gadis minum boba

Di mana-mana sahaja di negara kita, pembukaan gerai-gerai yang menjual 'boba tea' atau 'bubble tea' boleh ditemui. Pelanggan yang beratur untuk membelinya juga tak putus-putus, setia menantikan pesanan siap.

Di negara kita saja dikatakan sudah ada lebih 50 jenama teh boba dipasaran, dengan produk-produk yang bermacam jenis serta tarikan unik yang berbeza-beza. Kami sendiri menyedari kemunculan gerai teh boba ini beberapa tahun lepas, selepas salah satu jenama yang kini sudah terkenal - muncul dan menguasai pasaran.

Sekiranya kita tanya kepada orang ramai dari mana datangnya trend teh boba ini, ada yang akan menjawab dari Jepun, China dan ada yang meneka dengan betul Taiwan. Tetapi tahukah anda teh boba yang anda gemari, sebenarnya sudah bertapak agak lama - sejak tahun 80-an lagi?

Pengasas sebenar teh boba

pengasas bubble tea

Kami berterus terang dahulu - wujud persengketaan besar dalam menentukan siapa pengasas sebenar teh boba ini. Hanya satu persamaan di antara kedua-duanya; mereka berasal dari Taiwan.

Di Taiwan, ada dua buah syarikat yang mengaku mereka adalah pencipta asal 'bebola' yang popular dijadikan kandungan teh boba. Rumah Teh Hanlin (Hanlin Tea Room) mengatakan idea untuk mencipta bebola itu datangnya daripada idea pengasas perniagaan tersebut Tu Tsung-he yang ke pasar yang terletak di daerah Yamuliao, pada tahun 1986.

Tsung-he menemui seorang peniaga yang menjual bebola ubi kayu berwarna putih di pasar tersebut, lalu membelinya. Pulang ke rumah, Tsung-he memasak bebola itu lalu mencampurkannya ke dalam teh susu yang ingin diminumnya. Sambil minum dan mengunyah bebola itu, Tsung-he mendapati sensasi unik yang diberikan oleh bebola itu amatlah enak jadi dia mula menjual teh berisi bebola tersebut kepada orang ramai.

Oleh kerana bebola itu berwarna putih, Tsung-he menamakan produk beliau 'pearl milk tea' kerana rupa bebola itu ibarat mutiara.

Siapa lagi seorang yang claim?

chunshuitang pengasas boba tea

Satu lagi pihak yang mengakui mereka adalah pencipta teh boba adalah syarikat Chun Shui Tang, sebuah lagi rumah minum teh di Taiwan. Kisahnya pula melibatkan seorang pekerja Chun Shui Tang pada tahun 1987 yang bernama Lin Hsiu-hui, seorang gadis berusia 20 tahun ketika itu.

Sejak kecil sukakan bebola ubi kayu, Hsiu-hui dengan sengaja mencampurkan bebola itu ke dalam dua bancuhan teh, iaitu teh susu dan teh lemon hitam yang dikatakan kali pertama teh boba dihasilkan. Mendapati hasil campuran itu menjadi, resipi Lin mula diperkenalkan oleh majikannya secara rasmi dan Chun Shui Tang mula menjual teh yang mengandungi bebola ubi kayu di dalamnya.

Jadi kenapa ada dua teori pengasas teh boba? Ini kerana kedua-duanya saling tidak beralah dan kedua-duanya juga gagal membuktikan syarikat mereka adalah pencipta asal teh boba. Oleh kerana itulah sejarah teh boba perlu menyebut kedua-dua syarikat ini.

Atas sebab tidak dapat diisytiharkan sebarang pemegang paten ke atas teh boba hasil tidak persetujuan ini, teh boba secara rasminya dibenarkan untuk dijual oleh mana-mana pihak tanpa perlu membayar lesen hak cipta atau royalti. Sehingga pertengahan era 90-an, teh boba boleh dipesan di mana-mana kedai teh di Taiwan dan mula dikenali oleh segenap lapisan masyarakat kerana keunikannya.

Kenapa namanya 'boba'?

bubble tea pearl

Istilah 'teh boba' yang diberikan, merujuk kepada bebola ubi kayu yang ada dalam kandungan minuman tersebut. Istilah lain yang digunakan seperti 'pearl milk tea' pula mengambil nama yang digunakan di Taiwan sekian lama.

Sama ada digelarkan bubble tea, boba tea, pearl milk tea atau apa saja istilah yang kita boleh nampak merata-rata di negara kita - kebiasaannya semua merujuk kepada benda yang sama. Istilah 'boba' sebenarnya diambil daripada bahasa Cina dalam perkataan 波霸奶茶 yang berbunyi 'bōbà nǎichá'.

Apakah kandungan boba?

boba bebola ubi kayu

Teh boba mula terkenal dengan penambahan bebola kenyal yang diperbuat daripada ubi kayu. Beberapa resipi lain pula ada yang menggunakan sagu kelapa sawit, kentang dan beberapa bahan lain.

Warnanya pula berbeza mengikut bahan yang digunakan. Bebola ubi kayu kebiasaannya berwarna hitam atau putih. Boba hitam dibuat dengan menggunakan campuran ubi kayu, gula perang dan kentang sementara boba putih selalunya merupakan gabungan kanji, ubi kayu dan juga campuran sama ada ekstrak bunga chamomile atau karamel.

Pada asasnya, boba tidak mempunyai sebarang rasa. Untuk memberikan warna dan rasa yang berbeza pada boba, boba tadi boleh direndamkan ke dalam larutan yang dititiskan pewarna atau diadunkan dengan perasa yang berbeza. Selain boba, bahan lain yang dijadikan alternatif untuk dicampurkan dengan teh adalah puding, jeli, cincau dan juga cendol.

Adakah teh boba minuman yang sihat?

boba tea

Sihat atau tidak, semua ini bergantung kepada cara penyediaan. Lagipun, banyak peniaga memberikan keputusan kepada pelanggan untuk melakukan pesanan kurang gula sekiranya mereka mahu.

Bagaimanapun, majoriti teh boba yang dijual mempunyai sekurang-kurangnya dua sudu besar gula, menyamai kadar keperluan gula tambahan seseorang dalam sehari. Jadi pastikan anda mengawal kadar pengambilan teh boba anda. Sekiranya kita mengukur kandungan kalori pula, teh boba yang asas sebesar 12 oz kebiasaannya mengandungi 136 kalori dan 33 g karbohidrat.

Pernahkah ada orang meninggal kerana teh boba?

sejarah dan asal usul air teh bobba tea

Ya! Pada 15 Julai 2019, seorang gadis di China yang baru saja menghabiskan secawan teh boba yang lazat cuba menghabiskan beberapa biji boba yang masih tertinggal dalam cawan. Tindakan beliau menyedut terlalu kuat menyebabkan 3 biji boba tersekat di bahagian tekaknya, menyebabkan kesukaran bernafas seterusnya mengakibatkan dia pengsan.

Sempat dikejarkan ke hospital, gadis itu bagaimanapun gagal diselamatkan dan bedah siasat yang dilakukan, menyebut penyakit lelah (asthma) yang dihadapi mendiang merupakan penyebab utama kenapa dia gagal diselamatkan.

Dalam satu kes lain pada bulan Jun 2019, seorang gadis berusia 14 tahun juga dari China terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami rasa sakit di bahagian perut yang amat sangat, serta perut yang semakin membengkak.

Apa yang memelikkan doktor adalah selepas imbasan sinar-X dilakukan kepada bahagian perut beliau, didapati wujud bebola-bebola kecil yang memenuhi bahagian ususnya serta gagal dicernakan.

Bebola itu didapati boba. Ada lebih 100 biji boba tersekat di dalam usus gadis itu dan gadis itu memang minum teh boba setiap hari. Apa yang lebih menghairankan pihak perubatan, boba tidak sepatutnya kelihatan selepas imbasan, kerana membenarkan sinar-X melepasinya seterusnya 'ghaib' daripada pandangan mesin sinar-X.

Buat masa sekarang, pihak perubatan berpendapat ada bahan pengawet yang dimasukkan ke dalam boba, telah menyebabkan boba tersebut dapat dilihat dalam imbasan sinar-X. Tak tahulah benar atau tidak kisah ini. 

Walaupun kami melaporkan dua kejadian ini, janganlah pula anda takut kerana kedua-dua kejadian ini berlaku di China. Apa yang penting, jangan ambil terlalu banyak teh boba, minum dengan tenang tidak tergopoh-gapah serta amalkan kawalan. Jangan lupa rajin minum air kosong juga!

Rujukan

Taipei Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)