampu mengekalkan kualiti pada jangka masa yang panjang. Nak mudah kita panggil susu ini susu UHT.

Namun, proses UHT itu juga sebenarnya adalah satu bentuk proses pempasteuran susu cuma istilahnya berbeza, proses UHT juga dikenali sebagai Ultra Pasteurization.

2. Apa bezanya susu pasteurized dengan susu UHT?

iluminasi susu kesihatan2

Bezanya terletak pada jumlah bakteria yang dibunuh dalam proses. Dalam proses UHT, bakteria yang ada dalam susu boleh dikatakan habis dibunuh menyebabkannya berada dalam keadaan bersih atau 'sterile.'

Walaupun lebih bersih, oleh kerana susu UHT menjalani proses pemanasan yang tinggi, ini akan menyebabkan rasa susu itu akan berubah. Dari segi khasiatnya pula sama sahaja atau mungkin berbeza mengikut penambahan yang dilakukan oleh pengeluar.

3. Jadi, elok minum susu UHT lah kan?

iluminasi susu kesihatan4

Terpulang pada citarasa anda. Ada orang lebih gemar rasa susu segar berpasteur yang lebih mirip kepada rasa asal susu berbanding susu UHT yang mempunyai rasa yang saya boleh katakan berbeza berbanding susu segar.

4. Kenapa susu UHT lebih murah berbanding susu segar?

iluminasi susu kesihatan5

Susu UHT lebih murah kerana jangka hayatnya lebih lama dan tidak perlu disimpan dalam peti sejuk. Susu UHT mampu kekal elok selagi belum dibuka dalam tempoh 6 bulan tanpa disejukkan sementara susu segar hanya mampu kekal elok dalam tempoh 10-21 hari selepas pengeluaran dan sentiasa perlu disejukkan.

Susu UHT selepas dibuka mampu mengekalkan rasa hampir 10 hari sebelum busuk sementara susu segar hanya mampu kekal baik dalam purata 2-4 hari. Jika dibiarkan terdedah pada suhu bilik, susu segar akan busuk lebih cepat berbanding susu UHT.

5. Kenapa ada banyak jenis susu? Mana satu yang terbaik pada saya?

iluminasi susu kesihatan6

Tidak ada perbezaan ketara sebenarnya dari segi nutrisi antara semua jenis susu yang dijual. Apa yang membezakannya adalah kandungan lemak dalam susu tersebut. Ada beberapa perkara yang perlu anda tahu tentang jenis susu ini :

Susu segar, susu krim penuh (full cream milk) dan whole milk - ini mewakili kumpulan susu yang mengandungi 3.8% kandungan lemak dalam susu yang membuatkan susu ini mempunyai rasa paling berkrim antara jenis-jenis lain.

Rendah lemak atau low fat - kategori ini adalah susu yang mengandungi kandungan lemak serendah 1.5% dalam kandungan susu. Susu ini sedikit cair berbanding susu krim penuh dan mempunyai rasa yang agak ringan.

Susu skim atau skim milk - susu skim hanya mengandungi 0.2% kandungan lemak dalam susu. Susu skim sesuai untuk mereka yang hendak mengawal berat badan atau mereka yang mengamalkan diet tertentu. Rasanya pula agak tawar dan kelikatan susu skim paling cair di antara ketiga-tiga jenis susu yang ada.


Begitulah serba sedikit penjelasan tentang jenis-jenis susu yang ada dijual di negara kita. Harap perkongsian ini dapat menjawab persoalan yang kita kerap tertanya apabila membeli susu.

Minum susu, badan sihat, otak cerdas.




Hakcipta iluminasi.com (2017)